Iklan Penaja 1

Picture

Selasa, Oktober 31, 2017

PANAS!! : AMANAH Kubang Kerian lapor polis provokasi Pas

AMANAH Kubang Kerian lapor polis provokasi Pas
Tindakan Pas Kelantan berhasrat memasuki Wisma Tok Guru pada 16 November seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar kelmarin dianggap satu provokasi.
Ketua AMANAH kawasan Kubang Kerian, Fauzi Mohamad petang semalam membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut.
Menurutnya, kenyataan yang telah dibuat oleh Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mengerah ahli-ahli Pas supaya berhimpun beramai-ramai pada tarikh tersebut tidak harus dipandang ringan.
“Perbuatan ini adalah satu tindakan provokasi yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan mencetuskan huru-hara.
“Tindakan Pas ini adalah tindakan pramatang serta mendahului proses perundangan kerana hartanah tersebut masih lagi terlibat dengan pertikaian mahkamah di mana kesnya masih lagi dalam perbicaraan di kedua-dua mahkamah syariah dan sivil,” katanya dalam laporan polis yang diserahkan di balai polis Kubang Kerian itu.
Tanah tapak Wisma Tok Guru katanya, masih dalam prosiding Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, kes mal bil. 03100-099-0269-2017.
“Manakala berkenaan tuntutan sivil pula pihak peguam cara dalam proses memulakan tindakan di Makamah Tinggi Kota Bharu bagi mendapatkan satu perintah injunksi dan mengekalkan status quo berkait dengan kedudukan hartanah tersebut sehingga proses undang-undang berakhir diputuskan oleh pihak mahkamah,” katanya.
.
Menurutnya, adalah tidak wajar pihak Pas mengambil apa-apa tindakan yang boleh mengganggu proses keadilan di Mahkamah Syariah mahupun di Mahkamah Sivil.
“Secara perundangannya tiada kaitan antara Pas dan hartanah terbabit kerana tanah tersebut adalah atas penama pihak ketiga.
“Pas tidak pernah dinamakan sebagai benefisiari dalam pendaftaran hartanah tersebut.
“Tindakan tersebut jelas membelakangi undang-undang Malaysia dan merupakan satu provokasi yang boleh mencetuskan pecah keamanan, huru-hara dan pergaduhan,” katanya.
Fauzi berharap laporan polis itu diambil perhatian dan tindakan supaya satu penyiasatan dimulakan bagi mencegah sebarang kejadian buruk daripada berlaku.
Turut bersama Fauzi membuat laporan itu adalah Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Yusuf serta sekumpulan ahli AMANAH kawasan Kubang Kerian.
mdl
Picture

Isnin, Oktober 30, 2017

Anak muda diseru bandingkan Bajet 2018 Najib dengan Bajet PH

Anak muda diseru bandingkan Bajet 2018 Najib dengan Bajet PH
Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad melahirkan rasa yang amat kecewa terhadap kandungan pembentangan Bajet 2018 yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di parlimen Jumaat lalu.
“Saya amat kecewa dengan pembentangan bajet Kerajaan Persekutuan yang dibuat oleh Najib Razak,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam, mengulas bajet berkenaan.
Katanya, berbeza dengan Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan, Najib tidak langsung berusaha untuk memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi.
“Pakatan Harapan akan memastikan pendidikan percuma dalam masa 10 tahun pentadbiran, sebaliknya Perdana Menteri hendak menghabiskan jutaan ringgit untuk mengejar ranking universiti tanpa menghiraukan isu-isu asas berkenaan kebebasan akademik dan akses pendidikan.
“Beliau juga langsung tidak berbuat apa-apa untuk menangani isu perumahan yang semakin tidak mampu dimiliki rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda. Saya tidak menjumpai penyelesaian kepada masalah ini dalam bajet tersebut, sedangkan anak muda terus bersusah payah berkerja dan hanya mampu menyewa rumah,” kata beliau.
Menurut Nik Nazmi, walaupun bantuan yang dihulurkan kepada perniagaan ‘startup’ adalah dialu-alukan, tapi ia mengaburi kegagalan kerajaan untuk menghasilkan pekerjaan dengan gaji yang sepadan untuk terus bertahan hidup dalam dunia globalisasi dan automasi pada hari ini.
“Saya menggesa setiap rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, untuk membaca Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan, dan membuat penilaian sendiri yang manakah mempunyai wawasan yang lebih adil dan mampan demi kesejahteraan negara,” katanya.
mdl
Picture

Ahad, Oktober 29, 2017

Kecewa dengan Umno, lebih 6,000 ahli sertai Bersatu di Pendang

Kecewa dengan Umno, lebih 6,000 ahli sertai Bersatu di Pendang
Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyediakan pelbagai habuan dan gula-gula pilihan raya untuk memancing sokongan pengundi, ia tidak sedikit pun menggugat sokongan kepada parti komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri Kedah.
Malah sokongan yang begitu memberangsangkan terbukti apabila 90 peratus daripada 6,700 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pendang, terdiri daripada mereka yang telah keluar Umno.
Penyertaan yang begitu ramai ini memberi satu tamparan hebat kepada Umno dan BN di Pendang yang sering mendabik dada bahawa mereka masih diterima oleh ahli Umno di kawasan parlimen tersebut.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Armada Bahagian Pendang, Mohd Fauzi Ismail.
Menurut beliau lagi, daripada jumlah tersebut 60 peratus adalah mereka yang berada di bawah usia 50 tahun serta merupakan golongan muda.
Manakala 40 peratus lagi adalah mereka yang tergolong dalam usia lebih 50 tahun.
“Sokongan sehingga mencecah lebih 6,000 ahli ini adalah bukti bahawa Umno semakin tempang di Pendang.
“Mereka sudah tidak mampu untuk menyekat ramai ahli Umno untuk meninggalkan parti lama tersebut.
“Sekali gus ini memberi kekuatan kepada PH untuk menerobos kubu Umno dan merampas kerusi tersebut dalam pilihan raya umum akan datang,” jelasnya lagi.
Manakala itu, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Abdullah Suady Ramadhan yang turut hadir dalam program ziarah tokoh tempatan serta pembentukan jawatankuasa jentera pilihan raya PDM Pulai kelmarin berkata, kerjasama erat antara AMANAH dan Bersatu dalam membawa semangat PH begitu utuh.
“Semangat PH yang ditunjukkan di Pendang pada kali ini memberi isyarat jelas kepada rakyat akan kemampuan PH untuk mengambil alih kepimpinan Negeri Kedah dan juga Putrajaya.
“PH bertekad untuk menyelamatkan rakyat daripada gula-gula politik Umno dan BN yang senantiasa memperdayakan rakyat.
“Sedangkan krisis ekonomi dan kos sara hidup terus meningkat sehingga menyebabkan rakyat sengsara dan derita dalam diam,” ujarnya lagi.
Abdullah Suady berucap dalam program ramah mesra dengan penduduk bersama pimpinan PH Pendang kelmarin.
Tegasnya lagi, penduduk tempat khususnya di Pendang amat kecewa dengan janji-janji Umno dan BN khususnya mengenai pembinaan Hospital Pendang yang telah berlarutan sejak 15 tahun yang lalu.
“Bukan sahaja papan tanda telah usang, sebaliknya bisik-bisik mengenai projek RM220 juta tersebut terus menyepi dan senyap begitu sahaja.
“Janji ini telah ditaburkan sejak 15 tahun lalu, namun sehingga kini masih lagi menjadi igauan penduduk Pendang yang tidak kesampaian.
“Oleh kerana itu rakyat Pendang harus melihat kembali sokongan mereka kepada BN kali ini agar tidak menjadi mangsa untuk kali keempat dalam mengharapkan sebuah hospital yang dijanjikan tetapi tidak terlaksana oleh kerajaan sedia ada,” tambahnya lagi.
mdl
Picture

Sabtu, Oktober 28, 2017

Pertembungan tiga penjuru bakal memenangkan Pakatan Harapan

Pertembungan tiga penjuru bakal memenangkan Pakatan Harapan
Pertembungan tiga penjuru yang berkemungkinan besar bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang bakal menyaksikan perubahan besar dalam situasi politik di Malaysia.
Jika sebelum ini Barisan Nasional (BN) yakin menang dengan pertembungan tiga penjuru dalam PRU, namun dalam situasi politik semasa, BN sepatutnya berasa bimbang kerana keadaan telah berubah sama sekali. Pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan pada PRU14 bukan sahaja diyakini mampu menewaskan BN malah juga bakal merugikan Pas.
Ini berikutan berlakunya krisis kepimpinan Umno dan Pas pada 2015 yang telah memberi kesan besar kepada kekuatan dua parti politik itu sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini bersama PKR dan DAP di dalam Pakatan Harapan.
Perpecahan yang berlaku telah menyebabkan pengundi-pengundi Umno pada 2013 dilihat terdorong beralih sokongan kepada Pakatan Harapan dengan matlamat yang sama iaitu menolak Najib Razak dan Umno. Lebih-lebih lagi dengan skandal besar seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri ke-5 Malaysia itu.
Pada 22 Oktober lalu, telah berlangsung satu forum di Swiss Garden Hotel yang dianjurkan oleh Akademi Keadilan (ARK) dan melibatkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan dan saya sendiri sebagai moderator membincangkan mengenai topik ‘3-corner Fight, A win for Pakatan Harapan’ atau Pertembungan Tiga Penjuru, Diyakini Menyebelahi Pakatan Harapan.
Menurut salah seorang panel forum itu iaitu Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, terdapat dua cara bagi mendapatkan undi rakyat untuk Pakatan Harapan.
Pertamanya, kita kena beri pengundi pilihan yang jelas, sebagai contoh, memberikan pengundi dua pilihan parti besar yang jelas seperti BN dan Pakatan Harapan maka pengundi tidak akan perasan ada parti ketiga.
Keduanya, dengan memberikan dasar alternatif yang jelas kepada pengundi dengan menunjukkan kepada mereka apa yang Pakatan Harapan boleh lakukan sekiranya menjadi kerajaan yang diterjemahkan melalui bajet alternatif dan dasar-dasar lain. Dengan cara ini katanya, kita dapatkan tunjukkan kemampuan Pakatan Harapan kepada rakyat.
Ya, strategi adalah senjata utama yang perlu untuk bertanding tidak kira sama ada dua atau tiga penjuru jika mahu menggerakkan gelombang baharu dan muncul sebagai kuasa baharu politik negara pada PRU14.
Antara saranan lain yang diutarakan ialah walaupun ianya tiga penjuru, yang sebenarnya akan berlaku ialah ianya sama seperti dua penjuru kerana pengundi akan ‘gravitate’ kepada dua gabungan terbesar dan parti ketiga akan di anggap sebagai ‘spoiler’. Bagi kawasan di mana Umno dan BN telah siap sedia kalah, memang sah penjuru ketiga ialah ‘spoiler’.
Dalam pada masa sama, Pengarah Strategi Parti AMANAH, Dr Zulkefly Ahmad berpendapat, Pakatan Harapan hanya perlu memenangi 90 kerusi parlimen di semenanjung Malaysia pada PRU 14, dan beliau yakin akan mendapat sokongan dari Sabah Sarawak.
Terutama katanya, fenomena yang berlaku ketika ini melibatkan Parti Warisan yang dikepalai oleh bekas Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan adik beradiknya yang telah ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa melakukan penyelewengan dimana perkara itu dipercayai dilakukan atas faktor politik. Segala serangan itu diyakini akan menaikkan lagi sokongan terhadap Shafie yang mempunyai pengaruh kuat di Sabah.
Soal realiti semasa, apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti bertanding untuk menilai sama ada pertandingan tiga penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada BN dan Pas seperti yang dihujahkan oleh beberapa pihak?
Banyak faktor yang memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan terutamanya dengan situasi ekonomi negara ketika ini yang tidak menentu malah dibebankan dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit dan pemansuhan beberapa subsidi rakyat yang akhirnya memberi kesan besar kepada rakyat kebanyakan.
Namun, apa yang penting saat ini adalah peranan pemimpin Pakatan Harapan untuk memberi penjelasan kepada pengundi supaya mereka dapat menilai kelebihan dan kekurangan Pakatan Harapan untuk dibandingkan dengan Umno BN di bawah pimpinan Najib Razak dan PAS.
Pakatan Harapan juga perlu tampil sebagai sebuah kerajaan alternatif yang kuat dan dapat menarik minat golongan yang sudah bosan serta menolak pentadbiran kleptokrat Najib Razak selain mereka yang mengimpikan permulaan baru untuk Malaysia.
Dengan itu, Umno dan Pas hanya akan dipertahankan oleh penyokong tegar mereka sahaja sementara pengundi lain termasuk pengundi atas pagar akan beralih sokongan kepada Pakatan Harapan. Percayalah.
 *Penulis Ahli Parlimen Kuantan dari Parti Keadilan Rakyat.
mdl
Picture

Jumaat, Oktober 27, 2017

Bajet 2018: Antara PH dan BN, mana lebih rawat derita rakyat?

Petang ini, perdana menteri yang juga menteri kewangan akan membentangkan Bajet 2018 yang menjanjikan pelbagai berita baik untuk rakyat khususnya kakitangan awam.
Bajet 2018 ini adalah belanjawan terakhir kerajaan memerintah sebelum parlimen dibubarkan paling akhir awal tahun hadapan bagi membolehkan mandat baru diterima daripada rakyat.
Pakatan Harapan (PH) telah pun meluncurkan Belanjawan 2018 pada 25 Oktober lalu dengan mengunjurkan hasil sebanyak RM229.44 bilion berbanding BN sebanyak RM244.48 bilion.
PH memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM200.16 bilion sementara BN diunjurkan berbelanja mengurus sebanyak RM227.28 bilion.
PH memperuntukkan perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM58.35 bilion sementara BN sebanyak RM58.22 bilion.
“PH mempunyai nisbah perbelajaan mengurus kepada pembangunan yang lebih baik iaitu 77:23, berbanding nisbah Umno-BN pada 80:20. Defisit Fiskal PH sebanyak 2.0% KDNK, sementara BN sebanyak 2.9% KDNK,” jelas pengarah strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut Dr Dzulkefly, selain ‘muka-muka biasa’, Bajet 2018 yang dibentangkan PH turut menerima input pakar-pakar ekonomi bahkan mantan penasihat ekonomi perdana menteri.
“Jadi pak-pak menteri, berpada-padalah nak kritik pun. Jangan ingat kami main congak angka-angka itu. Ada asas dan penilaian pada setiap angka yang kami kemukakan.
“Mudahnya saya simpulkan, Bajet PH sebagai “Belanjawaan Merawat Derita Rakyat”. Ini agaknya yang sangat menjengkelkan Najib dan menteri-menterinya,” ujar beliau mengulas komen-komen negatif anggota kabinet Najib terhadap belanjawan dibentangkan presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam sidang media di parlimen, kelmarin.
Menurut Dr Dzul, ketika pentadbiran Najib mengenakan GST ke atas semua rakyat termasuk golongan miskin dan golongan asnaf, PH mahu menghapuskan ‘cukai songsang’ itu.
PH juga, tambah beliau akan melaksanakan kembali subsidi yang ditarik balik BN bagi keperluan asas rakyat seperti tepung, gula, minyak masak dan bahan bakar (minyak, diesel dan gas) tetapi dengan kaedah ‘terarah’ dan bukan ‘borong’.
“Bajet PH juga dirumus secara komprehensif dan menggarap aspek-aspek ekonomi yang lain termasuk sektor Perbankan dan Ekonomi Islam dan Ekonomi Revolusi Industri 4.0 supaya negara kekal berdaya-saing dalam saingan baru global.
“Ini termasuk bagaimana menjana ekonomi berprestasi tinggi dengan menekankan pembinaan industri dan produk hiliran yang bernilai tambah tinggi. Hanya dengan cara demikian negara mampu mempunyai golongan pekerja yang mempunyai pendapatan yang tinggi,” ujar beliau.
Menyentuh tentang program ekonomi PM Najib Razak atau ‘Najibnomik’, beliau melihatnya sebagai gagal kerana pentadbiran Najib jelas gagal menjana kerja yang mempunyai gaji atau upah yang tinggi.
Bila kadar inflasi melebihi kadar faedah simpanan dalam bank, rakyat jelas beliau mengalami ‘kadar negatif’ dalam simpanan.
“Maknanya nilai duit simpanan rakyat sebenarnya menyusut dalam bank mereka. Najib tidak tahukah akan semua hal ini? Tiga faktor besar yang mencetuskan inflasi yang ganas (virulent) adalah GST, penarikan subsidi dan susut nilai ringgit,” ujarnya.
Menurutnya, inflasi paling buruk pada bulan Mac (5.1%) lalu dan kadar inflasi diramalkan 3.7% purata untuk tahun 2017.
Malah tambah beliau, dapatan penyelidik mendedahkan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah menghapuskan lebih kurang 50% perbelanjaan isi-rumah secara langsung.
“Bersekali dengan GST, penarikan balik subsidi barang-barang keperluan melonjakkan harga naik antara 14% sehingga 31%. Pengangguran khususnya di kalangan remaja dan graduan serta kehilangan kerja menambah derita rakyat,” ujarnya.
Malah tokoh ekonomi negara Prof Jomo Kwame Sundaram mengecam GST yang didakwanya menjadi faktor utama melebarkan lagi kesenjangan kaya-miskin.
Menurut Dr Dzulkefly, Bajet PH bermatlamatkan mengatasi derita rakyat dengan mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan gaji minima ke paras RM1,500.
Secara lebih khusus, langkah-langkah mengurangkan kos barangan termasuk:
i. Menghapuskan cukai GST yang songsang (regresif).
ii. Menghapuskan tol sekaligus menjadikan kos pengangkutan awam mampu dibiayai rakyat.
iii. Mempastikan rumah mampu dimiliki seperti dilaksanakan di Selangor.
iii. Menawarkan pendidikan percuma bagi mengurang beban hutang PTPTN dan menekankan Pendidikan dan Latihan Teknikal-Vokasional supaya meningkatkan kebolehpekerjaan.
iv. Bayaran balik hutang PTPTN hanya setelah bekas peminjam mendapat gaji melebihi RM4000.
v. Subsidi bahan bakar yang ‘terarah’ dan bukan ‘blanket’ secara ‘borong’ supaya kena sasaran. BRIM akan diteruskan dengan sedikit kaedah dan syarat yang berbeza bagi memaknakan proses pengupayaan rakyat teramai.
vi. Melaksanakan Gaji Minima RM1,500 seperti dilaksana di Selangor dan Pulau Pinang dengan mewujudkan mekanisme ‘co-pay system’ supaya sama ditanggung oleh majikan dan kerajaan akan kenaikan RM500 itu untuk tiga tahun.
vii. Memperkasakan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan secara ‘tripartite’ bagi membela kepentingan dan kebajikan pekerja.
Apa pula yang bakal dijanjikan pentadbiran Najib bagi mengurangkan beban dan derita rakyat?
Ianya akan diketahui pada sesi pembentangan Bajet 2018 oleh perdana menteri petang ini.
mdl
Picture

Khamis, Oktober 26, 2017

Panas!! Peniaga Pasar pasir putih mahu kerajaan tidak ‘berhati perut’ ditukar

Tindakan kerajaan Pas Kelantan melalui Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) memaksa peniaga-peniaga pasar berpindah ke tempat baharu yang tidak sesuai dianggap tidak berhati perut.
Pengerusi persatuan peniaga-peniaga pasar Pasir Puteh, Kamar Zaman Che Ngah berkata rakyat Kelantan patut menukar kerajaan seperti ini dan menaikkan sebuah kerajaan baharu yang lebih mesra rakyat.
“Kerajaan adalah yang dipilih rakyat melalui pilhan raya dan saya menyeru kerajaan ini ditukar dalam pilihanraya ke-14 nanti.
“Saya tidak mahu sebutkan parti mana yang patut dipilih asalkan kerajaan sekarang tidak lagi diberi kuasa untuk menzalimi rakyat,” katanya ketika berucap di majlis solidariti bersama peniaga pasar Pasir Puteh yang turut dihadiri Datuk Husam Musa semalam.
Beliau yang terlibat sebagai perunding antara para peniaga dengan pihak kerajaan melahirkan rasa yang amat sedih.
“Apabila pasar baharu hampir siap, saya sudah memaklumkan kepada pihak MDPP bahawa reka bentuknya tidak mungkin sesuai dengan keperluan kami.
“Apa yang berlaku ialah mereka langsung tidak pedulikan rungutan peniaga.
“Ia berlarutan hinggalah tarikh yang dijadualkan kami berpindah awal tahun ini,” katanya.
Kamar Zaman bercerita mengenai masalah dihadapi peniaga.
Para peniaga katanya sepakat tidak akan berpindah kerana tempat baharu itu sama sekali tidak boleh dijadikan ruang niaga yang sepatutnya.
“Jadi setelah pelbagai rundingan yang dijalankan gagal, kami sepakat untuk membuat tuntutan di mahkamah.
“Walaupun Mahkamah Tinggi tidak menyebelahi kami dalam keputusannya, tuntutan diteruskan di Mahkamah Rayuan yang akan memulakan pendengaran pada 26 Oktober ini,” katanya.
Tiba-tiba menurutnya kami mendapat notis untuk mengosongkan pasar lama ini antara 15 hingga 22 Oktober lalu.
“Kami berpegang bahawa proses mahkamah belum selesai dan notis seperti ini adalah tidak sah.
“Kecuali tidak sampai 10 orang, kesemua lebih 500 peniaga di sini sepakat untuk tidak berpindah sehingga proses mahkamah selesai,” katanya.
Dalam tempoh ini menurutnya pelbagai percubaan berbentuk ancaman dan ugutan dihadapkan kepada para peniaga.
“Bekalan air dan elektrik dipotong pada sebelah malam 22 Oktober dan kononnya pagar akan dikunci dan jalan-jalan masuk akan ditimbun pasir,” katanya.
Kamar Zaman berjanji beliau akan tetap bersama para peniaga memperjuangkan nasib mereka walau apapun terjadi.
“Ini tempat kita, tempat asal usul kita mencari kehidupan dan kita akan berkubu di sini walau apapun terjadi,” katanya.
mdl
Picture

Rabu, Oktober 25, 2017

Wisma Tok Guru : KANUN desak Pas tunjukkan bukti perjanjian jual beli

Wisma Tok Guru : KANUN desak Pas tunjukkan bukti perjanjian jual beli
Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara (AMANAH) mencabar Pemuda Pas untuk mendedahkan butiran perjanjian itu bagi semua pihak mendapat ketepatan maklumat jika terdapat pertindihan tuntutan oleh waris-waris terhadap tanah di mana terletaknya bangunan Wisma Tok Guru.
Timbalan Pengerusinya Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, KANUN juga was-was bahawa pemilik tanah baharu itu memegang tanah sebagai amanah kepada Pas kerana tidak mendapati sebarang catatan ‘pemegang amanah’ di atas geran hak milik tanah tersebut.
KANUN juga memandang serius tindakan Pemuda Pas yang membuat provokasi melampau di perkarangan Wisma Tok Guru di Salor, Kelantan.
“Tindakan Pemuda Pas berkumpul beramai-ramai dengan diketuai oleh Ketua Pemuda Pas Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pemuda Pas Kelantan merangkap Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam cubaan untuk memasang bendera Pas di perkarangan Wisma Tok Guru adalah suatu tindakan samseng dan tidak mencerminkan doktrin atau prinsip matang dan sejahtera.
“KANUN menegaskan bahawa Pemuda Pas seharusnya mendukung prinsip kedaulatan undang-undang. KANUN menyatakan bahawa berdasarkan prinsip ekuiti, AMANAH Kelantan telah menduduki tanah tersebut dengan kebenaran tuan punya asal malah telah mendapat kebenaran bertulis daripada penama tanah dan tuan punya asal tanah tersebut.
“KANUN percaya AMANAH Kelantan mampu untuk mempertahankan Wisma Tok Guru itu berdasarkan prinsip ekuiti yang diamalkan di Malaysia.
“KANUN juga menyatakan bahawa tidak berbangkit isu kenapa Datuk Husam Musa tidak memulakan saman ke atas pemilik tanah baharu kerana pada asasnya prinsip ekuiti digunakan sebagai perisai (“a shield not a sword”),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Justeru dalam kenyataan itu KANUN mempersoalkan bagaimanakah peguam Pas yang ramai daripada Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi (LUHAM) atau Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi (JUHAM) Pas gagal menasihati Ketua Pemuda Pas Pusat dan Ketua Pemuda Pas Kelantan tersebut untuk tidak membelakangkan proses perundangan.
“KANUN menyatakan bahawa AMANAH Kelantan bukanlah menduduki Wisma Tok Guru seperti setinggan. Bahkan, jika ianya setinggan sekali pun, tuan punya tidak berhak untuk menghalaunya melainkan dengan mendapat perintah Mahkamah terlebih dahulu. Inikan pula kedudukan AMANAH Kelantan yang telah menduduki tanah itu dengan kebenaran pemilik asal.
“KANUN juga hairan adakah wujud mana-mana peguam yang menasihati Pas tentang tatacara dan prosedur pembelian sesuatu tanah?
“Lazimnya, bagi pembelian setinggi RM700,000 ianya akan diperincikan dalam satu perjanjian jual beli. Perjanjian jual beli itu pula akan memperincikan kaedah pembayaran dan kaedah penyerahan kosong sesuatu hartanah.
“Penyerahan kosong hartanah pula akan bergantung kepada keadaan semasa hartanah itu sama ada didiami oleh penyewa atau orang yang diberikan kebenaran.
“Jika pembeli mendapati hartanah itu didiami oleh orang lain, maka sebelum baki wang pembelian dibayar sepenuhnya penjual perlu memastikan tanah itu benar-benar kosong dan tiada isu-isu yang masih tergantung di mahkamah,” ujarnya.
Terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa dipetik berkata, beliau kesian kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakub kerana tidak dapat mengawal anak buahnya dalam mencari jalan penyelesaian bagi pertikaian Wisma Tok Guru.
Ujar beliau, dalam hal sekecil itu pun Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan gagal hendak mengendalinya, maka akan jatuhlah maruah Pas.
Husam juga berkata, beliau menerusu KANUN telah menubuhkan satu kumpulan yang dibarisi beberapa peguam untuk memfailkan kes perebutan itu ke mahkamah agar penyelesaian dapat dilakukan melalui proses undang-undang.
mdl
Picture

Selasa, Oktober 24, 2017

RM1.6 juta tulis artikel burukkan Anwar?

RM1.6 juta tulis artikel burukkan Anwar?
Seorang pemimpin AMANAH mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri berhubung bayaran sebenar kepada bekas penulis ucapan George W Bush, Joshua Trevino untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, soalan pada sidang Dewan Rakyat kali ini penting memandangkan sebanyak AS$389,724.70 (RM 1.61 juta) didakwa terlibat bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, apa yang beliau tahu berkenaan latar belakang Trevino hanya melalui beberapa artikel yang dibaca dari penerbitan luar negara seperti artikel oleh Rosie Gray dan beberapa yang lain.
“Dilaporkan beliau adalah mantan ‘speech writer’ dalam pentadbiran mantan Presiden Amerika, George W.Bush, mantan konsultan dan pegawai Tentera AS. Dia juga dikatakan terlibat dengan Yayasan Polisi Awam Texas,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hanipa memberitahu, tindakannya sebagai Ahli Parlimen mahu mendapatkan pengesahan maklumat berkaitan pembayaran sejumlah RM1.6 juta itu adalah munasabah.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang pada 2013 merupakan Pengarah Komunikasi parti itu mendesak Najib menjelaskan sama ada kerajaan mengetahui Joshua adalah penyokong kuat rejim Israel.
Menurutnya, kerajaan Malaysia pernah didapati membayar RM94 juta kepada FBC Media antara 2007 hingga 2010 selain daripada bayaran AS$70,000 kepada Apco Worldwide oleh FBC untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak Najib.
Empat tahun lalu, Trevino mengaku menerima AS$389,724.70 daripada kerajaan Malaysia untuk mengendalikan blog MalaysiaMatter.com dan MalaysiaWatcher.com.
Pengakuan itu didapati menerusi pemfailan pendapatan beliau dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
mdl
Picture

Isnin, Oktober 23, 2017

Panas!! : Lebih 1000 ahli Umno sertai Bersatu di Perlis

Lebih 1000 ahli Umno sertai Bersatu di Perlis


Hasil dari kelemahan pentadbiran kerajaan negeri yang ditadbir oleh Umno dan BN di Perlis, mengakibatkan lebih 1000 ahli Umno di negeri itu meninggalkan part dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sekaligus ini membuktikan Umno di Perlis semakin susut dan menurun keanggotaan mereka jika dibandingkan sebelum kewujudan Bersatu.
Menurut Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan, sokongan yang melonjak naik diterima oleh Bersatu adalah kerana ramai ahli Umno telah sedar akan tipu daya pimpinan mereka.
“Gerak kerja yang dilaksanakan oleh Bersatu bersama-sama dengan komponen Pakatan Harapan (PH) di Perlis memperlihatkan perubahan yang berjayan diraih.
“Kekerapan turun padang dan mendekati masyarakat secara rutin yang dilaksanakan sejak awal lagi berjaya menjelaskan segala kebobrokkan pimpinan Umno dan BN.
“Akhirnya Bersatu Perlis telah berjaya menarik lebih ramai ahli Umno, ” jelas beliau lagi.
Ameir Hassan
Malah katanya, setakat ini Bersatu Perlis mempunyai lebih 2000 ahli yang turut dianggotai oleh pengundi muda.
“Umno di Perlis seharusnya sedar dengan penyertaan begitu ramai bekas ahli Umno yang meninggalkan parti tersebut mereka semakin susut dan kurang.
“Daripada lebih 3000 ahli yang mereka ada sebelum ini boleh dikatakan separuh daripadanya telah pun menganggotai Bersatu dan komponen PH yang lain.
“Ini juga memperlihatkan betapa Umno Perlis sudah semakin tidak mendapat kepercayaan ahli mereka sendiri sehingga meninggalkan parti lama tersebut, ” tegasnya lagi.
Beliau yang turut merupakan Pengerusi PH Perlis juga berkata, kerajaan negeri Perlis kini semakin lemah dalam menyediakan pelbagai infrastruktur kepada rakyat.
“Isu kemiskinan yang melarat di negeri ini tidak diberi perhatian serius oleh mereka.
“Lebih parah masih ada yang hidup di Perlis tanpa bekalan air bersih dan terpaksa menggunakan sungai sepertimana yang ada di Kampung Wai, Kuala Perlis.
“Kita mempunyai banyak buktik dimana penduduk miskin masih lagi tidak mempunyai bekalan elektrik dan hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, ” tambahnya.
Oleh kerana itu katanya, rakyat negeri Perlis harus segera bangkit dan membuat perubahan dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang tanpa memberi sedikit pun mandat kepada Umno dan BN.
“Umno dan BN tidak harus diberi peluang sekali lagi di Perlis untuk memerintah negeri.
“Rakyat Perlis mesti berani untuk menolak Umno dan BN sekiranya mereka tidak lagi mahu berada ditakok lama.
“Tolak kerajaan negeri yang ada serta beri peluang untuk PH membuktikan kemampuan bagi menerajui kepimpinan sepertimana yang dibuktikan di Pulau Pinang dan juga Selangor, ” katanya ketika hadir bersama pimpinan PH menemui penduduk di Tebing Tinggi.
mdl
Picture

Sabtu, Oktober 21, 2017

AMANAH bawa agenda perubahan, kewujudan Pakatan Harapan

AMANAH  bawa agenda perubahan, kewujudan Pakatan Harapan
Parti AMANAH Negara (AMANAH) yang ditubuhkan dua tahun dilihat membawa agenda perubahan kepada pembangkang kerana membuka pendekatan dan konsep baru dalam pentas politik tanah air sehingga membawa kewujudan Pakatan Harapan.
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan pimpinan utama berkata, walaupun AMANAH ditubuhkan setelah
anggota dan pimpinannya keluar Pas, amat menepati dengan konsep ‘rahmatan lilla alamin’ yang dibawa oleh AMANAH di bawah pimpinan Presiden Mohamad Sabu.
“Kita bersama rakan AMANAH Negara membuka ruang kepada tercetusnya Pakatan Harapan, nama Pakatan Harapan adalah hasil pengorbanan yang dilakukan sahabat kita dari AMANAH.
“Sudah jelas AMANAH merupakan sahabat setia, menjunjung prinsip dan setia ini, ia mesti diraikan dan dihormati serta dijaga oleh parti dalam gabungan.
“Meskipun bertukar ‘jersi’ (Mohamad) tetapi seni politiknya dikagumi, presiden AMANAH lincah walaupun usianya menjangkau enam siri.Gerakan politiknya dihormati lawan dan kawan.
“Pelbagai pengalaman dan cubaan dihadapi beliau,yang pernah ditahan ISA, mahir berdemontrasi, turun naik mahkamah.
“Namun beliau terus kental dan terus setia meneruskan agenda perubahan demi negara tercinta konsep ‘rahmatan lilla alamin’
membuka pendekatan konsep baru di Malaysia,” ujarnya yang turut mengucapkan taniah kerana Mohamad yang menang kes di mahkamah berkaitan fitnah pejuang dan keluar anggota polis Bukit Kepong.
Wan Azizah yang juga Presiden Pakatan Harapan berkata, AMANAH juga meletakkan tanda aras baru apabila motto ‘amanah, progresif, peduli’ itu berjaya mengubah pemikiran dan tanggapan segelintir masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Kita juga bukan golongan yang suka lakukan kezaliman dan sedia menjunjung amanah yang kita junjung.
“Dengan menegakkan keadilan kita mengajak rakyat bersama lakukan perubahan demi kemakmuran dan kesejahteraan pimpin dengan
amanah, tadbir urus baik, menghapuskan rasuah, bendung ketirisan dan hapuskan kleptokrasi di bumi Malaysia
“Seperti apa yang kita ikrarkan di Padang Timur pada 14 oktober lalu, kita akan hapuskan rasuah demi negara tercinta dan menjadikan Malaysia antara 10 negara terbersih pada 2030,”ujarnya yang mengingatkan 898 perwakilan yang hadir dalam konvensyen ini, kepada Ikrar Pakatan Harapan yang diucapkan di Padang Timur dalam Himpunan anti kleptorasi pada Sabtu lalu.

Sebahagian daripada 898 perwakilan seluruh negeri yang hadri dalam Konvensyen Amanah 2017 hari ini.
Justeru katanya dengan Konvensyen Nasional AMANAH ke 2 yang berlansung di Hotel Royale Signature Alor Setar hari ini, membuka ruang kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut bertekad meneruskan perjuangan dengan Pakatan Harapan.
Pakatan Harapa ujarnya lagim adalah gabungan politik yang membawa bawa agenda reformasi jelas dengan gabungan ahli pelbagai peringkat usia, lebih dinamik yang turut merangkumi semua kaum dan agama di negara ini
Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang adalah medan semua parti politik berentap.
“Inilah masa rakyat lakukan perubahan tumbangkan BN…sinaran Malaysia baharu akan dibina di bawah Pakatan Harapan jika berjaya merampas Putrajaya.
“Kita dalam Pakatan Harapan akan pastikan mereka dan koncu-koncu mereka akan dibawa ke muka pengadilan jika Pakatan Harapan menang,” ujarnya yang mendapat tepukan gemuruh dikalangan perwakilan yang hadir dalam Konvensyen dua hari diadakan di Hotel Royale Signature di Alor Setar hari ini.
mdl
Picture

Jumaat, Oktober 20, 2017

‘Pembohongan Agama’ demi politik,kuasa dan harta

‘Pembohongan Agama’ demi politik,kuasa dan harta
Sejak Khamis 27 Mac 2014, saat Pas sudah dua kali kemukakan kertas cadangan untuk keluar dari kerjasama politik dengan PKR-DAP ketika kemuncak serangan rakyat pada tindakan khianat Pas di Kota Damansara, Sungai Acheh, isu calon pil kuda, dan lain-lain, maka sebaik Menteri Jamil Khir bangkit cabar Pas untuk bawa hudud ke Parlimen, mungkin dah beratus kali kita nasihatkan kepimpinan bahawa “JANGAN SESEKALI percaya pada Umno”.
Sebab Umno-BN itu jahat, zalim dan pembohong besar. Bahkan setiap inci gerak-tari atau patah perkataan Umno itu semuanya adalah perangkap politik untuk hancurkan pembangkang, Islam dan Melayu.
Kita sebut tak ada satu pun sikap Umno itu boleh manfaat buat Islam atau Melayu. Kita pesan, kekallah beristiqamah demi perjanjian tahaaluf siyasi sudah disepakati yangg jelas ‘SANGAT MENGUNTUNGKAN dakwah dan politik’ itu.
Sebab matlamat jangka panjang kita adalah untuk bebaskan Malaysia dan seterusnya membawa kebebasan pada sistem yang rosak yang Umno tinggalkan.
Di situlah ruang dan medan untuk Islam menjadi sistem demi mengisi keperluan ummah dan negara kita kelak. Jangan terburu. Jangan bodoh dan masuk dalam perangkap itu!
Kalangan mereka itu adik-adik yg sangat naif politik. Baru pulang dari luar negara, dari Mesir dan Timur Tengah, jiwa penuh retorik “al-Islamu huwal haal” (Islam lah jalan penyelesaiannya) yang baru mahu berjinak dengan parti politik dan lain-lain, terus bangkit membantah, kamu semua itu bukan golongan yang tulen (asolah) dalam perjuangan Pas.
Mereka melenting -‘Hudud itu darah daging Pas, hudud perjuangan sebenar Pas’, kalau gagal buat hudud 2015 saya letak jawatan Menteri Besar, siapa yang tak sokong hudud mereka anti Islam.
Pergi mampus dengan PKRpDAP yang anti hudud hatta kita tak kesah kalah pilihan raya sekalipun, asalkan Allah redha katanya.
Kemuncaknya 7 September 2014, Haji Abdul Hadi Awang cakap lagi – kalau kamu tak setuju dengan keputusan itu, kamu keluarlah dari Pas dan tubuhkan parti sendiri. Jangan lagi duduk dalam Pas dan jadi nyamuk yang bising.
Sabtu 6 Jun 2015, disaksikan lebih 2,000 perwakilan Muktamar di Kuala Selangor, akhirnya Haji Hadi yang bergelar ulamak itu terus sanggup salah-gunakan “veto” untuk putuskan langsung hubungan dengan DAP dengan arahkan usul putus dengan DAP “diterima tanpa dibenarkan bahas” sehinggalah terbubarnya PR akhirnya.
Itulah kisah malapetaka (nakbah) ciptaan ulamak itu. Itu juga barangkali titik pertama dalam sejarah pasca Nubuwaah sesebuah sekumpulan Islam sanggup khianati perjanjian bertulis yang mereka tandatangani tanpa satu pun alasan yang mampu disandarkan.
Demi hudud sahaja katanya, habis semua dijadikan musuh. Manakala musuh Umno itu dijadikan sahabat berpeluk-cium depan khalayak tanpa lagi malu dan segan.
Sejak itu juga, hudud dah hilang. Ditukar nama RUU355 yang 4 kali bertukar-tukar matannya dan 3 kali ditangguh-tangguhkan mengikut skrip Umno. Bahkan November 2016 Haji Hadi sebut dengan bangga sekali RUU355 ini bukan sesekali untuk buat hudud di Kelantan. Satu dunia tertipu dan akhirnya melopong hairan.
Dan hari ini seorang ulamak lain pula kata tangguhkan lagi RUU355 itu hingga lepas PRU14 untuk dibawa ke Parlimen, itupun jika Pas menang katanya.
Ikhwah yang dirahmati…Inilah politik yang tiada rahmah padanya.
Episod kaffarah berupa kehinaan kata dan tindakan buruk para ustaz Pas yg terbukti dah berulang-ulang khianat dan bohong atas nama agama dan ulamak ini sudah pun di-institusikan, dan disokong pula oleh pengikut yang ta’asub secara ghulluw pada susuk ulamak itu, tanpa secebis keberanian menegur dan membetulkan.
Benarlah amaran Allah ini;
*وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَّلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ*
Maksudnya;
Bandingan mereka yang cenderong mengikut hawa nafsunya dengan melakukan “pembohongan atas nama Allah”, adalah seperti anjing, yg mana tatkala Engkau menghalaunya ia pasti menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Dan jika Engkau membiarkannya ia juga terus menghulurkan lidahnya termengah-mengah.
[ Al-‘Araf 176]
Benarlah sekali,
Kisah “penunggang agama” sebegitu telah lama dinaqalkan dalam Al-Quran untuk kita bersama jadikannya sebagai pengajaran bagi berfikir.
Insya Allah beruntunglah pula siapa atau kumpulan yg meneruskan perjuangan ini berdasarkan PRINSIP PERJUANGAN yang dibentuk dari setiap ilmju dan ‘ibrah yang dilalui itu.
mdl
Picture

Khamis, Oktober 19, 2017

AMANAH isi lompang yang ditinggalkan Pas

AMANAH isi lompang yang ditinggalkan Pas


AMANAH berperanan dalam Pakatan Harapan sebagai parti berpaksikan Islam yang amat diperlukan dalam masyarakat majmuk di negara ini, kata Pengarah Strateginya, Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, AMANAH membawa pendekatan Islam yang inklusif bukannya eksklusif dalam usaha mengelak perbalahan agama.
“Orang selalu tanya apa peranan AMANAH dalam Pakatan Harapan? Hadir dan tampilnya Parti Amanah Negara (AMANAH) mengisi lompang dan kekosongan yang ditinggalkan oleh parti lama kami (Pas). Inilah peranan kami.
“Sebenarnya, ini adalah tuntutan pada perjuangan Islam itu sendiri. AMANAH tidak melabel atau menghukum orang dan sifatnya progresif maknanya sentiasa memperbaharui jihad, tajdid dan ijtihad,” ujarnya.

Amanah giat dengan program wacana dan membudayakan dialog.
Katanya, model masyarakat majmuk dapat dilihat pada negara bernama Madinah Al Munawarrah (Bandar Bercahaya) dengan perlembagaan bertulis pertama di dunia.
“Nabi Muhammad menangani masyarakat majmuk dan mengemudi Madinah itu dalam satu kontrak sosial yang pertama di dunia ini (melalui) Sahifah Madinah.
“23 daripada 47 fasal (Sahifah Madinan) bercakap tentang urusan berkaitan bukan Islam,” tambah bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi.
Sehubungan itu, pendekatan Islam yang diketengahkan AMANAH, jelasnya, penting bagi menangani unsur-unsur melampau yang membawa perpecahan agama.
“Tambah pula menjelang pilihan raya ini, saya perhati dan kita saksikan bagaimana isu perkauman dan pertentangan agama akan dijadikan modal untuk menang dan mengekalkan kuasa.
“Sebab itu AMANAH rasa bertanggungjawab meletakkan Islam sebagai rahmah, ehsan, belas, sejahtera untuk semua hinggakan penganut agama lain tidak takut dengan Islam. Mereka rasa selamat dengan Islam,” jelasnya.
Bercakap dalam forum disiarkan Oren TV baru-baru ini, Dr Dzulkefly bimbang dengan gejala pelampau atau fasis Islam yang mulai berputik dan perlu ditangani sebelum menjadi tidak terkawal.
mdl
Picture

Selasa, Oktober 17, 2017

PH Perak lapor polis isu pengundi hantu

PH Perak lapor polis isu pengundi hantu


Pakatan Harapan (PH) Perak membuat laporan polis berhubung isu wujudnya pengundi meragukan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri itu.
Pengarah Pilihan Raya PH Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa satu siasatan terperinci dilakukan berkaitan maklumat daftar pemilih melibatkan lebih 165,000 orang yang disifatkan sebagai pengundi hantu.
Menurutnya, kesalahan memalsukan maklumat dalam daftar pemilih boleh dikategorikan sebagai jenayah berat di bawah Seksyen 177 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana bakal memberi kesan terhadap sistem demokrasi memilih kerajaan.
“Kewujudan bilangan yang besar ini melibatkan pengundi tanpa alamat, alamat tidak lengkap malah alamat diberikan tidak pernah wujud, namun mereka masih punya pusat dan daerah mengundi. Kami juga dapati ramai nama pengundi yang mengikut rekod berusia lebih 100 tahun.
“Jadi kita minta polis dapat jalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya, bukan sahaja kepada pemilik nama, malah pihak yang menjadi dalang di sebalik isu ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Perak mengakui agak kecewa dengan respon diberikan pimpinan BN yang lebih banyak menafikan perkara itu dan menuduh pembangkang membuat andaian.
“Ini bukan sekadar dakwaan kosong, tapi kita ada bersama bukti, mereka juga boleh lihat sendiri apabila lebih 56,000 muka surat dalam sistem daftar pemilih memaparkan maklumat tidak munasabah.
“Sebelum ini, mereka memberi penerangan seolah kita tidak faham pengundi hantu…itulah sebenarnya pengundi hantu,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Menteri Besar Perak mencabar pembangkang membawa kotak-kotak didakwa sebagai bukti mengandungi maklumat pengundi hantu kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
Ia berikutan kesediaan pembangkang untuk mendedahkan wujudnya komplot BN dalam daftar pemilih bagi memenangi parti itu pada PRU14.
mdl
Picture

Isnin, Oktober 16, 2017

Undi Pas tidak mampu membawa perubahan selepas PRU 14



Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14) akan berlangsung paling lewat pada bulan Jun 2018. Kini semua parti giat berkempen dan memberikan penerangan berkaitan manifesto parti masing-masing. Tidak syak lagi bahawa PRU 14 akan menyaksikan banyak kerusi yang akan ditandingi secara tiga penjuru iaitu Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Pas.
Sistem perundangan di Malaysia memberikan hak kepada mana-mana individu warganegara Malaysia atau mana-mana parti yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjadi calon dalam pilihan raya.
Ini dijelaskan dalam Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Plihan Raya) 1981. Ini bermakna mana-mana individu yang bercadang untuk bertanding boleh berbuat demikian atas kapasiti individu atau mewakili parti yang disertainya. Jika beliau memilih untuk bertanding sebagai individu, beliau perlu memilih mana-mana logo yang disediakan oleh SPR seperti logo anak kunci, payung, arnab, cerek, buah manggis, baju, kereta dan lain-lain.
Namun, jika beliau memilih untuk bertanding mewakili sesuatu parti maka beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis (watikah perlantikan) sebagai calon daripada parti yang diwakilinya. Ini dinyatakan dalam Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Plihan Raya) 1981. Untuk rekod, kini ada 46 buah parti politik yang telah berdaftar dengan SPR.
Apa yang lebih penting bahawa undang-undang di negara ini membenarkan proses demokrasi dalam hal penawaran diri untuk menjadi calon berjalan dengan sewajarnya. Maka, apa yang pengundi harus berikan perhatian adalah bahawa undi anda tidak sewajarnya disia-siakan.
Walaupun ada 46 parti yang boleh bertanding, ini tidak bermakna anda boleh memilih mana-mana parti. Anda haruslah memilih calon yang bertanding mewakili parti yang boleh mengubah nasib anda setelah PRU 14 selesai. Undi anda adalah amat bermakna bagi setiap calon dan parti yang bertanding. Undi anda akan menentukan masa depan negara dan tanahair ini.
Justeru, anda mestilah mengundi untuk perubahan. Jika dilihat pada masa sekarang, terdapat 3 parti utama yang akan bertanding di kebanyakan tempat. Barisan Nasional (BN) selaku parti yang memerintah pasti akan bertanding di kesemua 222 parlimen di seluruh Malaysia.
Pencabar terdekat kepada BN adalah Pakatan Harapan (PH). PH adalah pakatan pembangkang yang paling kuat terdiri daripada 4 parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Selain itu, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) telah memutuskan untuk bertanding sendirian bersama-sama dengan parti kecil yang lain seperti Ikatan dan Berjasa. Mereka menggelarkan kumpulan ketiga ini sebagai Gagasan Matang dan Sejahtera.
BN sudah pasti akan mempertahankan polisi yang ada pada masa kini. Jika BN kembali memerintah tiada sebarang perubahan besar dalam polisi negara yang akan berlaku. Tiada janji daripada BN untuk mengubah polisi yang sedia ada.
Kini masalah utama negara adalah isu kleptokrasi, rasuah, ketirisan, 1MDB, sengsara ekonomi dengan penguncupan nilai ringgit dan cukai GST dan kos sara hidup yang makin tinggi. Apakah penyelesaian yang ditawarkan oleh BN melainkan kemungkinan isu-isu ini akan bertambah serius. Bahkan kemungkinan cukai GST akan ditingkatkan daripada 6% kepada nilai yang lebih tinggi seperti 8% dan ke atas.
PH pula menjanjikan 7 perkara yang akan dibuat iaitu menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak, meringankan beban kos sara hidup, reformasi terhadap sistem dan institusi kerajaan, memerangi rasuah, menyiasat skandal 1MDB melalui Suruhanjaya Diraja dan memulihkan Felda.
Bagi Pas pula mereka tidak mampu untuk membentuk kerajaan kerana hanya bertanding maksima 100 kerusi Parlimen sahaja sedangkan keupayaan untuk membentuk kerajaan mestilah sesuatu parti itu perlu mendapat sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.
Walau apapun mesej yang dibawa oleh Pas, mesej tersebut hanya akan menjadi sia-sia kerana mesej tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak dapat membentuk kerajaan.
Apa yang Pas harapkan setakat ini adalah bahawa mereka akan menang 40 kerusi dan setelah menang akan berunding dengan PH atau BN bergantung kepada siapakah yang akan memberikan tawaran lebih besar kepada Pas.
Oleh itu, para pengundi harus sedar bahawa mengundi untuk Pas adalah sia-sia dan merupakan pembaziran dalam undi. Ingatlah bahawa undi anda adalah sangat bermakna maka usahlah dibazirkan undi dengan mengundi parti yang tidak mampu membawa sebarang perubahan.
Pilihan bagi pengundi hanyalah sama ada mengundi BN atau PH sahaja. Jika mengundi BN maka anda memilih untuk mengekalkan polisi pentadbiran yang sedia ada.
Jika mengundi PH maka anda memilih untuk mengubah polisi yang sedia ada kepada polisi yang lebih baik. Siapakah yang tidak mahu melihat GST dihapuskan dan bebanan ekonomi dipulihkan.
Persoalannya mampukah PH memenuhi janji manifesto yang dibuat itu? Atau, adakah keadaan akan menjadi lebih buruk daripada BN? Inilah yang menjadi ketakutan kepada pengundi untuk berubah.
Oleh itu, untuk menghapuskan perasaan takut itu pengundi haruslah melihat kepada contoh pemerintahan PH yang sedia ada iaitu di Selangor dan Pulau Pinang. Apakah keadaan ekonomi Selangor dan Pulau Pinang semakin buruk atau semakin cemerlang?
Semenjak PH mengambilalih Selangor pada tahun 2008, sekurang-kurangnya setiap pengundi sudah dapat penjimatan bil air sebanyak 10 liter sebulan. Katakanlah bahawa penjimatan itu bernilai RM10 sebulan maka pengundi itu sudah mendapat penjimatan sebanyak RM120 setahun.
Oleh itu, dari tahun 2008 sehingga 2017 hampir 9 tahun sudah berlalu maka pengundi yang menjadi warga Selangor sudah dapat berjimat sebanyak RM1080. Bukankah ini sudah menunjukkan kemapanan ekonomi pemerintahan PH di Selangor?
Selain itu pelbagai lagi polisi pro-rakyat yang diperkenalkan kepada warga Selangor seperti bantuan pendidikan, bantuan naik haji, bantuan perniagaan dan lain-lain bantuan.
Begitu juga di Pulau Pinang, pelbagai bantuan telah diberikan kepada rakyat seperti bantuan pendidikan, bantuan kepada penghafal al-Quran, pemandu teksi, pelajar yang memasuki universiti dan lain-lain.
Sehingga kini, sudah 2 penggal PH memerintah di Selangor dan Pulau Pinang dan kajian menunjukkan tahap kepuashatian warga negeri berkenaan terhadap pemerintahan PH adalah tinggi.
Maka, pilihan yang tepat adalah untuk mengundi PH dalam PRU 14 yang akan datang. Usahlah undi Pas dan rakan kecil mereka daripada parti Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia kerana ianya tidak mampu untuk merubah lanskap politik Malaysia.
Adalah difahami bahawa masih ramai ahli yang mahu kekal dengan Pas atas pelbagai alasan seperti sentimental dengan perjuangan Pas, berada dalam persekitaran penyokong Pas atau masih percaya dengan ideologi Pas.
Namun, sebagai pengundi para ahli dan penyokong Pas harus bersama-sama mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik. Usah sia-siakan undi anda dan pastikan undi anda itu akan membolehkan kerajaan baharu PH dibentuk selepas PRU 14 kelak untuk perubahan yang lebih baik.
mdl
Picture

Iklan Penaja 2

Hasil carian imej untuk bisnes mudah

Catatan Popular Mingguan

Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Iklan C

Blog Archive