SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah memberi isyarat bahawa pelaksanaan Enakmen Syariah II akan diteruskan sekali gus menepis cadangan rakan komponennya, DAP yang mahu hudud dan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditangguhkan sehingga 2023.
Melalui satu kenyataan, beliau mengingatkan agar parti itu menyambung warisan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat termasuk berkaitan dengan hudud yang diperjuangkan selama ini.
“Pemergian Allahyarham telah meninggalkan tapak kukuh dan jasa yang mesti dilangsungkan oleh generasi Islam hari ini dengan itqan sebagaimana telah diteladaninya. Antaranya untuk melaksanakan Enakmen Syariah dalam perundangan negeri Kelantan, menjadi amanah dan warisan yang wajib disambung.
“Allahyarham juga negarawan di mana telah melakar sejarah sejak usia mudanya bersama Pas untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan ALLAH sebagaimana nyata di dalam Perlembagaan Pas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyifatkan pemergian Nik Aziz sebagai satu kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.
“Pas kehilangan tokoh penting yang kembali menghadap pencipta. Sesungguhnya pemergian Allahyarham ke rahmatullah adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti khususnya kepada Pas dan amnya kepada negara serta seluruh umat Islam.
“Allahyarham adalah pemimpin, guru, bapa dan sahabat yang telah mendamba dan memperhambakan diri kepada al-Khaliq dengan teguh menyambung usaha Rasulullah SAW dan para Nabi menegakkan risalah agama ini,” katanya.
Abdul Hadi turut mendoakan agar roh Allahyarham berbahagia di sisi ALLAH dan dipertemukan dengan roh Rasulullah yang dicintai Nik Aziz sepanjang hidup.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...