1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tegas untuk tidak membiarkan mana-mana pegawainya menjadi ahli parti-parti politik. Justeru pegawai SPR yang menganggotai mana - mana parti politik akan mendedahkan ketidaktelusan pengendalian pilihanraya oleh SPR dan turut menjejaskan kualiti pengurusan tertinggi SPR lalu mendorong SPR tunduk kepada pengaruh politik kepartian yang boleh menghakis kredibiliti sistem demokrasi negara.
2. Insiden bias di dalam pilihanraya presiden AS tahun 2000 (Bush lwn Gore) dan pemilihan gabenor Washington DC tahun 2004 telah mendorong kepada penubuhan Suruhanjaya Carter-Baker 2005 yang dengan jelas menolak elemen kepartian di dalam pentadbiran pilihanraya.
3. Di Thailand pula, suruhanjaya pilihanraya yang dipengaruhi parti-parti politik yang bertanding antara lainnya telah mencetus krisis perlembagaan, mengheret raja dan tentera dalam kancah politik lalu mewujudkan ketidaktentuan berpanjangan di dalam pemerintahan.
4. Pengerusi SPR mesti peka dengan pendedahan seperti ini dan berasa bimbang akan kesannya terhadap kredibiliti SPR apatah lagi mengambil kira pengajaran dari banyak kajian kes sedia ada, sejarah dan iklim politik semasa khususnya di Sabah yang sensitif kepada perubahan kerajaan.
5. Keterlibatan ahli kanan UMNO dalam hirarki pentadbiran SPR seperti kes ini kelak membuka ruang pertikaian terhadap pilihanraya yang boleh mengheret badan itu ke dalam proses mahkamah yang merugikan dan retorik yang berpotensi mengganggu sentosa awam. Hakikatnya perkara seperti ini boleh mencabar kesahihan kerajaan yang ditegakkan melalui proses pilihanraya tersebut!
6. Alasan bahawa pegawainya itu mempunyai hak demokrasi, seperti kenyataan Pengerusi SPR sebelum ini sebenarnya telah gagal menunjukkan pertimbangan yang lebih wajar untuk memelihara hak demokrasi komuniti madani yang merasa terancam dengan keterlibatan langsung parti politik pemerintah dalam tatakelola pilihanraya.
7. Artikel 114 (2) Perlembagaan Malaysia secara jelas menggariskan bahawa Pengerusi SPR tidak boleh menyertai mana-mana organisasi bagi menjamin integriti bebas suruhanjaya tersebut.
8. Jadi amat mendukacitakan apabila Pengerusi SPR enggan menunjukkan kepimpinan moral dan kebertanggungjawaban seperti yang dituntut Perlembagaan ke atasnya dengan menetapkan piawaian yang sama ke atas pegawai-pegawai SPR di bawah seliaan beliau bagi memelihara keutuhan integriti badan yang beliau pimpin.
9. Malah tidak keterlaluan jika rakyat melihat kontroversi terbaru SPR ini sebagai persepsi rentetan usaha parti pemerintah UMNO-BN yang ingin mencorak orde politik baru negara dari "demokrasi hukum" kepada "demokrasi terpimpin" melalui percaturan individu-individu tertentu ke jawatan strategik institusi-institusi penting.
10. Rakyat pastinya tidak lupa dengan perlantikan Tun Zaki Azmi yang pernah menjadi penasihat undang-undang UMNO sebagai ketua hakim negara suatu ketika dahulu. Campurtangan orang politik dalam pengurusan PDRM seperti yang kerap didedahkan oleh bekas KPN sejak kebelakangan ini juga turut menguatkan persepsi ini.
11. Maka masyarakat boleh menilai sama ada apa yang berlaku ini merupakan contoh amalan demokrasi terbaik di dunia seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri atau sekadar omongan transformasi kosong yang dirangka semata-mata untuk mengabui mata rakyat demi kekal berkuasa.
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...