Rabu, Disember 05, 2012

Pakatan Rakyat boleh tambah kerusi Parlimen di Melaka


MELAKA: Berdasarkan analisis terhadap beberapa dapatan kajian yang dilaksanakan oleh beberapa pihak, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan Pakatan boleh menambah satu lagi kerusi parlimen di Melaka.

Tambahan kerusi parlimen ini menjadikan PR menguasai dua daripada enam kerusi parlimen di negeri tersebut.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) dijangka boleh menang dengan agak selesa mengekalkan penguasaan negeri Melaka, dengan memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN daripada 28 kerusi.

Kedudukan ini memperlihatkan Melaka adalah antara negeri yang paling selamat bagi BN.

"Analisis ini dibuat berdasarkan beberapa dapatan kajian yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan pengkaji dari universiti dan pihak ketiga, di samping data yang diperolehi oleh PPP sendiri," kata Pengarah Operasi PPP, Dr Zuhdi Marzuki (gambar atas).

Kerusi Parlimen yang dijangkakan boleh ditambah oleh PR ialah kerusi P137, Bukit Katil, yang ditandingi oleh PKR.

Kerusi ini dikategorikan sebagai kerusi campuran disebabkan nisbah pengundi Melayu dan Bukan Melayu yang kecil, iaitu 52% pengundi Melayu, 42% pengundi Cina, 6% pengundi India dan selebihnya kurang dari 1% lain-lain pengundi.

Hasil analisis PPP, undi akar umbi BN di kawasan ini hanyalah 38% daripada keseluruhan pengundi, manakala golongan atas pagar adalah besar iaitu 31%.

Sekiranya PR boleh meraih sokongan golongan atas pagar ini, maka Bukit Katil boleh dimenangi oleh PR, katanya.

Bagaimanapun, dapatan analisis ini tidak selari dengan dapatan kumpulan pengkaji Majlis Profesor Negara (MPN) yang merumuskan Bukit Katil sebagai kawasan putih atau selamat bagi BN.

Bagi kerusi-kerusi DUN pula, kata Dr Zuhdi, BN dijangkakan boleh menang di sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN, manakala PR (DAP) dijangkakan boleh mengekalkan penguasaan di 5 kerusi DUN seperti yang dimenangi pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008.

Baki enam lagi kerusi DUN iaitu, Asahan, Machap, Kelebang, Duyong, Rim dan Serkam dikategorikan sebagai kawasan kelabu, katanya.

Antara keenam-enam kerusi kelabu, kerusi DUN Asahan yang ditandingi oleh PAS berpotensi untuk jatuh ke tangan PR, sekiranya PR berjaya menggunakan strategi yang betul dan sesuai.

Kerusi DUN Asahan yang terletak di bawah Parlimen Alor Gajah bersama sebuah lagi kerusi DUN yang dikategorikan kelabu, Machap, yang terletak di dalam kawasan parlimen yang sama, memberi sedikit harapan kepada PR (PAS) untuk memberi saingan yang sengit kepada BN di Parlimen Alor Gajah.

Dalam PRU tahun 2008, kerusi Parlimen Alor Gajah yang mempunyai 57% pengundi Melayu, 30% pengundi Cina dan 13% pengundi India, dimenangi oleh MCA.

Dalam PRU tersebut BN (MCA) memperolehi 63% sokongan daripada keseluruhan pengundi.

"PPP mengunjurkan sokongan tersebut telah merosot sebanyak 3% seiring dengan peralihan sokongan pengundi-pengundi Cina di Selatan Semenanjung kepada PR," jelasnya.

Berdasarkan analisis PPP, sokongan akar umbi BN di kawasan ini adalah sekitar 56.3%.

Meskipun kawasan ini adalah dikategorikan selamat bagi BN, sekiranya PR khususnya PAS berjaya meningkatkan sedikit lagi sokongan pengundi Melayu dan menggunakan strategi yang bijak dalam PRU akan datang, peluang untuk memenangi kerusi ini tidak boleh diperkecilkan.

Menurut kajian PPP, kata Zuhdi, sokongan terhadap PR boleh dipertingkatkan sekiranya, terdapat seorang tokoh pimpinan PR dari negeri ini yang berkaliber untuk menyaingi kepimpinan Ketua Menteri Melaka sekarang Datuk Seri Ali Rustam.

Menurut dapatan kajian MPN, populariti Ali Rustam mencecah 83%, sedangkan PR tidak mempunyai seorang tokoh pemimpin yang boleh menyaingi beliau.

"Oleh sebab itu, penyertaan Datuk Tamrin Tun Ghafar ke dalam PAS seharusnya dimanfaatkan sebaiknya untuk menjana sokongan kepada PR," kata Zuhdi.

Selain daripada itu, katanya, PR perlu meneruskan pendedahan penyelewengan dan salahguna kuasa oleh kerajaan BN di peringkat negeri dan persekutuan untuk meningkatkan lagi sokongan terhadap PR.

"Isu ini boleh memberi kesan kepada pengundi-pengundi atas pagar terutama pengundi-pengundi muda di bawah 30 tahun untuk menyokong PR," katanya./HarakahDaily

Hanya dengan modal sekali RM25 anda berpotensi mendapat RM10,000 dalam masa 5 minggu sahaja!

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng