Isnin, Oktober 27, 2014

Kenyataan Rasmi : Kerajaan Kelantan laksana hudud tahun depan

Ahmad Yaakob

 KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob mengumumkan Kelantan akan laksanakan undang-undang hudud tahun depan.

Pengumuman rasmi itu menunjukkan ketegasan Kerajaan Kelantan dalam pelaksanaan perundangan syariah di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan beberapa langkah dan persediaan ke arah pelaksanaan hukum hudud termasuk berkaitan usaha membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat nanti.

“Dua minggu lepas, kita baru sahaja mengadakan muzakarah penyediaan kaedah hukuman Kanun Jenayah Syar’iyyah yang turut dihadiri mufti seluruh negara, pakar perundangan dan pakar perubatan.

“Jika kita berjaya siapkan draf enakmen ini berpandukan kaedah hukuman tersebut, kerajaan negeri kita adalah kerajaan pertama, bukan setakat di Malaysia akan tetapi di dunia ini yang mempunyai kaedah atau undang-undang bertulis mengenai tatacara hukum had (hudud) secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Seminar Penghayatan Hududullah Peringkat Negeri Terengganu, di Permai Inn, di sini, semalam.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Ahmad berkata, hasrat untuk menjayakan pelaksanaan hudud pada 2015, dibuat berdasarkan enam faktor antaranya menjelaskan kepada masyarakat hanya undang-undang ALLAH SWT dapat menyelesaikan masalah jenayah selain menyatakan kesungguhan Kerajaan Kelantan yang tidak putus asa terhadap pelaksanaan tersebut.
“Ketiga, memberi kesedaran kepada minda dan fikiran umat Islam terhadap Kanun Jenayah Syar’iyyah ini sebagai hukum ALLAH dengan tujuan dapat membuka jalan bagi dilaksanakan suatu hari nanti.

"Walaupun pelaksanaannya dianggap terlalu sukar hari ini tetapi suatu hari nanti ia jadi kenyataan. Kita lihat sahaja Brunei diumumkan secara rasmi pelaksanaan Kanun Jenayah Syar’iyyah ini,” katanya.

Beliau berkata, faktor keempat bertujuan membuka jalan dan penerangan kepada masyarakat bukan Islam mengenai konsep hudud bersifat mendidik, faktor kelima memberi isyarat jelas kepada pihak yang masih tidak yakin dengan pelaksanaan hukuman tersebut supaya lebih positif dan keenam memberi semangat kepada pemimpin kerajaan dan rakyat membuat persediaan bersungguh-sungguh ke arah pelaksanaan itu.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap pemikiran segelintir umat Islam yang masih terikat dengan asas pemikiran barat disebabkan beberapa perkara yang dianggap jenayah oleh syariat Islam tidak dianggap jenayah oleh kanun keseksaan Malaysia dan ‘panel code’ England antaranya melakukan zina serta minum arak.

sh

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng