Iklan Penaja
PLURALISME agama cuba menjadikan pelbagai agama itu sebagai sah dan benar. Lalu pendukung pluralisme agama menganggap semua agama adalah sama benarnya.
Bagi mereka inilah suatu cara bagaimana pelbagai agama disantuni supaya wujud kedamaian bukannya perbezaan atau pertelingkahan.
Umumnya kewujudan agama yang membawa sistem kepercayaan dan berlandaskan falsafah mempunyai kebaikan tertentu untuk penganutnya. Dalam Islam agama bukan hanya sebagai suatu sistem kepercayaan dan cara hidup, tetapi menjadikan akidah tauhid sebagai sesuatu yang amat pokok.
Inilah perbezaan yang paling utama antara Islam dan agama-agama yang lain. Akidah tauhid umat Islam tidak boleh disamakan dengan konsep triniti yang didukung oleh penganut Kristian. Akidah tauhid menjadi landasan membentuk tasawur atau world view Islam supaya unsur syirik tidak terjadi.
Al-Quran telah memberikan asas yang jelas, "Laqum deenukum walya deen" – Kamu agama kamu dan kami agama kami. “Innaddin naindallah hil Islam” – Agama yang ALLAH reda ialah agama Islam”.
Hal-hal yang berbeza dalam agama berbezalah. Tetapi menyatakan semua agama sama ia menyalahi akidah islamiah.
Penggunaan kalimah ALLAH bagi orang Kristian sifatnya menyalahi. Konsep atau makna ALLAH dalam al-Quran tafsir yang diguna pakai membawa maksud ALLAH Yang Satu menyalahi konsep Tuhan, Anak Tuhan dan Ruhhul Quddus.
Orang Islam menanggapi sudah tentu ada maksud tertentu kalimah ALLAH digunakan dan kalimah-kalimah lain dalam Islam kerana konotasi istilah dan makna dalam Islam mempunyai keunikannya tersendiri. Salah guna istilah-istilah Islam memberi makna yang tidak sama. Ia mengelirukan dan boleh membawa kepada syirik.
Justeru, faham pluralisme agama yang didukung oleh sesetengah pihak umat Islam menjadi suatu usaha liberalisasi agama yang sedang berjalan.
Mereka cuba menghubungkan dengan konsep Civil Society dan penggunaan Global Ethics yang sangat popular di Barat dan cuba dikembangkan dalam kalangan masyarakat Islam.
Pluralisme agama dan liberalisasi Islam adalah amat bahaya kepada Islam kerana cenderung berbentuk firqah akhir zaman yang ditolak oleh Rasulullah SAW.
Metodologi pemahaman dan pentafsiran tidak berasaskan pendekatan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan banyak menggunakan rasional dan logik semata-mata.
Autoriti naqliah adalah sesuatu yang amat penting dalam membuat tafsir dan taawil. Autoriti ini didukung oleh tafsir ulama-ulama muktabar dan tidak menjadi sebab umat Islam jumud dan tidak maju.
Maju dalam Islam merujuk kepada kemajuan diri insan atau pun rijal. Sekiranya rijal terbangun ilmu dan pendidikannya, ilmu urus dirinya dan ilmu urus sistemnya akan terbangun sekali gus.
Inilah hakikat yang terjadi di puncak tamadun Islam suatu ketika dulu, iaitu berlakunya sinergi ilmu naqliah (wahyu) dengan ilmu akliah yang menjadi sumber pencerahan di Barat.
Barat mengalami konflik yang parah antara Kristianiti dan sains. Pertentangan antara religion dan state adalah manifestasi penolakan agama dan menyebabkan sekularisasi dan liberalisasi terjadi.
Dalam sejarah tamadun Islam ia tidak terjadi. Ilmuwan dan ulama Islam mampu menyantuni faktor naqliah-aqliah dengan sains dan teknologi.
Menggunakan pendekatan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pendekatan tafsir dan hukum berasaskan ijmak ulama, lembaga fatwa yang berautoriti dan menjadikan asas qias sebagai sumber pedoman menjadikan Islam relevan dengan cabaran perubahan.
Liberal Islam dan pluralisme agama bukan jawapan terhadap usaha memajukan Islam. Islam memiliki proses islah dan tajdid dalam kerangka ijtihad yang menjadikan ia relevan dengan perubahan zaman, bukannya merujuk sesuatu di luar kerangka dan epistemologi Islami.
Epistemologi (asas ilmu) dalam Islam harus dijadikan sandaran utama dalam usaha memajukan Islam. Asas kemajuan di Barat tidak berpaksikan agama. Kristianiti tidak lagi relevan di Barat dan gereja-gereja tinggal kosong.
Dalam tradisi Islam ia sedang bangkit memberi jawapan kepada umat manusia mengenai kehidupan yang fitrah. Di mana-mana di dunia Islam dan Barat masjid dan pusat-pusat dikunjungi dan penyebaran ilmu terjadi. Keadaan ini menghasilkan Islamofobia.
* Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)/sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...