Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, Mac 04, 2015

SESI DAKWAH : BERITA BAIK UNTUK UMAT MALAYSIA..

  al quran
 
SHAH ALAM - Naskhah tafsir al-Quran percuma akan hanya diberikan kepada orang bukan Islam yang mahu tahu lebih lanjut mengenai Islam.
 
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, beliau difahamkan pertubuhan bukan kerajaan, Malaysia Reverted Muslims (MRM) tidak pernah memaksa untuk mana-mana bukan Islam menerima al-Quran yang diberikan secara percuma melalui program mereka.
 
Sebaliknya, beliau berkata, al-Quran itu hanya diberikan kepada orang bukan Islam yang datang dan mendekati MRM untuk bertanya lanjut berkaitan agama Islam atau keliru dengan ajaran Islam.
 
"Sebagai contoh, jika ada yang mengaitkan Islam sebagai agama yang menganjur keganasan ia sama sekali tidak benar. Islam tidak pernah mengajar umatnya menjadi ganas atau militan malah Islam mengharamkan keganasan atau penindasan.
 
"Jadi dengan membaca dan memahami al-Quran, segala salah faham tentang Islam dapat diperbetulkan. Justeru, sepatutnya tidak timbul istilah paksaan menerima al-Quran atau enggan menerima al-Quran yang diberikan," katanya.
 
Beliau mengulas projek One Soul, One Quran anjuran Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam yang disokong Jakim dengan matlamat mengedarkan sejuta al-Quran percuma.
 
Projek itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada Majlis Perundingan Malaysia Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao yang mendakwa ia cubaan untuk mengembangkan pengaruh agama Islam.
 
Menurut Othman, setiap orang yang memiliki al-Quran perlu menjaga dan menyimpan kitab itu dengan cara paling terhormat.
 
"Sekiranya mana-mana pihak bukan Islam yang menerima (al-Quran) dan tidak bercadang lagi untuk menyimpannya boleh menyerahkan semula kepada pihak MRM atau menyerahkan pada masjid, surau mahupun memberikan kepada orang Islam semula untuk menjaga kitab suci berkenaan," katanya.
 
Selain itu, beliau juga menjelaskan prosedur untuk memeluk Islam bukanlah semudah dengan hanya mengisi sekeping borang.
 
Menurutnya, seseorang itu perlu memeluk agama Islam dengan kerelaan hati sendiri tanpa ada sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
 
"Kemudian (individu itu) hendaklah mengucapkan kalimah syahadah iaitu mengaku bahawa ALLAH adalah tuhan yang satu wajib disembah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya. Pengakuannya itu disaksikan oleh orang Islam yang lain.
 
"Bukanlah semudah mengisi borang semata-mata kerana pengakuan lisan itu adalah syarat utama sebelum ia didaftarkan melalui prosedur seterusnya," katanya.
 
Beliau turut berharap tiada mana-mana pihak salah faham dengan kaedah yang dibawa oleh MRM kerana niat mereka bukan untuk memaksa tetapi untuk memperjelaskan ajaran Islam yang sebenarnya serta menolak sebarang kekeliruan berkaitan Islam.
 
sh

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...