Banyak pihak mengaitkan himpunan itu dengan PRU13. Ia turut diakui pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) secara langsung dan secara tidak langsung.
Berbanding dua perhimpunan yang dilabel sebagai demonstrasi jalanan iaitu Himpunan Bersih 2.0 dan Himpunan Bersih 3.0, Himpunan Kebangkitan Rakyat, atau yang turut dikenali dengan panggilan #KL112, dianjurkan sendiri oleh Pakatan Rakyat (PR). Sebelum ini, ada analisis yang mengatakan dua perhimpunan terdahulu, yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Bersih 2.0, secara tidak langsung melewatkan PRU13.
Bagaimanapun situasi pada hari ini berbeza. Sama ada suka atau tidak, parti-parti politik tiada pilihan kecuali menerima hakikat bahawa PRU13 akan berlangsung menjelang akhir Jun ini dengan Parlimen akan dibubarkan bila-bila masa dari sekarang atau terbubar dengan sendiri akhir April.
Sehubungan itu, Rafizi melihat bahawa tumpuan selepas ini ialah sejauh mana parti-parti akan membawa rentak masing-masing.
"Tempoh, rentak dan tingkah laku dan bentuk kenyataan akan dibuat... selepas ini semua akan berhati-hati," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Oleh itu beliau mengakui bahawa "tempoh satu hingga dua bulan ini adalah sangat penting."
Oleh itu Rafizi melihat kedua-dua BN dan PR akan menggunakan baki masa yang ada sebelum PRU13 untuk mencari sokongan.
"Kami melihat himpunan kali ini sebagai pemangkin moral kepada Pakatan Rakyat... menunjukkan bahawa kami juga boleh melakukan sesuatu untuk rakyat jika diberi mandat... kami pun mahu berhimpun secara aman," katanya lagi.
Ditanya sama ada PR sudah mengeluarkan garis panduan tentang gerak-geri dan bentuk kenyataan yang seharusnya dikeluarkan menjelang PRU13, Rafizi berkata, "tidak ada garis panduan rasmi, tetapi aspek ini ditekankan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden."
Bagaimanapun beliau mengakui kadangkala sukar untuk "mengikat" ahli-ahli politik.
"Memang sukar, tetapi kami melakukan sesuatu supaya tidak ada kenyataan yang boleh memudaratkan peluang kami di PRU," katanya apabila merujuk kenyataan-kenyataan 'cari pasal' pemimpin-pemimpin PR sejak enam bulan lalu.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian tidak melihat perkembangan selepas ini sebagai "soal tarikh atau tempo semata-mata."
"Saya melihat lebih daripada itu. Saya melihat keupayaaan Pakatan Rakyat membawa isu-isu lokal ke peringkat nasional... ini yang saya dapat saksikan semalam (Sabtu lalu)," kata beliau yang mengakui BN masih ada kelebihan kerana menguasai jentera kerajaan dan juga media arus perdana.
"Dalam hal itu, BN adalah sedikit kelebihan," katanya apabila ditanya sama ada "padang permainan" sudah sama bagi kedua-dua perikatan ini susulan himpunan kelmarin.
Dua hari sebelum Himpunan Kebangkitan Rakyat Merdeka Center adamengeluarkan hasil kajian berkala yang terbaru berkenaan dengan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga persepsi ke atas Kerajaan Pusat. Populariti Najib, selaku Presiden Umno dan juga Pengerusi BN, merosot sedikit manakala persepsi orang ramai ke atas kerajaan kurang memberangsangkan.
Sehubungan itu, Ibrahim tidak menolak persekitaran dan harapan peserta himpunan dengan hasil kajian tersebut, yang diadakan selepas Perhimpunan Agung Umno 2012.
Meskipun kerajaan mengumumkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan hasil pelaksanaan pelan transformasi ekonomi, katanya, "pada akhirnya orang ramai melihat pada kesan kos hidup dan isu-isu berkaitan ekonomi seharian."
"Mereka tidak faham angka-angka berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, saham dan transformasi ekonomi," katanya.
Berkongsi pandangan berkenaan perkembangan terbaru ini, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian dari Universiti Sains Malaysia melihat kedua-dua parti akan bertindak "secara berhemah" untuk menang PRU13.
"Saya boleh ini politik berhemah. Kita akan dapat melihat politik berhemah menjelang hari pilihan raya," kata beliau yang turut yakin semua pihak yang bakal bertanding dalam PRU13 khususnys BN dan PR akan menggunakan kejayaan kelmarin sebagai senjata untuk menarik pengundi atas pagar.
"Yang datang hari itu kebanyakan pengundi tegar atau penyokong setia Pakatan Rakyat dan parti masing-masing, mereka tidak akan berubah... akan kekal bersama parti masing-masing.
"Begitu juga BN. Tetapi apa yang menarik ialah masing-masing akan bertindak sebagai 'budak baik', untuk menarik sokongan pengundi atas pagar," katanya lagi.
BN akan mengambil kredit ia sebagai kesan langkah transformasi mereka, kata beliau.
Perkara itu diakui oleh beberapa pemimpin BN semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan perhimpunan kelmarin membuktikan Akta Perhimpunan Aman 2012 dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya semua pihak bertindak dengan penuh tanggungjawab dan terkawal.
Undang-undang itu menekankan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan pimpinan Najib dalam menyediakan ruang demokratik dan memastikan perhimpunan aman bagi rakyat melaksanakan hak dan kebebasan mereka dengan bertanggungjawab.
"Tambahan pula, Najib dan BN yang mengambil langkah konkrit untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan memansuhkan atau membuat kajian terhadap undang-undang terhad yang lain," katanya semalam.
Berdasarkan pengalaman Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, Tsu Koon berkata, Perdana Menteri berulang kali menekankan keperluan bagi mengadakan perhimpunan aman di stadium dan tempat lain dengan syarat penganjur dan peserta juga perlu menerima syarat-syarat tertentu yang munasabah.
"Nampaknya, beberapa pemimpin pembangkang, ejen provokasi dan penghasut juga telah belajar daripada Bersih 3.0 dengan menyedari bahawa segala perbuatan provokasi di pihak mereka tidak akan terlepas daripada mata awam dan lensa video dan kamera telefon bimbit," kata Presiden Gerakan ini dalam satu kenyataan semalam.
Himpunan Kebangkitan Rakyat mengembalikan kedua-dua BN dan PR medan pertarungan PRU13 yang sebenar. Masing-masing menggerakkan langkah bagi mendampingi rakyat khususnya mereka di atas pagar.
Oleh kerana kemenangan bakal ditentukan oleh pengundi di atas pagar yang jumlahnya dalam lingkungan 30 peratus, setiap langkah selepas ini amat berharga dan bernilai.
Sikap itu akan menentukan kemenangan mutlak sesebuah parti: BN atau PR.
Tarikh PRU13 sudah tidak penting. Angka kehadiran di Stadium Merdeka kelmarin juga bukan penting lagi. Kedua-duanya hanya tinggal detik sejarah dan kenangan.
Hanya tempo akan melakar detik sejarah baru iaitu pada PRU13./SinarHarianOnline
"REWARD POWER!!!!!"Beriklan Sambil Menjana Puluhan Ribu Sebulan.. Klik Sekarang!!!!!
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...