SHAH ALAM - Objektif penubuhan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di negara ini sudah berada di landasan yang betul, hanya pelaksanaan dari segi urus tadbirnya sahaja yang perlu diberi perhatian,” demikian menurut Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan.
Dalam Wacana 'Apa disebalik 1MDB' Sinar Harian hari ini, beliau menjelaskan kekemasan dari segi urus tadbir 1MDB wajar diberi perhatian kerana kesilapan pengurusan boleh menimbulkan spekulasi buruk terhadap penubuhan organisasi tersebut.
“(Masalah) 1MDB ini yang meletup tiba-tiba sepatutnya tidak menghairankan kita semua kerana apa yang menjadi masalah utama 1MDB adalah tadbir urusnya. 1MDB wajar diteruskan, kekurangannya hanya dari segi tadbir urus," katanya.
Namun beliau tidak menafikan 1MDB menanggung sejumlah hutang negara seperti yang didakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini.
“…Dan memang benar kata Rafizi, 1MDB memang ada masalah menanggung hutang yang agak banyak. Tetapi kalau kita lihat strategi atau keupayaan 1MDB adalah merupakan dana pelaburan strategik yang mana ia berfungsi untuk pelaburan di luar negara.
“Contoh yang paling dekat, kita lihat kepada Temasik Holdings dan Khazanah, ia adalah untuk kepentingan negara. Sebelum 1MDB kita wujudkan TIA, dana dan keuntungan tersebut hanya untuk negeri Terengganu, kini kita buat 1MDB, dan tujuannya adalah untuk menambah dana negara,” jelasnya.
1MDB bermula sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang ditubuhkan pada tahun 2008, dan dinamakan sebagai 1Malaysia Development Berhad pada Januari 2009.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2010 mengumumkan 1MDB akan mewujudkan dana tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti masyarakat.
Jabatan Audit Negara telah pun memulakan proses pengauditan terhadap 1MDB sebaik menerima arahan daripada Najib, awal Mac lalu.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...