Khamis, Februari 05, 2015

Pemuda PAS : Gunakan empat akta turunkan harga barang

TRP_resize_watermark_240514_PASAR2_l
 
Kerajaan mempunyai kuasa ke atas empat perkara untuk menentukan sama ada harga barangan dan juga perkhidmatan di negara ini dapat diturunkan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaie Ismail berkata, kerajaan merupakan pihak yang mempunyai kuasa mengawal dan menguatkuasakan undang-undang dan pada 2010, Parlimen telah meluluskan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang dikuatkuasakan pada 1 April 2011.

Menurutnya, Akta tersebut memberi kuasa kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) untuk mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan atau tidak munasabah.

Beliau berkata, berdasarkan akta berkenaan, hukuman denda boleh dikenakan antara RM100,000 hingga RM1 juta dan penjara tiga hingga lima tahun mengikut kesalahan dilakukan individu atau syarikat.
 

“Kedua, kerajaan juga mempunyai kuasa terhadap barangan kawalan yang mana sebanyak 22 barangan telah diisytiharkan sebagai barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Ketiga, wujudnya Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memberi perlindungan kepada pengguna, memberi kuasa kepada KPDNKK menubuhkan Majlis Penasihat Pengguna Negara dan Tribunal Pengguna.

“Terakhir ialah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang diluluskan memberi kuasa kepada kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan dalam isu kenaikan tambang bas sekolah, bas bandar, bas ekspres dan teksi, SPAD bertanggungjawab memastikan harga yang dinaikkan atas alasan kenaikan bahan api sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Nasaei, keempat-empat perkara di atas melibatkan kuasa kerajaan untuk melaksanakannya dan oleh itu aneh bagi seorang menteri seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sama-sama duduk dalam Kabinet meletakkan bebanan ini kepada pengguna dan peniaga semata-mata.

Jelasnya, tiga akta di atas memberi kuasa kepada menteri berkenaan iaitu KPDNKK untuk bertindak bagi melindungi hak-hak rakyat untuk mendapat harga barangan yang munasabah.

“Jika kerajaan boleh mewujudkan sejumlah pegawai kastam yang efisyen untuk melaksanakan GST, kenapa hal yang sama tidak dilakukan dengan mewujudkan lebih ramai pegawai kawalan harga yang akan bertindak lebih berkesan terhadap pemantauan harga barangan.

“Begitu juga dengan kuasa kerajaan terhadap 22 jenis barang kawalan yang sememangnya di bawah kuasa kerajaan untuk menetapkan harganya dan persoalannya, kenapa kerajaan tidak menggunakan kuasa yang ada untuk memastikan harga barangan kawalan tersebut diturunkan,” ujarnya.

Katanya, sebelum kerajaan meletakkan bebanan kepada pengguna dan peniaga semata-mata, beliau menyeru kerajaan bertindak segera dengan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menurunkan segera harga barangan kawalan yang berada di bawah kuasa kementerian.

Tegasnya, kerajaan juga perlu meningkatkan jumlah pegawai pemantau kawalan harga barang dan bertindak segera secara efisyen dengan mengadakan pemantauan menyeluruh dan tidak terpilih.

“Di samping itu, kerajaan perlu memantau harga tambang pengangkutan awam agar selaras dengan penurunan petrol dan diesel serta meningkatkan kempen kesedaran hak-hak pengguna seumpama kempen GST yang dilakukan secara meluas dan berkesan kepada pengguna.

“Akhir sekali, peringatan kepada pihak Kerajaan Persekutuan khususnya menteri-menteri kabinet, agar tidak melakonkan aksi-aksi dan kenyataan yang mengelirukan rakyat Malaysia seolah-olah mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk bertindak,” katanya.
 
trp

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng