Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, Ogos 30, 2017

PKR komited kepada usaha kukuhkan PH


Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan ringkasnya menjelaskan,  Biro Politik PKR yang telah mengadakan mesyuarat mingguannya petang ini telah membuat ketetapan bahawa parti itu komited kepada usaha mengukuhkan Pakatan Harapan serta menyusun strategi untuk menewaskan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Ia susulan kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini, yang menjelaskan sebab ketidakhadirannya dalam mesyuarat Biro Politik parti itu dan sehingga timbulnya cadangan agar diadakan Kongres Khas untuk wujudkan kerjasama PKR-Pas.
Rafizi menjelaskan isu ketidakhadirannya ke mesyuarat Biro Politik PKR digunakan sebagai alasan kononnya beliau tidak mengetahui keputusan berunding dengan Pas adalah keputusan parti yang diputuskan oleh Biro Politik PKR.

Katanya, beliau telah membuat keputusan untuk tidak hadir ke mesyuarat Biro Politik sejak Ogos 2016 selepas jelas perbezaan pendapat di Biro Politik yang berpanjangan akan membantutkan persediaan parti menjelang PRU14.
Ia berikutan rentetan peristiwa-peristiwa berikut seperti yang dinyatakan Rafizi:

1.Pertembungan 3 penjuru di pilihanraya Sarawak (Mei 2016) walaupun keputusan Biro Politik adalah jelas mengekalkan persetujuan pembahagian kerusi yang diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH pada ketika itu dan ditandatangani sendiri oleh Timbalan Presiden parti

2.Tindakan melengah-lengahkan penyertaan PH di dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga ke saat akhir sehingga beliau terpaksa mengeluarkan satu Pekeliling Setiausaha Agung mengarahkan jentera parti turun membantu jentera PH (dari AMANAH dan DAP ketika itu) tanpa menunggu keputusan Biro Politik yang tidak kunjung tiba.
Rafizi turut menerangkan sejak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, keputusan di peringkat Biro Politik menjadi sukar untuk dicapai bila ada perbezaan pendapat.
"Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali (seperti yang berlaku dengan keputusan perletakan jawatan pimpinan parti di dalam Kerajaan Kelantan). Akibatnya mesyuarat Biro Politik menjadi tempat polemik politik yang berpanjangan tanpa menghasilkan gerakan yang berkesan di bawah.

"Keadaan ini semakin menjadi-jadi dalam isu yang paling sensitif iaitu kerjasama dengan Pas kerana ia melibatkan Kerajaan Selangor. Oleh kerana pandangan Timbalan Presiden ialah untuk terus membuka pintu kepada PAS sehingga ke saat akhir untuk memastikan kemenangan di Selangor, sebarang langkah yang dilihat tidak disukai oleh Pas ditolak.

"Maka keputusan untuk menubuhkan Pakatan Harapan (yang mana saya menjadi tulang belakangnya sebagai Setiausaha Agung pada ketika itu) melebarkan lagi perbezaan pendapat antara saya dan Timbalan Presiden. Peristiwa-peristiwa di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah berpunca dari pandangan yang mengaitkan sebarang inisiatif yang membabitkan Pakatan Harapan akan menguntungkan saya secara politik, maka ia tidak wajar disokong.

"Menyedari hakikat ini, selepas kekalahan di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Sungai Besar/Kuala Kangsar, saya tahu bahawa masa dan tenaga saya lebih baik digunakan untuk berkempen di bawah daripada bertempur di dalam bilik mesyuarat yang tidak berkesudahan.
"Seawal Ogos 2016, saya tahu kemungkinan besar saya akan dijatuhkan hukuman penjara kerana saya didakwa di bawah Akta OSA pada April 2016, maka saya telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Setiausaha Agung kepada Datuk  Saifuddin Nasution Ismail apabila dijatuhkan hukuman kerana pertukaran itu tidak menimbulkan kontroversi di mata rakyat.

"Sebab utama keputusan itu (selain dari soal dijatuhkan hukuman) ialah kerana saya percaya tenaga dan masa saya lebih baik digunakan untuk memastikan kempen dan persediaan Keadilan /PH di kerusi-kerusi penting (kerusi marginal yang kalah tipis) berjalan baik; daripada dihabiskan di dalam pertempuran politik di atas.
"Tambahan pula, Datuk  Saifuddin Nasution Ismail adalah orang kepercayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga diplomat Keadilan di dalam Pakatan Harapan yang paling kanan (sejak Pakatan Rakyat lagi).

"Maka saya membuat keputusan untuk mengambil tanggungjawab menyediakan jentera dan kempen pilihanraya di kerusi-kerusi marginal yang saya telah usahakan melalui Iinvoke sejak Ogos 2016 lagi," terangnya.
Rafizi turut berkata, segala tindakannya itu dimaklumi Presiden dan Ketua Umum PKR.
"Mereka memahami keadaan pada ketika itu dan kami menyesuaikan aturan menguruskan parti dan memimpin kempen rakyat untuk memastikan kompromi itu membuahkan hasil kepada rakyat dan parti: iaitu sedang Timbalan Presiden diberikan peluang mengusahakan satu muafakat dengan Pas untuk mencari jalan satu lawan satu, saya pula diberikan peluang membina kempen di bawah di kerusi-kerusi marginal melalui Invoke.

Saya memberikan laporan dan maklumbalas kepada Presiden dan Setiausaha Agung setiap minggu dalam mesyuarat mingguan kami. Saya juga adalah perunding yang mewakili Keadilan  dalam merundingkan kerusi di peringkat Pakatan Harapan.

Maka sementara saya mungkin tidak ke Biro Politik, itu tidak bermakna saya tidak tahu perkembangan parti kerana saya bermesyuarat dengan Presiden, Setiausaha Agung (dan Pengarah Pilihanraya Sdri Nurul Izzah, pada masa yang melibatkan pilihanraya) setiap minggu. Namun, saya juga tahu bahawa di saat akhir menjelang PRU14 ini, saya tidak nampak bagaimana Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat boleh mencapai persetujuan yang mendamaikan semua pihak mengenai kerjasama dengan Pas.
"Sebab itu saya mengutarakan bahawa cara paling baik ialah dengan menyerahkannya kembali kepada akar umbi melalui Kongres Khas,"terangnya.
Bagaimanapun pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan terhadap kerjasama PKR-Pas ini dimuktamadkan hari ini melalui mesyuarat yang diadakan lewat malam semalam.
Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP,AMANAH dan Bersatu mengambil pendirian bahawa Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam PRU14 dan bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru.
mdl
Picture
      

Selasa, Ogos 29, 2017

Tiada kerjasama Pakatan Harapan-Pas PRU14

Logo Harapan
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menegaskan, gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) sebaliknya PH sedang merangka strategi bagi kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru.
Penegasan itu dibuat dalam satu kenyataan selepas Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad bermesyuaat lebih empat jam malam tadi.
Kenyataan dibuat atas nama Dr Mahathir, Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Ia timbul apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali minggu lalu mengumumkan sedang ada usaha berbincang dengan Pas secara tidak rasmi, sebagai persediaan PKR menghadapi PRU14.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor bagaimanapun menjelaskan, perbincangan dengan Pas itu tiada kaitan dengan PH sebaliknya atas inisiatif PKR sepenuhnya.
Berikutan itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kelmarin mencadangkan parti itu mengadakan kongres khas peringkat kebangsaan bagi memutuskan sama ada mereka perlu terus berunding dengan Pas atau tidak.
Beliau mendakwa, ketika ini wujud dua kumpulan saling bertentangan dalam parti itu dan masing-masing membawa pendapat berbeza mengenai cara menangani Pas.
Menurut beliau juga, secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara PKR-Pas yang tidak melibatkan PH adalah satu usaha yang mustahil membuahkan hasil kerana PKR tidak boleh berunding bagi pihak Amanah dan Bersatu dalam keadaan sebahagian besar tuntutan Pas itu melibatkan Amanah, Bersatu dan DAP.
Rafizi hadir di mesyuarat malam tadi, bagaimanapun Azmin tidak kelihatan.
mdl
Picture

Isnin, Ogos 28, 2017

Sebanyak 57 peratus golongan muda sertai Bersatu

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan sebanyak 57 peratus ahli parti itu dikalangan golongan muda berusia di bawah 35 tahun.
Katanya, ia adalah satu pencapaian yang amat membanggakan sebagai sebuah parti baharu dalam usaha menarik golongan muda menyertai parti itu.
"Setakat semalam 57 peratus ahli Bersatu dikalangan golongan muda. Kalau nak harapkan Umno tidak akan dapat peratus sebanyak itu.
"Dalam Majlis Pimpinan Tertinggi sahaja kita ada 7 wakil anak muda. Ini merupakan sokongan yang besar berbanding apa yang pernah diberikan oleh Umno dahulu. Bahkan  anak muda daripada Bersatu juga turut diberikan peluang dalam jawatankuasa Pakatan Harapan ," ujarnya.
Beliau berucap pada majlis anjuran Armada Bersatu dalam program "Fund Rising Dinner" yang diadakan di Gombak semalam.
Dalam majlis sama Armada turut melancarkan "Bicara Wawasan 2020" suatu agenda untuk menyampaikan suara rakyat dalam satu bentuk perbincangan berkelompok dalam pelbagai bidang bagi meneruskan agenda Wawasan 2020 yang pernah diilhamkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991 itu.
Menurut Syed Saddiq sembilan agenda yang digariskan dalam Wawasan 2020 dilihat agak tersasar  daripada Transformasi Nasional 2050 (TN50)  tetapi ia  akan menjadi sebahagian dasar dalam Pakatan Harapan kelak sekiranya berjaya menawan Putrajaya.
" Kita nak masukkan input-input daripada sembilan agenda yang pernah digariskan dalam Wawasan 2020 itu untuk dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun ini jika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya kelak.
"Antaranya kita mahu memperkasakan suara-suara golongan wanita, NGO dan profesional ," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan sesi perbincangan dikalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan profesional lain akan diadakan pada bulan hadapan yang mana Armada akan mengetuai sesi perbincangan tersebut bersama pimpinan dalam Pakatan Harapan.
mdl
Picture

Sabtu, Ogos 26, 2017

Rafizi desak Hadi jelaskan dakwaan bertemu Najib rampas PH Selangor

Rafizi Abdul Hadi
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penjelasan akan dakwaan mengatakan Pas-Umno merancang merampas negeri Selangor sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar  berbahasa Inggeris hari ini.
Beliau berkata, laporan akhbar News Straits Times itu memberikan kesan besar kapada negara kerana mempengaruhi perkembangan politik di dalam perngkat PKR dan Pakatan Harapan (PH).
"Laporan ini kerana ia ada kesan besar kepada negara dan juga mempengaruhi perkembangan politik dalaman di peringkat Keadilan dan PH.
"Jika laporan ini tidak benar, maka samanlah Straits Times sepantas kilat dan buat sidang media tergempar menafikan perkara-perkara di atas (seperti kekerapan beliau berbincang dengan Datuk Seri Najib di telefon)," ujarya dalam kenyataan.
Beliau mengulas mengenai laporan akhbar tersebut antara lain melaporkan Abdul Hadi dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak “hampir setiap hari sejak beberapa bulan” mengenai rancangan kerjasama Pas-Umno untuk merampas negeri Selangor
Turut dilaporkan dakwaan Tan Sri Khalid Ibrahim bekas Menteri Besar Selangor disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar yang ingin diangkat melalui kerjasama Pas-Umno dan turut dilihat mengunjungi pejabat perdana menteri beberapa kali. Malah Najib didakwa kerap bercakap dengan Abdul Hadi memalui telefon semasa beliau menjalanai rawatan pada Mei lalu.
Termasuklah satu dari perancangan ialah supaya Pas bertanding 42 kerusi untuk memastikan undi Melayu kepada Pakatan Harapan berkurangan.
"Jika benar, saya mohon beliau tidak berdolak dalih dan mengesahkan sama ada kerjasama dengan Umno untuk merampas Selangor pernah ada dalam pertimbangan politik Pas sebelum ini," tegasnya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan juga berkata, PH perlu bersiap sedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan Pas dan sudah tiba masanya perbezaan pendapat di antara pimpinan kanan Keadilan mengenai perkara ini diselesaikan secara muktamad.
"Saya menghormati usaha-usaha sahabat pimpinan lain sebelum ini yang masih cuba untuk memujuk Pas walaupun saya yakin tidak ada satu bukti pun yang sahih yang menunjukkan pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan kekalahan besar-besaran Keadilan  (dan hilangnya tampuk pemerintahan Selangor) seperti yang diwar-warkan sebagai alasan paling kukuh memujuk Pas.
"Malah, segala kajiselidik yang dijalankan secara telus dan terbuka oleh Invoke yang kaedahnya menepati piawaian antarabangsa menunjukkan sokongan rakyat akan berpihak kepada Keadilan dan PH dalam pertandingan 3 penjuru kerana kehendak rakyat ialah untuk menukar kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib dengan segera.
"Sebelum ini, saya mengimbangi keperluan untuk memberikan ruang kepada sahabat-sahabat pimpinan lain di dalam Keadilan untuk menjayakan rundingan
mereka dengan Pas dengan kebimbangan saya tindakan itu dilihat sebagai tidak berprinsip dan mementingkan diri dalam keadaan apa-apa kemenangan
yang hendak dicapai mestilah berpasakkan prinsip (bukannya strategi bergabung dengan sesiapa asalkan boleh menang).
Oleh itu, mengambil kira beberapa perkembangan terkini termasuklah pengumuman Pas Selangor semalam untuk bertanding di 42 kerusi dan laporan
pada hari ini yang membayangkan kerjasama Pas-Umno, saya akan berunding dengan seberapa ramai pimpinan lain dalam Keadilan ke arah memuktamadkan
pendirian Keadilan mengenai Pas dan komitmen Keadilan kepada Pakatan Harapan.
"Saya percaya perbezaan pendapat sesama kami pimpinan kanan di peringkat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat akan berterusan dan tidak akan ada
titik persetujuan, maka keputusan sebesar ini hanya boleh dimuktamadkan dengan mengambil kira suara akar umbi Keadilan yang lebih besar (bukannya
diputuskan oleh beberapa kerat pimpinan kanan parti semata-mata).
"Walau apa pun kaedahnya nanti, saya ingin menegaskan pendirian saya bahawa pendirian Keadilan mengenai kerjasama dengan Pas  dan komitmen kepada Pakatan Harapan perlulah dimuktamadkan dalam masa terdekat dan bukannya dibiarkan “terbuka” (“open ended”) seperti sekarang, " ujarnya.
mdl
Picture

Selasa, Ogos 22, 2017

Rundingan PKR-Pas mesti dilapor kepada Pakatan Harapan

Mohamad Sabu konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan 2

Penaja : www.jomservis.blogspot.my
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan sebarang rundingan antara PKR dan Pas perlu dimaklumkan kepada Pakatan Harapan.
Menurutnya, PKR boleh berunding dengan mana-mana pihak sekalipun tetapi apa yang dibincangkan itu harus turut diketahui AMANAH, Bersatu dan DAP.
"Dia berunding dengan siapa pun boleh berunding tapi mesti lapor pada mesyuarat Pakatan Harapan.
"Kita akan tentukan had masa (perbincangan PKR-Pas)," katanya ketika ditanya Malaysia Dateline semasa sidang media sempena Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan di Central Plaza, Bukit Bintang semalam.
Walaupun Pas pada Mei lalu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini dilapor tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti di luar Pakatan Harapan itu.
Mohamad selanjutnya berpendapat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang sebagai detik paling sesuai untuk rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan.
"Suasana sekarang memihak kepada (Pakatan Harapan) nak ambil alih pemerintahan (kerajaan pusat). Kalau tidak berlaku juga kita musykil di mana yang perlu kita buat lagi," ujarnya.
Beliau turut memberitahu siri jelajah menjelang himpunan 'Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi' di Petaling Jaya, Selangor pada 14 Oktober nanti sedang giat berlangsung.
Terbaharu, di Ipoh, Perak malam tadi dan di Bera, Pahang kelmarin yang menyaksikan kehadiran tokoh-tokoh utama pemimpin AMANAH, Bersatu, DAP dan PKR.
"Harap puluhan ribu hadir dan sedang dimobilisasikan," katanya lagi ketika ditanya pemberita tentang anggaran peserta himpunan yang hadir dalam unjuk rasa secara aman itu.
mdl
Picture

Isnin, Ogos 21, 2017

Panas!! : Jentera Pilihan Raya Pas ramai masuk AMANAH

Dewan TKP


Walaupun Presiden Pas dilihat cuba menafikan tetapi sebahagian besar jentera pilihan raya parti yang sedang bertaawun atau berkerjasama dengan Umno itu sudah berhijrah kepada AMANAH.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan semalam berkongsikan situasi tersebut sepanjang pengalamannya selama 40 tahun bersama Pas.
"Berpuluh tahun bersama parti lama (Pas) bila saya merasmikan, tidak pernah lihat ahli-ahli di Wilayah Persekutuan yang hadir begini ramai di muktamar seperti yang ada dalam dewan ini sekarang.
"Yang datang dalam AMANAH ini hampir semuanya dulu menggerakkan jentera pilihan raya. Merekalah dalam AMANAH sekarang," katanya di depan perwakilan dan pemerhati di dewan TKP, Tingkat 21, Central Plaza di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru supaya jentera pilihan raya di peringkat akar umbi masing-masing saling membantu bagi mengukuhkan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.
"Kita saling menampung. Kita saling bekerjasama, kalau tempat itu tiada jentera (pilihan raya), AMANAH akan bantu," ujarnya.
Beliau berkata, Wilayah Persekutuan dan semua negeri lain harus menyumbang sebanyak mungkin kerusi kemenangan pada pilihan raya akan datang untuk mendapat mandat di Putrajaya.
"Mahu perintah perlu 120 (kerusi Parlimen), 112 paling sedikit, 130 agak selesa. Boleh sampai (menang 130). Kita harus menang semua di Wilayah (Persekutuan).
"Pulau Pinang kena menang 15 kerusi. Selangor begitu juga. Johor sekurang-kurangnya 12 daripada 26," jelas Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan itu.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat hasrat itu hanya akan tercapai sekiranya segenap lapisan rakyat Malaysia melakukan perubahan dengan menolak Umno-BN.  
"Mood rakyat (undi Pakatan Harapan) memang ada. Sokongan Cina janganlah kita kalih. Jangan mana-mana kaum lari. Memang kita boleh dapat (menang pilihan raya)," katanya.
Tambah Mohamad, rakyat hanya mempunyai dua pilihan iaitu Pakatan Harapan atau BN untuk diangkat sebagai pemerintah kecuali segelintir penyokong taasub yang tegar dengan partinya sendiri.
"Kita kuat kerana parti. Dalam pilihan raya, orang akan pilih siapa nak jadi pemerintah. BN atau Pakatan Harapan? Yang mana hendak memerintah, sebab itulah kita kena bekerjasama.
"Pilih Pakatan Harapan tolak BN melainkan ahli 'hardcore' atau pun istilah orang sebut sekarang 'walaun'," ujarnya lagi dalam nada berseloroh.
Undi teras Melayu
Dalam hal berkaitan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara sebanyak dua muka surat di akhbar Berita Harian Ahad semalam pula dilihat menguar-uarkan kekuatan parti yang membentuk blok ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) itu.
Beliau yang ditemu bual ketika masih lagi bercuti rehat selepas menjalani pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN) pada 16 Mei lalu memberitahu, partinya mempunyai 195 kawasan daripada 222 kerusi Parlimen dan 7,063 cawangan di seluruh negara.
"Pada pilihan raya umum lalu, kebanyakan jentera Pas yang membantu memenangkan calon pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP," katanya.
Abdul Hadi turut yakin gabungan PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu adalah pakatan rapuh yang tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak berjaya mendapat undi teras Melayu.
Bahkan, khusus untuk AMANAH, beliau menganggap kewujudan AMANAH sebagai tidak memberi sebarang kesan kepada politik tanah air.
"Parti itu (AMANAH) tidak boleh menggantikan Pas sebab tidak mendapat sokongan Melayu seperti Pas iaitu parti didukung oleh orang Melayu dan diterima oleh bukan Islam," kata Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu lagi.
Tembual Hadi 1
mdl
Picture

Sabtu, Ogos 19, 2017

Hot!! : YDP Pas Permatang Pauh makan bersila bersama Najib

Omar (dua dari kiri) makan bersila bersama Najib di Politeknik Seberang Prai.


Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan hadir sama meraikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam program makan bersila sempena Majlis Kenduri Pemimpin Bersama Rakyat di Politeknik Seberang Perai, tengahari tadi.
Omar dirakam duduk bersila bersama Najib dan para pemimpin Umno dalam majlis tersebut sebelum juadah dihidangkan.
Najib dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang hari ini.
Beliau tiba di Pangkalan Udara TUDM Butterworth pagi tadi disambut Pengerusi Barisan Nasional negeri, Teng Chang Yeow dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Atur cara perdana menteri dimulakan dengan menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan Barisan Nasional dan Umno negeri di sebuah hotel di Seberang Jaya.
Selepas itu, beliau menyertai ribuan hadirin dalam Majlis Kenduri Pemimpin Bersama Rakyat di Politeknik Seberang Perai.
Pada sebelah petang, Najib akan menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangka Tindakan 2.0 Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Relau sebelum mengakhiri lawatannya dengan melawat Projek Perumahan Kos Sederhana di Sungai Nibong.
Omar (kanan) dan Idris (tengah) ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas Pulau Pinang 17 Julai lalu.
Pas Pulau Pinang 17 Julai lalu menyatakan hasrat untuk bertanding semula di Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Hasrat itu dinyatakan Omar ketika berucap di majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas Pulau Pinang di Kubang Semang  yang dirasmikan naib presiden Pas Idris Ahmad.
Bercakap kepada pemberita, Idris memberitahu Pas masih membuat kajian kerusi-kerusi yang bakal ditandingi parti itu berdasarkan laporan Pas negeri dan kawasan.
“Kami mungkin bertanding 120 atau 140 kerusi di seluruh negara. Di mana kita akan bertanding bergantung pada keputusan kepimpinan tertinggi.
“Kami perlukan laporan dari jawatankuasa negeri yang mengkaji kerusi berkenaan,” kata Idris.
Kerusi Permatang Pauh sebelum PRU 1999 ditandingi Pas. Namun setelah menjalinkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang, kerusi parlimen itu ditandingi PKR.
Kerusi parlimen Permatang Pauh kini diwakili presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
mdl
Picture

Jumaat, Ogos 18, 2017

"Antara Abdul Hadi dan Mahathir, aku tak setuju dengan Hadi"

Tun Mahathir dan Abdul Hadi
Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin mempunyai perbandingan menarik antara dua pemimpin sekarang, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan.
Bagi bekas Adun Pas di Perlis itu, kedua-duanya ada kelebihan masing-masing tetapi beliau menegaskan, "Aku tak setuju dengan Abdul Hadi sebab mesra Umno. Dan aku setuju dengan Mahathir sebab lawan Umno. Itu saja."
"Jika Abdul Hadi dipanggil tuan guru, Mahathir dipanggil doktor. Jika Abdul Hadi pernah jadi MB, Mahathir pernah jadi PM," tulisnya dengan bahasa yang santai.
"Jika Abdul Hadi pandai cakap Arab, Mahathir pandai cakap Inggeris. Jika Abdul Hadi pernah mengajar orang di masjid, Mahathir pernah merawat orang di klinik," katanya lagi.
"Jika Abdul Hadi Presiden Pas, Mahathir pernah jadi Presiden Umno. Jika Abdul Hadi ada Khalil, Mahathir ada Mukhriz," katanya.
Dan yang pastinya kata beliau, mereka berdua orang Islam.
"Kedua-duanya pernah buat dosa, dan kedua-duanya pernah buat jasa. Kedua-duanya (dan kita juga) wajib bertaubat drpd dosa," jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menasihati agar tidak taksub kepada sesiapa sama ada Abdul Hadi atau Tun Mahathir kerana kedua-dua individu itu ialah manusia yang ada akal dan juga nafsu.
Namun di penghujung tulisannya, Zolkarnain menegaskan, "Peringatan: Ini cuma draf."
Ia dipercayai menyindir ahli jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor yang menarik balik tulisannya mengenai Akta 164 dengan alasan ia hanya draf selepas menerima teguran dan kritikan pelbagai pihak.
mdl
Picture

Khamis, Ogos 17, 2017

PAKATAN HARAPAN akan menang PRU14


KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) berpotensi besar untuk memenangi majoriti kerusi parlimen serta mempertahan dan memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum akan datang melalui formula ‘10 dan 5 peratus’.
Formula itu kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang boleh berjaya meskipun jika PAS bertindak sebagai ‘pengganggu’ dan menyebabkan pertembungan kerusi.
“Tsunami rakyat Malaysia ini akan berlaku jika 10 peratus pengundi Melayu dan 5 peratus pengundi bukan Melayu mengubah undi mereka daripada Barisan Nasional (BN) kepada HARAPAN dalam keadaan pengundi jelas membezakan HARAPAN dan PAS.
“Dalam keadaan ini, meskipun PAS bertindak sebagai ‘penganggu’, HARAPAN bukan sahaja akan memenangi majoriti kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia malah akan berjaya mentadbir Perak, Negeri Sembilan dan Johor serta terus mempertahankan Pulau Pinang dan Selangor dengan majoriti yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Dalam senario ini, 10 peratus pengundi PAS dan beberapa peratus pengundi bukan Melayu telah pun diambil kira ujarnya.
Berdasarkan formula itu, bagi negeri Perak; BN dijangka hanya mempertahankan 20 kerusi (34%) manakala HARAPAN memenangi 39 kerusi (66%) Dewan Undangan Negeri (DUN).
Negeri Sembilan pula bakal memperlihatkan BN memenangi 17 kerusi (47%) didahului HARAPAN dengan 19 kerusi (53%).
Johor pula dijangka menyaksikan BN kecundang dengan hanya 20 kerusi (35%) manakala HARAPAN muncul juara dengan kelebihan 36 kerusi (65%).
Di Pulau Pinang, BN diramal hanya berjaya mempertahankan 3 kerusi (7%) manakala HARAPAN pula memenangi 37 kerusi (93%).
Bagi Selangor, BN dijangka mengalami kemerosotan dengan 6 kerusi (11%) manakala HARAPAN pula mencatatkan peningkatan kemenangan sebanyak 50 kerusi (89%).
Menurutnya lagi, kemenangan HARAPAN di peringkat Persekutuan dan Negeri akan memberi kesan kepada transformasi pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor menjadi contoh terbaik dalam tempoh lapan tahun pentadbiran pakatan yang telah menerajui pembaharuan dan mempraktikkan urus tadbir yang baik,” katanya lagi.
http://wrlr.blogspot.my
Picture

Rabu, Ogos 16, 2017

Amanah Kelantan pilih model Nabi Yusuf bila dapat tadbir negeri

Husam Musa calon MB Kelantan
Negeri Kelantan akan menggunakan model yang ditunjukkan Nabi Yusuf alaihissalam dalam mengurus khazanah negeri bila dipilih mentadbir negeri, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa.
Beliau berkata ketelusan dan usaha meningkatkan keupayaan ekonomi rakyat adalah teras utama yang akan digunapakai nanti.
"Sikap tidak peduli terhadap pekerja dan golongan daif yang jadi amalan kerajaan sekarang akan diganti dengan perancangan khas meningkatkan taraf hidup mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau  turut menyentuh mengenai guru-guru Yayasan Islam Kelantan dan  penerima bantuan ladang rakyat. Beliau berkata penyelesaian dapat dibuat jika kerajaan benar-benar mengambil langkah wajar.
"Isu guru-guru YIK yang tidak dapat diserap ke jawatan tetap telah berlarutan begitu lama.
"Saya sendiri amat faham masalah ini kerana ayah saya mengajar di sekolah YIK dan ramai adik beradik saya bersekolah di situ.
"Sebenarnya jika khazanah hasil negeri diurus dengan betul dan sistem YIK diubahsuai sedikit satu penyelesaian amat mudah dilakukan.
Beliau yang juga Adun Salur  enggan mendedahkan semua kaedah mengenai hal itu,  berjanji kepada semua guru di YIK  mereka akan diserap ke jawatan tetap bila AMANAH mentadbir kelak.
"Kita tak perlu terangkan semua sekarang nanti mereka tiru.
"Tapi kirim salam kepada semua guru YIK kita janji akan selesaikan masalah mereka," katanya.
Berkaitan Ladang Rakyat beliau amat kesal kerana pihak kerajaan seperti tersepit dengan kaedah pembangunan ladang oleh pihak swasta yang berjalan sekarang.
"Apabila saya dedahkan semua anak syarikat ladang rakyat kerugian dan ada yang tutup mereka kata saya fitnah.
"Akhirnya seorang Exco kerajaan menjawab Ladang Rakyat rugi kerana saya tak datang mesyuarat.
"Memang betul apabila saya dilantik menjadi ahli lembaga Ladang Rakyat hanya sekali saya hadir.
"Saya ambil pendirian tidak mahu terus duduk di situ kerana perjalanannya terpesong dari rancangan asal.
"Asalnya Ladang Rakyat dirancang untuk dimajukan sendiri oleh pihak kerajaan melaui anak syarikat tetapi apa yang terjadi ialah ia diurus pihak swasta," katanya.
 Kini katanya yang mengaut untung adalah pengusaha swasta yang ditaksirkan mengumpul keuntungan tahunan sekurang-kurang RM11 juta.
"Sedangkan apa yang diperolehi kerajaan sekarang hanya RM2 juta setahun.
"Dari hasil ini 4500 peserta ladang Rakyat mendapat imbuhan bulanan RM200.
Jika AMANAH bersama Pakatan Harapan menerajui kerajaan menurutnya, Menteri Besar bahari boleh mengkaji semula perjanjian berat sebelah ini.
"Paling kurang dalam mas sebulan kerajaan boleh tingkatkan perolehan dua kali ganda kepada RM4 juta.
"Dari perubahan ini saja kita boleh tambah imbuhan peserta kepad RM400 sebulan dan jumlah peserta boleh ditambah kepada 7 000 orang." katanya.
Menyentuh perkembangan positif gabungan Pakatan Harapan beliau mahu sikap hormat menghormati antara parti-parti komponen ditingkatkan.
"Tidak perlu ada yang merasa lebih tinggi dan lebih rendah dalam gabungan ini.
"Semua pihak penting untuk mencapai misi penting mengalahkan Barisan Nasional dan menubuhkan sebuah kerajaan baru di negara ini," katanya.
mdl
Picture

Selasa, Ogos 15, 2017

Umno BN perlu sedia 'ditalak tiga'

Khalid Samad 4
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, Umno BN perlu bersedia 'ditalak tiga' oleh rakyat khususnya pengundi di parlimen itu.
Beliau berkata, kekecohan di forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam Ahad lalu akan menyebabkan warga Shah Alam semakin meluat dengan politik Umno BN.
""Najib telah datang ke Shah Alam seminggu sebelum ini. Beliau menyatakan kalau BN nak menang kembali Selangor, kena menang di Shah Alam. Beliau turut sebut sudah dua kali BN ditolak di Shah Alam. Kalau ditolak lagi bagaikan 'ditalak tiga'.
"Saya rasa sudah tiba masa BN bersedia untuk ditalak tiga. Peristiwa serangan terhadap Tun Mahathir akan hanya menyebabkan warga Shah Alam semakin meluat dengan politik Umno BN.
"Malahan saya yakin, bukan sekadar Umno BN akan ditolak oleh warga Shah Alam dan rakyat Selangor malah akan terusir dari Putrajaya juga," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di forum Nothing To Hide 2.0 anjura Pemuda Bersatu (Armada).
Kekecohan berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab beberapa soalan peserta.
Bekas presiden Umno itu cuba diserang menggunakan selipar, bangku dan botol minuman ketika menyampaikan penjelasannya.
Penganjur mendakwa kekecohan itu berpunca daripada pihak tertentu yang ada kaitan dengan Umno, namun parti terbabit menafikan hal itu.
Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa pihak yang mula-mula mencetuskan kekecohan itu diberikan baju pergerakan berkenaan untuk menyelinap ke majlis itu untuk mencederakan Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH mendakwa kekecohan itu sudah dirancang awal bagi memalukan memalukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengganggu majlisnya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pihak yang merancang itu mahu mencederakan bekas perdana menteri itu.
"Peristiwa sedemikian amat dikesali. Ia dilakukan tanpa apa-apa provokasi sambil Tun menjawab soalan secara tenang dan rasional.
"Kalau tak setuju dengan jawapannya sekalipun ianya bukan alasan untuk mengganas," katanya.
Justeru, katanya beliau mewakili masyarakat Shah Alam mengutuk sekeras-kerasnya politik ganas itu dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
"Politik sebegini mesti dikutuk dan ditolak. Corak politik sebegini tiada tempat di negara yang bertamadun. Ia tindakan desperado oleh pihak yang semakin ditolak masyarakat.
"Sebagai Ahli Parlimen Shah Alam saya ingin mewakili warga Shah Alam dalam mengutuk sekeras-kerasnya politik yang tidak bertamadun ini. Saya yakin tiada yang waras di Shah Alam yang merestuinya," tegasnya.
mdl
Picture

Isnin, Ogos 14, 2017

Akta 164: Husam harap Pas mohon maaf kepada umat Islam

Akta 164
Pas perlu meminta maaf kepada umat Islam di Malaysia ekoran kenyataan pemimpinnya yang berbaur sentimen keagamaan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164).
Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa berkata, walaupun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor menarik balik tulisannya bertajuk'RUU 164: Tragedi Malang Buat Umat Islam di Negara Ini', namun permohonan maaf terbuka perlu dibuat kerana kandungan tulisan itu yang tidak tepat.
Husam Musa 340"Saya berharap Pas meminta maaf kepada umat Islam di Malaysia kerana kenyataan Dr Riduan sebelum ini adalah tidak tepat dan berbaur sentimen keagamaan dengan tujuan politik dan kemudian Pas terpaksa tarik balik.
"Penarikan balik ini tidak lengkap kecuali Pas minta maaf atas perkara yang telah mereka bangkitkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Kelantan di Wisma Tok Guru, Salor, hari ini.
Menurut Husam juga, tindakan Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan yang berterima kasih kepada BN kerana membentangkan RUU itu menunjukkan parti itu pada peringkat awal tidak memahami kebaikan daripada pindaan Akta 164.
"Tulisan Dr Riduan Mohd Nor ditarik balik dan Ketua Penerangan Pas telah mengeluarkan satu kenyataan baru iaitu telah berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa pindaan 164 ini.
"Ini menunjukkan bahawa Pas pada peringkat permulaan tidak faham maksud dan kebaikan daripada pindaan ini," katanya yang juga penasihat AMANAH Kelantan.
"Kemudian Pas telah cuba mengambil ruang untuk mensensasikan sentimen umat Islam negara ini dengan kononnya pindaan akta ini menghancurkan benteng umat Islam yang terakhir di Malaysia," katanya.
Nasruddin semalam mendakwa DAP dan AMANAH menentang langkah untuk mengugurkan Fasal 88A yang berkaitan dengan penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.
"Terlebih dahulu, saya menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana mendengar desakan dan tuntutan Pas, para mufti, alim ulamak, pengamal undang-undang Islam, NGO dan umat Islam untuk mengeluarkan cadangan Seksyen 88A dari draf pindaan Akta 164 baru-baru ini biar pun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk DAP dan PAN," katanya.
mdl
Picture

Sabtu, Ogos 12, 2017

Kaji selidik tunjuk PH mampu ambil alih Kedah, kata Rafizi

Bina semula negara di Kedah
Pakatan Harapan (PH) mampu menerajui Kedah sekali lagi  seperti yang diraih Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum ke-12.
Keyakinan ini adalah berdasarkan kepada sambutan yang amat memberangsangkan kepada PH di negeri Jelapang Padi itu.
Naib Preisiden PKR Rafizi Ramli berkata, keyakinan yang dizahirkan bukan merupakan suatu telahan semata-mata, malah ia adalah bersandarkan kepada kempen, turun padang dan pertemuan dengan rakyat negeri itu.
"Selain itu kita juga optimis berdasarkan kepada gerak kerja yang dilaksanakan oleh jentera PH.
"Ini turut berkait rapat dengan kaji selidik yang dilakukan setiap bulan sejak sekian lama.
"Ia menunjukkan bahawa Kedah mampu untuk dirampas kembali dalam pilihan raya umum yang akan datang tidak lama lagi," katanya dalam program Jelajah Invoke 'Bina Semula Negara' di Alor Setar semalam.
Peluang lebih besar 
Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata, walaupun kewujudan pertandingan secara tiga penjuru, PH masih mempunyai peluang bagi memenangi banyak kerusi yang dipertandingkan di Kedah.
"PH akan berusaha semaksima mungkin bagi memastikan lebih banyak kerusi yang akan dimenangi dalam pilihan raya ke-14 nanti.
"Yang menjadi sasaran kita ialah memenangi sebanyak mungkin kerusi sehingga menjadikan Umno dan BN sebagai pembangkang yang baru.
"Kedah bukan saja berpotensi untuk dimenangi oleh PH jika dibezakan dengan negeri-negeri lain, sebaliknya mempunyai peluang yang lebih besar kali ini, " tegasnya lagi.
Selain itu katanya, rakyat Kedah semakin muak dengan pelbagai kerenah dan ketirisan yang menjadi amalan pimpinan Umno dan BN ketika ini.
"Yang hidup dengan kais pagi makan pagi, masih ramai tanpa mendapat pembelaan dari kerajaan.
"Nasib penoreh getah sehingga kini masih lagi tidak dapat dibela oleh kerajaan termasuklah di negeri Kedah.
"Selagi Umno dan BN memerintah, maka selagi itulah nasib rakyat tidak akan berubah dan berada ditakok lama," tambahnya.
Justeru, kata Rafizi, bagi merasai nikmat perubahan yang lebih baik, maka Umno dan BN mesti ditumbangkan tanpa menanti masa yang lebih lama lagi.
Oleh itu beliau menyeru rakyat Kedah bangkit menolak kerajaan Umno-BN dan juga kerajaan pusat yang sedang memerintah kini jika mahu nasib mereka berubah.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan kepimpinan AMANAH, Bersatu dan DAP Kedah.
mdl
Picture

Jumaat, Ogos 11, 2017

Panas!! : AJK Pas Pusat dinasihati agar tidak 'merapu'

Ustaz Zolkharnain Abidin

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor kononnya AMANAH menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) sebagai merapu.
"Dalam tulisannya, Riduan Md Nor (RMN) menyerang AMANAH secara merapu berkaitan isu pindaan Akta 164, apabila dia berkata pindaan akta itu membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini, dan AMANAH menyokongnya," ujarnya.
Menasihatkan pemimpin Pas itu supaya tidak merapu, beliau menyenaraikan tujuh hujah membidas dakwaan Riduan yang menuduh Ahli Parlimen beragama Islam dari AMANAH dan PKR tidak menyertai Ahli Parlimen Pas mengambil bahagian membantah usul pindaan tersebut.
Ustaz Zolkharnain berkata, jika seorang anak dilahirkan oleh ibu bapa Islam, anak tersebut secara langsung beragama Islam memandangkan peruntukan yang dicadang akan dimasukkan ialah jika anak bawah umur yang salah seorang ibu bapanya memeluk Islam, anak itu tidak terus menjadi Islam.
"Mana ada dalam akta itu peruntukan sebaliknya. Tetapi, seksyen itu ditarik balik. Jika tidak ditarik balik sekalipun, seksyen itu dibuat demi maslahah anak di bawah umur itu iaitu mendapat kasih sayang dan penjagaan yang sepatutnya," jelas beliau.
Menurutnya, tidak boleh berlaku orang bukan Islam yang mahu berkahwin dengan orang Islam tidak perlu memeluk Islam kerana orang Islam yang ingin berkahwin perlu membuat permohonan.

"Jika orang Islam memohon untuk berkahwin dengan orang bukan Islam, permohonannya akan ditolak. Macam mana perkahwinan akan berlaku jika permohonan ditolak?" bidasnya.
Terdahulu, Riduan dalam tulisannya mendakwa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam.
Dakwaan pemimpin Pas berkenaan kononnya orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam jika ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang juga dilihat sebagai merapu.
"Orang Islam yang ingin keluar Islam perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah. Wujudkah undang-undang yang menghendaki mahkamah membenarkan orang Islam untuk keluar Islam jika ingin berkahwin dengan non muslim?" soalnya.
Mengulas lanjut dakwaan Riduan kononnya seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak, Ustaz Zolkharnain berkata, seorang anak itu akan tinggal dengan ibunya yang Islam jika masih di bawah umur dan yang memeluk Islam adalah ibunya.
"Jika pihak yang memeluk Islam adalah bapanya, anak bawah umur itu akan tinggal bersama ibunya walaupun ibunya belum Islam sebab tempat seorang anak adalah bersama ibu demi kepentingan kehidupan anak.
"Bapanya yang Islam hendaklah terus menyara anak itu, mengambil berat dan mendidik anak itu supaya terpikat dengan Islam setelah dia berhak memilih agamanya sendiri.
"Di sinilah peranan bapa sangat diperlukan dalam dakwah dan jika bapa berupaya menampilkan akhlak yang baik, anak itu akan terpikat dengan keislaman bapanya," jelas beliau.
Menyentuh soal tuntutan harta pusaka, beliau turut membidas dakwaan Riduan kononnya orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan individu yang memeluk Islam hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematian.
"Bukan diberikan hak menuntut harta pusaka tetapi hak menuntut harta yang diperolehi bersama semasa perkahwinan.
"Harta sepencarian itu hendaklah diagihkan secara adil antara pasangan suami isteri itu. Nafkah anak mesti ditanggung oleh bapa. Jika timbul pertikaian tentang harta pusaka, rujukannya adalah mahkamah syariah," tegasnya lagi.
mdl
Picture

Khamis, Ogos 10, 2017

Terbaik!! : Perkukuh Pakatan Harapan keutamaan PKR Kelantan


Abdul Aziz Kadir

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan menganggap isu perletakan jawatan politik dalam kerajaan negeri perkara kecil kerana tumpuan utama parti itu adalah untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat (PH).
"Ini perkara kecil kerana tumpuan kita dari segi politik adalah untuk mengukuhkan PH dan soal hubungan dengan Pas tidak berbangkit lagi," kata pengerusi majlis pimpinan negeri (MPN), Ab Aziz Kadir mengulas pergolakan parti itu mengenai jawatan politik di Kelantan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat majlis pengerusi PH Kelantan di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Kota Bharu hari ini.
Menurutnya, PKR Kelantan sentiasa bersama mendokong keputusan pihak pusat dalam semua perkara berhubung keputusan-keputusan parti.
"Apabila pihak pusat menerima keputusan Pas memutuskan tahalluf siasiy dengan kita, saya mengarahkan semua ahli parti tidak hadir dalam mana-mana pertemuan politik bersama parti itu.
"Tumpuan kita adalah bersama PH dan saya mengambil segala daya usaha untuk menjayakan kerjasama kukuh antara parti-parti dalam pakatan ini di Kelantan," katanya.
Mengenai apa yang dilihat kecoh dalam PKR kerana kenyataan yang dibuat oleh ketua penerangan negeri yang dikatakan bercanggah dengan beliau, Aziz berkata perkara itu adalah biasa dalam perjalanan organisasi.
"Ini perkara biasa dan ianya hanya melibatkan perkara teknikal yang akan diselesaikan secara baik dan berhemah." katanya.
Beliau bagaimanapun berterima kasih kerana pimpinan parti-parti rakan PH di Kelantan dilihat tenang dan tidak terikut-ikut dengan gelagat pihak yang cuba mengambil kesempatan.
"Ini perkara dalam parti dan saya bersyukur kerana pemimpin parti rakan memberi peluang sepenuhnya untuk kita selesaikan secara keluarga dalam parti kita.
"Sikap ini membuktikan semangat kerjasama yang tinggi di kalangan kita bagi menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan," katanya.
Isnin lalu Ketua Komunikasi PKR Kelantan Mohammad Azihan Che Seman mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan beberapa anggota parti itu daripada kerajaan negeri.
Dalam kenyataan itu Mohammad Azihan memberitahu majlis pimpinan PKR Kelantan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Mei dan 5 Jun lalu dan mengambil ketetapan bersetuju menerima keputusan Biro Politik PKR Pusat.
Katanya, keputusan untuk meletak jawatan dipersetujui untuk dilaksanakan pada 31 Julai 2017.
Bagaimanapun Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir mendakawa kenyataan itu dibuat tanpa berbincang dengan kepimpinan negeri terlebih dulu.
mdl
Picture
      

Rabu, Ogos 09, 2017

YB Rafizi Ramli kecewa dengan parti pas dlm isu 1MDB

Proses rasionalisasi 1MDB seperti yang dijaja oleh Arul Kanda Kandasamy  serta dikalangan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) ialah proses memindahkan hutang-hutang 1MDB kepada syarikat-syarikat milik penuh kerajaan melalui MOF Inc, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Beliau menjelaskan segala yang diterangkan oleh Arul Kanda itu sudah pun diketahui umum.
Justeru beliau menasihati pimpinan Pas agar lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dengan permainan propaganda Umno-BN.
"Umno-BN hanya mahu menggunakan Pas untuk mengurangkan kritikan rakyat terhadap penyelewengan-penyelewengan yang telah berlaku di dalam 1MDB," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Kesimpulan yang dibuat oleh Rafizi bahawa Pas berpuas hati dengan proses rasionalisasi 1MDB dan;Bahawa Pas merasakan perlu ada pemantauan ke atas syarikat-syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang mengambil alih aset dan hutang 1MDB itu
"Saya membaca beberapa kali laporan-laporan mengenai taklimat 1MDB oleh CEOnya Arul Kanda Kandasamy kepada pimpinan tertinggi Pas. Saya juga menonton rakaman sidang media oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS untuk memastikan saya tidak tersalah dengar.
"Saya tidak pasti sama ada pimpinan Pas yang hadir di dalam taklimat itu faham apa makna proses rasionalisasi 1MDB yang dihukumkan sebagai “memuaskan” itu," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai satu sidang meja bulat telah diadakan di Hotel de Palma, Ampang semalam, antara Pas dan Presiden 1MBD Arul Kanda yang antara lain menerangkan pelan rasionalisasi 1MDB.
Ahli Parlimen Pandan itu juga menjelaskan dengan menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan dana yang dibayar itu akan dapat mengurangkan hutang 1MDB disamping memindahkan hutang-hutang lain yang diwarisi semasa 1MDB membeli asetnya kepada pembeli baru itu. Contohnya, penjualan Edra kepada syarikat milik kerajaan China;
Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan pembangunan di tanah-tanah itu akhirnya akan membawa keuntungan yang sebahagiannya akan dikongsi oleh Kerajaan Malaysia suatu ketika nanti.
Penjualan itu juga diharap akan dapat membawa dana untuk membantu 1MDB mengurangkan hutangnya. Contohnya, penjualan tanah-tanah di Pengkalan Udara Sungai Besi kepada syarikat swasta dan syarikat milik Kerajaan China untuk dibangunkan menjadi Bandar Malaysia;
Menjual aset-aset negara kepada tabung-tabung dana rakyat pada harga yang berkali ganda mahalnya atau memindahkan operasi tabung-tabung dana rakyat ke pembangunan baru yang diusahakan 1MDB walaupun tidak ada keperluan tabung-tabung tersebut membelanjakan wang untuk ibupejabat yang baru. Contohnya, penjualan tanah kepada Tabung Haji dan keputusan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) untuk membina ibupejabat baru di Tun Razak Exchange;
Memindahkan anak syarikat-syarikat 1MDB yang dibebani hutang kepada kerajaan sepenuhnya dan seterusnya mewarisi hutang-hutang tersebut. Contohnya, SRC International Sdn Bhd dipindahkan kepada MOF Inc dan mewarisi hutang RM4 bilion yang kini ditanggung rakyat.
"Sebab itu saya ingin bertanya kembali kepada kepimpinan Pas, apabila mereka berpuas hati dengan kemajuan proses rasionalisasi itu, adakah mereka bersetuju dengan kaedah memindahkan hutang 1MDB kepada rakyat sedangkan wang yang dipinjam oleh 1MDB itu telah jelas lesap dan diselewengkan untuk membeli harta-harta mewah?
"Di mana baiknya tindakan-tindakan merompak wang rakyat, kemudian menjual harta-harta rakyat untuk menutup lubang hutang setelah hutang-hutang itu dipindahmilik kepada kerajaan?
"Pada masa yang sama, kerajaan terpaksa mengutip cukai yang baru (GST), meningkatkan kutipan cukai sedia ada sehingga orang yang mati pun masih perlu membayar cukai dan memotong perbelanjaan-perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan?" soalnya.
Rafizi turut melahirkan kekecewaannya dengan kenyataan Tuan Ibrahim yang mengambarkan pendirian sebenar pimpinan Pas dalam isu membabitkan 1MDB.
"Saya kecewa dengan kenyataan Datuk Tuan Ibrahim dan pendirian pimpinan Pas itu kerana ia akan dijadikan modal oleh Umno-BN untuk menghalalkan tindakan memindahkan hutang kepada rakyat.
"Sewajarnya, bila Arul Kanda atau pengurusan 1MDB menawarkan untuk memberi taklimat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man perlu mengambil peluang itu untuk membawa Arul Kanda berhadapan dengan Parlimen kerana selama ini Arul Kanda mengelak daripada hadir mengambil soalan-soalan ahli parlimen, terutamanya ahli parlimen pembangkang," ujarnya.
mdl
Picture