Sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ditetapkan sebagai calon Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.
Saya tidak mahu jadi macam setengah suku sakat saya – dari budak hingga
ulama - mentakwil muslihat wujudnya PRK di Kajang itu. Mengapa ADUN-nya
meletak jawatan dan gantinya pula Anwar? Lalu ada yang kata tidak akan
beri kerjasama pada PRK itu dan macam-macam yang menyerabutkan otak
termasuk menyindir politik tinggi Anwar.
Tiba-tiba Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub berkata, kita akan beri
kerjasama sepenuhnya pada PRK itu dan mahu tengok kemenangan besarnya.
Apa jadi pada takwil tadi? Apa orang pandang pada politik yang tidak
licin dan tidak diurus dengan baik itu? Tidakkah ia menyusahkan diri
bagi menghadapi politik besar yang menjanjikan masa depan yang cerah
itu?
Itulah saya dari dulu tidak mahu berbalah dengan Anwar. Sebab tidak mahu
susah untuk bersama dalam politik besar yang dia pemain pentingnya.
Ketika saya memulakan politik yang aktif, saya dibayangkan kemungkinan
Anwar akan menjadi pemimpin PAS bagi menggantikan Datuk Asri. Maka saya
mengelak dari sebarang masalah dengannya, kerana payah nanti kalau
benar dia jadi ketua parti saya. Tidak selesa berjuang jika berbalah
dengan pemimpin sendiri.
Apabila dia jadi Umno, tidak ada apa-apa masalah saya untuk berbalah dengannya. Saya tidak teragak-agak untuk mentakwilnya.
Kita perlu berbalah dengannya ketika itu kerana Umno adalah parti yang
menyusahkan rakyat, negara dan kerajaan. Penyertaannya di situ
menyusahkan semua, menghalang mendaulatkan Islam dan tidak salah
berlawan dengan sesiapa saja memberi nafas kepada Umno.
Lepas itu secara teknikal dia tidak lagi menjadi sebahagian dari Umno.
Tetapi dia ialah panglima dan pahlawan. Dengan politik tingginya, dia
sudah menjadi kawan. Walaupun kita tidak boleh dapat semua yang kita
mahu daripadanya, tapi kita dapat sebahagian dari yang kita mahu.
Kalau boleh kita mahu dia menjadi sebahagian dari kita, tetapi belum
tiba masanya. Kalau kita dapat dia jadi sebahagian dari kita, maka ia
adalah satu anugerah yang amat berharga. Kalau dia dari mula menjadi
sebahagian dari kita, maka tidak mustahil banyak dari yang diperjuangkan
itu sudah selesai.
Orang kata keutamaan beliau ialah untuk jadi Perdana Menteri. Adakah itu
betul? Pada saya Perdana Menteri itu bukan matlamat. Matlamat sebenar
kita adalah bagi mencapai mardatillah (keredaan Allah). Negara keredaan
Allah mudah dicapai kalau kita jadi Perdana Menteri. Menjadi Perdana
Menteri memudahkan matlamat itu.
Maka dengan perjuangan yang bersih, semasa dia belum cacat dulu,
kiranya Perdana Menteri itu sasarannya, maka tidak mustahil Perdana
Menteri itu sudah lama tercapai jika dia mulanya bersama kita. Yang
kita tidak boleh capai kejayaan itu dulu kerana kita dapat kerjasama
masyarakat bukan Melayu. Jika kita orang politik tinggi dan bersih,
tidaklah payah untuk mendapatkan kerjasama semua kaum.
Kalau dengan politik sederhana kita itu sudah mulai disambut oleh semua,
tentulah dengan otak poliltik tinggi Anwar itu, banyak yang dapat
dibuat bagi mendapatkan sokongan semua.
Tetapi kerana jalan lain yang dipilihnya, kita pun lambat berjaya, dia
pun lambat jadi Perdana Menteri. Apabila dia sudah lebih kuat dari kita
menentang Umno, maka dia sudah boleh bersama kita walaupun tidak
sekelambu dengan kita. Kita boleh tidur tanpa kelambu dengannya.
Dengan politik tingginya, walaupun dia tidak menjadi pemimpin parti
kita, tetapi dia boleh orang paling penting dalam kumpulan kita. Dia
tidak menjadi pemimpin PAS dan tidak juga DAP. Tapi dia sudah jadi Ketua
Pembangkang.
Adanya dia bersama kita menyebabkan buat pertama kali tembok perkasa
Putrajaya itu gegar. Selama 50 tahun kita merdeka, kita jadi macam
kancil melawan gajah. Tetapi selepas dia tamat pengalaman di Sungai
Buloh, kalau pun kita tidak jadi gajah untuk menggempur Putrajaya, kita
sudah macam badak sumbu yang boleh menyondol gajah.
Dengan dia bersama kita atau kita bersama dia, BN tiada kekebalan 2/3
lagi. Bukankah dalam masa tujuh lapan tahun ini BN sudah tidak mustahil
direhatkan.
Pada saya masa ini, kalau Anwar tidak mahukan kita dan DAP pun tak
mahukan kita, saya kata tetap mahukan DAP dan mahukan Anwar. Kalau
Anwar dan DAP tidak mahu datang kepada kita, kita akan pergi kepada
Anwar dan DAP. Tiada ruginya ular menyusur akar.
Melihat kepada kemungkinan dan semua potensi itu, saya mengelak
seboleh-boleh berbalah dengan Anwar. Sama ada saya suka atau tidak
suka kepadanya, dia sudah jadi orang penting dalam Pakatan Rakyat.
Bila dia sudah jadi orang penting, tidak dapat dielak dia sudah jadi
salah seorang ketua dalam kumpulan kita. Saya sebagai orang bawah tidak
lagi dapat menolak dari berketuakan dia disamping ketua-ketua yang lain.
Kalau saya mahu berperanan dalam perjuangan, maka kita mesti sentiasa
selesa dengan sekalian para ketua. Kalau saya tidak boleh disiplinkan
diri saya, pilhan saya adalah bersara dari berjuang. Ia bukan pilihan
bagi orang yang berjuang dalam Islam yang tiada had usia bersara.
Jika Anwar jadi orang paling penting dalam Pakatan Rakyat, apakah jadi
begitu kerana kebetulan? Adakah Pakatan Rakyat terjadi secara "kun faya
kun"? Jadilah maka ia pun jadi.
Ia tidak terjadi begitu, bahkan ia terjadi kerana diusahakan. Semua
orang mahu adanya muafakat, tetapi muafakat itu terjadi kerana yang
mengusahakannya. Boleh dikatakan politik tinggi Anwarlah yang mengambil
langkah mengajak menjadikannya. Sebelum ini ia sekadar diseru, tetapi
tiada yang berjaya mengadakannya.
Tidaklah apa yang dianjurkan itu terjadi jika tidak disertai orang lain.
Tetapi orang lain tidak dapat buat sebelum ini. Pernah ia dicuba oleh
Tengku Razaleigh. Tetapi Ku Li tidak dapat satukan semua. Akhirnya
tidak jadi apa-apa.
Kita jangan marahkan orang lain kalau kita tidak jadi ketuai Pakatan
Rakyat, kerana langkah yang diambilnya menjadikan ia ada dan ia jadi.
Kalau kita hendak rungkai pula mungkin boleh, tetapi belum ada yang
disepakati boleh menggantikannya. Kita kena terima waqi' (realiti)
kiranya kita bersungguh untuk menggantikan BN.
Jika ADUN Kajang itu meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar,
itu kecerdikan Anwarlah. Datuk Harun Idris juga pernah usahakan MP
Ampang Jaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepadanya bertanding
dalam Pilihan Raya Kecil, tetapi dia kalah.
Jika saya tidak mahu berbalah dengan Anwar, ia adalah saya mahu
berkongsi hasil kejayaan politik tingginya dan saya boleh bersama-sama
semua orang. Kalau saya berbalah dengannya, kejayaannya tidak dapat
dihalang, macam mana saya hendak bersama semua orang.
Lagi pun supaya orang tidak melihat saya tak tahu politik langsung.
Mungkin kita tidak dapat jadi pemain politik tinggi, tetapi jangan
tunjukkan kita tak tahu politik.
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...