Isnin, Mei 18, 2015

HOT!! : DATO HUSAM MUSA TUNJUK AKHLAK YANG MULIA...

 Husam Musa

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengumumkan beliau hanya akan mempertahankan jawatan sedia ada pada Muktamar Pas yang akan berlangsung Jun ini.

Menurut satu kenyataan, Husam yang menerima pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden terpaksa menolak pencalonan bagi kedua-dua jawatan tersebut.

"Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua kawasan yang terlibat yang telah memberikan  kepercayaan dan harapan yang begitu tinggi kepada saya, termasuk untuk bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden parti.

"Saya memahami hasrat dan keprihatinan mereka, terutama terhadap hala tuju perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas dalam konteks Malaysia bagi dekad-dekad akan datang.

"Dengan memohon berbanyak maaf kepada semua kawasan dan ahli yang meletakkan harapan besar itu, saya hanya berhasrat menerima pencalonan  jawatan naib presiden Pas yang saya sandang sekarang," katanya dipetik kenyataan tersebut.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengalu-alukan ahli parti yang layak untuk bertanding jawatan presiden parti yang disandang beliau.

[ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi tidak kisah dicabar
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu nanti.


sh

Berikut adalah kenyataan penuh Husam.

Dengan Nama Allah Maha Pengasih Maha Penyayang.


Pujian kepada Allah yang Mentadbir Seluruh Alam dan Semua Penghuninya. Salam dan selawat kepada Junjungan Yang Menyampaikan Risalah Terakhir untuk menyelamatkan semua ummat manusia.

Saya telah menerima pencalonan untuk pelbagai jawatan bagi Muktamar PAS yang akan berlangsung Jun nanti.

Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua kawasan yang terlibat yang telah memberikan  kepercayaan dan harapan yang begitu tinggi kepada saya, termasuk untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Saya memahami hasrat dan keprihatinan mereka, terutama terhadap hala tuju perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dalam konteks Malaysia bagi dekad-dekad akan datang.

Dengan memohon berbanyak maaf kepada semua kawasan dan ahli yang meletakkan harapan besar itu, saya hanya berhasrat menerima pencalonan  jawatan Naib Presiden PAS yang saya sandang sekarang.

Saya fahami pergolakan yang berlaku di dalam PAS sekarang.

Selaku generasi yang dilahirkan oleh Kepimpinan Ulama' pada hari pertamanya iaitu Muktamar 1982 dan terpesona dengan gagasan  Mengulama'kan Profesional dan Memprofesionalkan Ulama', saya tetap percaya tonggak kepimpinan PAS adalah Kepimpinan Ulama'.

Kepimpinan Ulama'  yang soleh, mukhlisin dan muttaqin yang menjadi teraju utama digandingkan dengan semua amilin yang lain dalam ikatan semangat syura, ukhuwah dan saling lengkap melengkapi.

Pada masa yang sama, memandu parti secara berhati-hati dari terperangkap dengan tipu daya politik pihak lawan dalam semua keadaan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Perlembagaan PAS Fasal 5 Tujuan PAS ialah :
(1) Memperjuangakan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum menuju keredhaan Allah. 
(2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Apa yang telah dicapai oleh perjuangan PAS pada hari ini adalah kesinambungan dari pendekatan, strategi dan kaedah yang telah diputuskan oleh pendahulu kita secara syura pada semua peringkat.

Roadmap Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dan pendekatan PAS For All bagi memenangi hati masyarakat bukan Islam  umpamanya adalah diputuskan oleh jamaah peringkat demi peringkat dan bukan lahir  hanya oleh keputusan mana-mana individu.

Jika matlamat itu difikirkan tidak syar'ie, jamaah perlu membuat keputusan yang baru dan tidak boleh mana-mana pihak dalam jamaah mengambil sikap untuk menidakkan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

Politik Islam yang mengatasi sempadan kaum sehingga membuahkan kepercayaan penyokong bukan tradisi adalah sebahagian dari buah kejayaan dalam rangka jangka panjang dakwah dan siasah Islami. Ia kejayaan dan keberkatan  dari apa yang telah disyurakan sebelum ini.

Dengan bertawakkal kepada Allah, saya menerima pencalonan sebagai Naib Presiden PAS.

Sekian, terima kasih.

Husam Musa 
11:30 am
29 Rejab 1436
18 Mei 2015 [wm.kl. 12:21 t/hari 18/05/15]

1 ulasan:

  1. Insan yg berjiwa besar, semoga Allah berkati hidup anda & keluarga, dunia & juga akhirat. Aamiin.

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng