Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, Januari 14, 2015

Khutbah Jumaat bukan untuk lahir golongan ekstrem - Mufti Kelantan

 Mohamad Shukri Mohamad

KOTA BHARU - Fungsi utama khutbah Jumaat adalah untuk menasihati dan juga mendidik umat Islam dalam hal seperti bersederhana dalam kehidupan seharian, jauh menyimpang daripada melahirkan umat yang berfahaman ekstrem, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
  
Beliau kecewa dengan tuduhan kononnya khutbah Jumaat digunakan sebagai platform untuk menyemai ekstremisme dalam kalangan umat Islam.
  
Beliau mengulas catatan seorang peguam dalam laman Twitternya dalam bahasa Inggeris yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme pada setiap Jumaat.
  
"Sebelum sebarang teks ucapan khutbah diedarkan di masjid-masjid setiap negeri, ia disusun oleh panel berkelayakan yang ditugaskan bagi mengarang teks khutbah itu.
  
"Selain itu, ia perlu melalui tapisan oleh beberapa panel penilai yang terdiri daripada agamawan dalam pelbagai disiplin ilmu berkaitan Islam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Balai Islam Lundang di sini hari ini.
  
Mohamad Shukri berkata, di negeri ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melantik 10 anggota panel penilai, bagi menapis setiap teks khutbah sebelum diedarkan.
  
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut menyelar tindakan peguam berkenaan dengan berkata kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh mana-mana pihak.
  
"Khutbah pada setiap Jumaat adalah medium untuk kita (umat Islam) menghayati agama Islam itu sendiri. Khutbah bukanlah bertujuan untuk melahirkan pelampau agama," kata Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan.
  
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata beliau kesal dengan tindakan peguam itu yang sepatutnya lebih faham tentang undang-undang negara.
  
"Saya kesal dengan tindakan beliau yang berselindung di sebalik hak asasi untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara.
  
"Sangat wajar untuk beliau dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan," katanya.

sh

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...