Kerajaan 
mempunyai kuasa ke atas empat perkara untuk menentukan sama ada harga 
barangan dan juga perkhidmatan di negara ini dapat diturunkan.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, 
Mohd Nasaie Ismail berkata, kerajaan merupakan pihak yang mempunyai 
kuasa mengawal dan menguatkuasakan undang-undang dan pada 2010, Parlimen
 telah meluluskan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang 
dikuatkuasakan pada 1 April 2011.
Menurutnya, Akta tersebut memberi kuasa 
kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan 
Koperasi (KPDNKK) untuk mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga 
yang mengambil keuntungan berlebihan atau tidak munasabah.
Beliau berkata, berdasarkan akta 
berkenaan, hukuman denda boleh dikenakan antara RM100,000 hingga RM1 
juta dan penjara tiga hingga lima tahun mengikut kesalahan dilakukan 
individu atau syarikat.
“Kedua, kerajaan juga mempunyai 
kuasa terhadap barangan kawalan yang mana sebanyak 22 barangan telah 
diisytiharkan sebagai barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan 
Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 
1974.
“Ketiga, wujudnya Akta Perlindungan 
Pengguna 1999 yang memberi perlindungan kepada pengguna, memberi kuasa 
kepada KPDNKK menubuhkan Majlis Penasihat Pengguna Negara dan Tribunal 
Pengguna.
“Terakhir ialah Akta Pengangkutan Awam 
Darat 2010 yang diluluskan memberi kuasa kepada kerajaan menubuhkan 
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan dalam isu kenaikan 
tambang bas sekolah, bas bandar, bas ekspres dan teksi, SPAD 
bertanggungjawab memastikan harga yang dinaikkan atas alasan kenaikan 
bahan api sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Nasaei, keempat-empat 
perkara di atas melibatkan kuasa kerajaan untuk melaksanakannya dan oleh
 itu aneh bagi seorang menteri seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob 
dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sama-sama duduk 
dalam Kabinet meletakkan bebanan ini kepada pengguna dan peniaga 
semata-mata.
Jelasnya, tiga akta di atas memberi 
kuasa kepada menteri berkenaan iaitu KPDNKK untuk bertindak bagi 
melindungi hak-hak rakyat untuk mendapat harga barangan yang munasabah.
“Jika kerajaan boleh mewujudkan sejumlah
 pegawai kastam yang efisyen untuk melaksanakan GST, kenapa hal yang 
sama tidak dilakukan dengan mewujudkan lebih ramai pegawai kawalan harga
 yang akan bertindak lebih berkesan terhadap pemantauan harga barangan.
“Begitu juga dengan kuasa kerajaan 
terhadap 22 jenis barang kawalan yang sememangnya di bawah kuasa 
kerajaan untuk menetapkan harganya dan persoalannya, kenapa kerajaan 
tidak menggunakan kuasa yang ada untuk memastikan harga barangan kawalan
 tersebut diturunkan,” ujarnya.
Katanya, sebelum kerajaan meletakkan 
bebanan kepada pengguna dan peniaga semata-mata, beliau menyeru kerajaan
 bertindak segera dengan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk 
menurunkan segera harga barangan kawalan yang berada di bawah kuasa 
kementerian.
Tegasnya, kerajaan juga perlu 
meningkatkan jumlah pegawai pemantau kawalan harga barang dan bertindak 
segera secara efisyen dengan mengadakan pemantauan menyeluruh dan tidak 
terpilih.
“Di samping itu, kerajaan perlu memantau
 harga tambang pengangkutan awam agar selaras dengan penurunan petrol 
dan diesel serta meningkatkan kempen kesedaran hak-hak pengguna seumpama
 kempen GST yang dilakukan secara meluas dan berkesan kepada pengguna.
“Akhir sekali, peringatan kepada pihak 
Kerajaan Persekutuan khususnya menteri-menteri kabinet, agar tidak 
melakonkan aksi-aksi dan kenyataan yang mengelirukan rakyat Malaysia 
seolah-olah mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk bertindak,” 
katanya.
trp
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
 
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...