Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Ahad, Januari 11, 2015

Banjir: Isyarat daripada ALLAH SWT

 Wan Azhar

KUALA TERENGGANU – Fenomena banjir yang berlaku sejak lima tahun belakangan ini dianggap luar biasa dan isyarat tertentu daripada ALLAH SWT kepada manusia.

Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, walaupun musibah besar berlaku baru-baru ini, namun ada dalam kalangan kita tidak mengambil perhatian serius.

Menurutnya, masih ada yang tidak mengambil pengajaran terhadap musibah yang berlaku dan masih lagi leka.


“Ada seorang yang berumur 100 tahun lebih ketika ditanya mengenai banjir terburuk yang melanda Kelantan baru-baru ini memberitahu tidak pernah dalam hidupnya berjumpa dengan banjir sebesar itu.

"Jadi, kalau difikirkan, apakah yang hendak diberikan ALLAH?” katanya.

Bagaimanapun, Wan Azhar memuji kesedaran masyarakat untuk bersama menangani isu banjir dengan membantu meringankan beban mangsa tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Beliau merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Besut berkata, keadaan positif itu mampu mewujudkan suasana lebih harmoni kerana bantuan diberi tanpa mengambil kira aspek tersebut yang boleh mewujudkan jurang antara satu sama lain.

Dalam perkembangan lain, beliau turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Terengganu berhubung dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesusahan yang melanda mangsa banjir.

Jelasnya, sikap tidak bertanggungjawab itu memperlihatkan bagaimana pihak terbabit mengumpul dana tetapi tidak mengagihkan sumbangan kepada mereka dengan sepatutnya.

“Sepatutnya kita meletakkan perkara itu kepada diri kita sendiri. Apakah kita sanggup orang lain melakukan perkara sama jika kita ditimpa kesusahan seperti itu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya di peringkat Pas Kawasan Besut tidak putus-putus memberikan bantuan kepada mangsa banjir terutama di sekitar Hulu Besut, Kuala Besut dan Jertih.

Pihaknya juga baru sahaja selesai menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 200 pelajar yang merupakan mangsa banjir melalui program Back to School yang diadakan semalam.

“Di peringkat kawasan, kita jaga keperluan mangsa banjir. Untuk Kelantan, jentera kita turun hampir setiap hari dan membantu 500 keluarga di Dabong serta menghantar bantuan makanan selain barang lain.

“Bagi mereka yang terdesak untuk memiliki rumah misalnya kes di Kampung Harapan apabila rumah dihanyutkan air, kita sedang tengok mekanisme untuk meringankan beban mereka,” katanya.

sh

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...