Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Khamis, Oktober 02, 2014

Berita Malam : Minyak naik, Kebajikan rakyat semakin terabai - Ustaz Dr Riduan


KENAIKAN harga minyak petrol RON95 dan Diesel sebanyak RM0.20 seperti yang diumumkan malam tadi benar-benar mencetuskan suasana panik rakyat Malaysia. Hampir semua stesen minyak penuh dengan rakyat berusaha 'menikmati' minyak petrol pada harga semasa sebelum dinaikkan mulai jam 12.01 malam manakala rakyat yang tidak menahu terus terpinga-pinga melihat kebanjiran dan trafik sesak terutama di stesen minyak. Kenaikan ini menjadikan harga baharu petrol RON95 sebanyak RM2.30 manakala diesel pula menjadi RM2.20.
Kerajaan berjaya menjayakan misi merahsiakan kenaikan ini dengan menutupnya melalui pelbagai isu termasuk para propagandis mewujudkan pelbagai isu dalaman peringkat parti politik sehingga melupakan isu utama yang membelenggu rakyat. Akhirnya, setelah kenaikan ini rakyat terpinga-pinga manakala pemimpin politik pembangkang tidak sempat menyusun strategi membantah kenaikan ini di peringkat awal.

Yang mengecewakan adalah semenjak dahulu rakyat tidak pernah menikmati harga istimewa petrol di bumi pengeluar minyak ini. Jika hendak dibuat perbandingan bahawa harga petrol Malaysia lebih murah di Asia Tenggara berbanding negara yang tidak menghasilkan minyak, ia adalah perbandingan yang tidak rasional, adil dan munasabah. Rakyat semakin cerdik dan tahu membezakan negara mana yang sepatutnya Malaysia dibandingkan. Isunya mengapa rakyat Malaysia sendiri tidak merasakan harga petrol yang murah sedangkan Malaysia adalah antara negara pengeluar minyak utama di dunia. Apakah ia suatu aspek kebajikan yang dinafikan buat rakyat oleh kerajaan, sedangkan minyak adalah keperluan asas buat rakyat, dan melaluinya juga pelbagai harga barangan lain turut bergantung.

Yang menyedihkan, kerajaan tidak bersedia menanggung subsidi untuk rakyat berjumlah RM0.20 sen sedangkan manfaatnya untuk rakyat keseluruhannya. Sepatutnya subsidi untuk rakyat ditambah untuk membantu rakyat, bukan mengurangkannya. Barulah kerajaan dianggap menjaga kebajikan rakyat.

Dalam keadaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang hampir pasti akan dilaksanakan mulai Mei 2015, kenaikan harga minyak tahun ini sedia menambah derita rakyat. Maknanya, malang buat rakyat akan berganda-ganda dengan harga barangan keperluan akan meningkat berkali ganda dari sekarang dan menambah perbelanjaan rakyat dari kemampuan mereka.

Golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang akan terjejas teruk dengan kenaikan ini dan pastinya ramai akan lebih sengsara dengan kesan yang begitu merata. Kemiskinan bandar, keciciran pendidikan, miskin tegar, pergolakan rumah tangga, perbezaan jurang masyarakat antara golongan kaya dan miskin dengan golongan kaya terus melebar dengan peratus golongan miskin akan semakin bertambah. Ia belum ditambah dengan masalah jenayah yang akan meningkat naik selaras dengan 'kesempitan' hidup rakyat yang menimpa-nimpa.

Nisbah pendapatan minimum untuk dikategorikan sebagai pendapatan rendah, sederhana dan tinggi akan berubah manakala golongan layak menerima zakat akan perlu terus dikaji dan dinilai mengikut keadaan semasa. Pastinya jumlahnya akan bertambah dengan potensi kelayakan mendapat zakat pada kebanyakan orang. Pendapatan empat angka dengan tawaran gaji untuk kakitangan kerajaan pada gaji asas bukan lagi suatu kelegaan buat penjawat awam melainkan ianya adalah tapak untuk 'hidup' manakala mereka terpaksa berfikir panjang untuk kerja-kerja sampingan lain. Pendapatan lima angka juga sudah mendatangkan keresahan buat golongan pendapatan seserhana jika mahu diukur dengan kuasa beli yang mereka mampu.

Insentif Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bukanlah langkah penyesaian masalah buat rakyat melainkan sekadar 'gula-gula' untuk menutup mulut rakyat. BR1M hanya penyelesaian sebulan  tetapi poket rakyat tetap kosong untuk diisi 11 bulan lainnya. Insentif lain seperti bantuan persekolahan, subsidi harga rumah, serta insentif percuakaian tidak lebih sekadar mengubat luka luaran sedangkan luka dalaman yang lebih parah tidak mampu diubati.

Apa yang dibimbangkan keresahan rakyat diungkapkan melalui protes, himpunan aman, demonstrasi serta bantahan besar-besaran. Kerajaan jangan pula menyalahkan rakyat jika berlaku protes kerana kerajaan tidak pernah mendengar keperitan dan keluhan rakyat selama ini.

hd
      

1 ulasan:

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...