Hudud
adalah salah satu daripada cabang hukum jenayah mengikut syariat Islam,
wujudnya bersama Qisas dan Takzir. Hukum Hudud adalah hak Allah yang
dinaskan dalam Al-Quran dan Hadith-Hadith Mutawatir yang menjelaskan
kesalahan dan hukumannya, dasar dan sebahagian huraiannya. Bagi penganut
Islam seluruhya maka tentulah wajib beriman dan beramal dengan Islam
yang menjadi agama cara hidup (way of life).
Tuntutan untuk beriman dan
beramal dengan Islam adalah bukan sahaja wajib ke atas ahli PAS dan
penyokongnya, bahkan juga wajib kepada semua penganut Islam dalam NGO
atau secara individu dan ahli mana-mana parti politik, termasuklah ahli
UMNO yang beragama Islam, walau pun UMNO adalah sebuah parti kebangsaan
yang membuka pintu keahlian kepada bumiputra bukan Islam seperti orang
asal dan Siam. Seluruh majoriti penganut Islam dalam UMNO wajib beriman
dan beramal dengan Islam mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah, sama
sahaja dengan ahli PAS dan penyokongnya.
Ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan hukum dan perintahnya, antara lain telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah dan Surah Al-Nur, di mana kedua-duanya adalah surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah).
Permulaannya sangat tegas (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. (Al-Maidah: 1)
Di antara perjanjian itu ialah mengucap Dua
Kalimah Syahadah, mengaku dan percaya menjadi penganut Islam.
Pengucapan dan penerimaan dua kalimah syahadah ini adalah syarat
terpenting menjadi seorang Islam, iaitu beriman dengan Allah dan
RasulNya.
Adapun melaksanakan undang-undang syariat Islam seperti hudud, qisas dan takzir ini pula wajib melalui proses kehakiman Islam dan sistemnya yang adil. Maka haram dilaksanakan secara spontan oleh individu, atau keluarga atau JKK peringkat kampung atau kumpulan atau penguasa daerah atau negeri, tanpa suatu proses kehakiman. Sistem kehakiman Islam pula dipayungi oleh kuasa politik sepenuhnya dengan adanya Negara Berdaulat atau kerajaan yang berkuasa. Di sinilah maka Rasulullah SAW tidak melaksanakan undang-undang hudud ketika berdakwah di Makkah iaitu ketika tidak mempunyai kuasa pemerintahan. Pelaksanaannya berlaku di Madinah, iaitu setelah adanya kuasa negara dalam sistem politik dengan penubuhan kerajaan yang berdaulat dan mengadakan sistem kehakiman melalui seluruh perjalan mahkamah.
Adanya penganut bukan Islam dalam masyarakat majmuk adalah tidak menjadi halangan, di mana banyak ayat-ayat dalam surah Madaniyyah yang sebab turunnya adalah bagi menjawab kalangan bukan Islam yang menentang hukum Hudud dan sebagainya, dalam keadaan mereka berada bersama masyarakat majmuk di-Madinah. Pelaksanaanya pula tanpa menunggu seluruh rakyat faham atau bersetuju, kerana kefahaman berlaku dan terjadi melalui proses pelaksanaanya. Akhirnya seluruh anggota masyarakat Madinah menerima hukum hudud, termasuklah bukan Islam secara tanpa paksaan, setelah mereka melihat kesannya yang mampu mendidik masyarakat, keadilannya yang menyeluruh dan wujudnya rasa selamat dari gangguan penjenayah.
Perlu juga kita fahami bahawa hukumannya adalah sangat menggerunkan, tetapi syarat menjatuhkan hukuman dan pelaksanaannya adalah sangat sukar atau ‘sangat memayahkan’ dengan syarat-syaratnya yang sangat ketat. Ini berlaku apabila individu yang dituduh atau wakil (peguamnya) mengadakan hanya sedikit alasan yang kecil maka hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan, pilihannya sama ada dibebaskan atau dikenakan hukuman takzir yang lebih ringan daripadanya. Hujah bahawa hudud sangat sukar dikenakan akan menyebabkan penjenayah terlepas adalah sama sekali tidak benar, kerana hukuman takzir dalam kerangka hukuman yang sedia ada seperti Penal Code pada waktu ini pula akan mengambil tempatnya. Manakala tindakan bertaubat di luar mahkamah adalah lebih digalakkan daripada diheret ke mahkamah.
Hukuman hudud tidak dijatuhkan ke atas penjenayah oleh beberapa khalifah Islam, bukan kerana meninggalkannya, tetapi kerana syaratnya tidak mencukupi.
PAS hanya berkuasa di peringkat negeri Kelantan dan pernah di Terengganu melalui sistem Demokrasi dan Federalisma. UMNO pula melanggar adab dan akhlaknya apabila tidak menghormati konsep demokrasi dan federalisma ini dengan mendera rakyat negeri Kelantan dan Terengganu yang menolak UMNO-BN dalam pilihanraya itu. Walaupun berdepan dengan kekangan ini, PAS tetap secara konsisten melangkah menunaikan kewajipannya melaksanakan Islam sebagai ad-Din. Akhirnya, Undang-undang Jenayah Islam bersama undang-undang yang lain telah dibentang dan diluluskan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipilih melalui Pilihanraya Umum lalu. Peringkat pertama PAS menang di Kelantan di awal 90-an bersama Semangat 46. Dalam melaksanakan amanah ini, Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS dengan berpandukan bidang kuasa kerajaan negeri, di antaranya melaksanakan beberapa aspek hukum Islam di bawah kuasa Majlis Perbandaran dan Daerah seperti menghapuskan lesen premis perjudian serta mengawal penjualan arak bagi rakyat bukan Islam sahaja serta membenarkan perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing, termasuk dalam perkara hak penganut agama bukan Islam yang wajib dilindungi.
Bagi undang-undang jenayah Syariat, kerajaan negeri terlebih dahulu menyusun daripada nas Al-Quran dan Hadith. Ianya disusun secara terkini oleh kalangan para ulama dan pakar undang-undang daripada kalangan PAS bersama ahli-ahli akademik daripada pusat pengajian tinggi. Setelah selesai maka ianya dibawa kepada umum sebelum dibentang ke dalam DUN Kelantan. Draf cadangannya pula telah terlebih dahulu dibentangkan dalam satu seminar yang diadakan di Hotel Concorde KL di mana semua parti politik dan NGO Islam dan bukan Islam telah dijemput. Proses yang sama dilakukan di Terengganu semasa pemerintahan PAS bersama rakan-rakan yang lain. PAS juga menerima kunjungan para diplomat asing bukan Islam dan NGO human rights antarabangsa yang datang meminta penjelasan, dengan semua persoalan yang dibangkitkan telah dijawab dengan baik oleh pimpinan PAS di negeri Kelantan dan Terengganu. Ahli Parliman PAS juga pernah cuba membawa usul pindaan perlembagaan beberapa kali dalam tahun 90-an, tetapi dihalang oleh proses peraturan mesyuarat (Standing Orders of the Dewan Rakyat) dan sengaja diletakkan dalam senarai yang akhir tanpa kesempatan dibahas, apatah lagi untuk ke peringkat kelulusan.
Semuanya menunjukkan bahawa PAS hingga kini, dan akan datang, akan terus mempertahankan matlamat dan cita-citanya secara terbuka, menerusi ruang demokrasi yang ada. PAS akan terus berpegang kepada batas kerjasama Tahaluf Siyasi (persefahaman) mengikut batas hukum Islam yang menjadi hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuh PAS. Dalam masa yang sama PAS juga menghormati dan mengakui akan perbezaan pandangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dalam beberapa perkara, tetapi semuanya tidak menghalang untuk PAS kukuh bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat ini untuk bergerak di atas common policy platform yang telah dipersetujui dan kebersamaan untuk memerangi salah guna kuasa, rasuah, ketirisan, demokrasi songsang amalam BN sejak sekelian lama, dasar ekonomi pincang yang menekan rakyat dan sebagainya. Ternyata sejak lebih 50 tahun berada di tampuk kuasa, UMNO-BN tidak menunjukkan minat untuk melakukan perubahan yang dinyatakan di atas, di mana mereka hanya berminat membolot kuasa politik dan pemerintahan untuk meneruskan kerakusan mereka sahaja.
Perlu juga kita ingat, bahawa UMNO adalah parti paling besar menguasai Kerajaan Negeri dan Pusat serta memimpin Barisan Nasional kerana berjaya memujuk bangsa Melayu Islam mengundinya setiap kali pilihan raya umum. Kerajaan UMNO-BN ini mempunyai kuasa Negeri dan Pusat berlipat kali ganda lebih daripada PAS. Mereka berkuasa ke atas Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama di banyak negeri dan Pusat Pengajian Tinggi berbagai bidang. Hingga kini UMNO turut juga mempunyai mantan pemimpin PAS yang tidak sabar bersama PAS kerana terlalu lambat mendapat kuasa di peringkat pusat, lalu bergayut dengan UMNO yang lebih banyak kuasanya di peringkat negeri dan pusat walaupun mereka tetap tidak melaksanakan tuntutan Islam ini. Hakikatnya ialah UMNO wajib meletakkan pelaksanaan syariat Islam seperti hudud ini di atas kepala dan bahu mereka, bukannya disepitkan di bawah ketiak untuk hanya dipergunakan bila melawan PAS atau untuk mendapat undi pilihan raya semata-mata.
Setelah lebih 50 tahun diberikan kuasa, maka UMNO wajiblah mempengaruhi rakannya dalam BN bagi melaksanakan syariat Islam dan seluruh hukum Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT. PAS pula tentulah wajib menyokong segala usaha melaksanakan hukum Allah, termasuklah melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap sistem ekonomi dan keadilan dalam masyarakat, membenteras rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya daripada semua pihak. Maka berdosalah PAS kalau tidak menyokong dan menolong jika ada usaha ikhlas dan langkah daripada UMNO atau mana-mana pihak yang benar-benar menegakkan hukum Islam. Malangnya hingga kini tidak ada tanda dan alamat ke arah itu. Bahkan, seorang Perdana Menteri dari kalangan pimpinan tertinggi UMNOlah yang menghantar surat rasmi kepada Kerajaan PAS Kelantan suatu masa dahulu untuk diambil tindakan sekiranya kerajaan Kelantan berkeras ingin melaksanakan hukum Islam ini.
Perlu difahami oleh kita semua, bahawa hukum Allah adalah amanah daripada Allah, kepada sesiapa sahaja yang mengaku Islam apabila menjadi pemimpin yang memegang kuasa pemerintahan, bukan hanya khusus kepada PAS sahaja. Kalau tidak menunaikan amanah ini bermakna khianat, dan sesiapa yang menyokong dan mendukungnya juga adalah pengkhianat terhadap Allah dan Rasul Nya SAW. Laknatnya lebih besar apabila melihat kemungkaran dan jenayah merebak di hadapan mata kerana gagalnya undang-undang ciptaan manusia, namun tetap mempertahankan undang-undang yang nyata lemah dan sesatnya.
Malangnya UMNO hanya memalu gendang kosong melalui gendang media yang dikuasainya supaya PAS bersilat dengan DAP dan ramai yang menjadi pemerhati dan menunggu PAS keletihan, atau dipersalahkan, lalu tarikh pilihan raya pun diumumkan. UMNO tidak menjawab apabila MCA berkata UMNO jangan hilang akal dengan hukum hudud. Malangnya UMNO terus mengulit orang Melayu Islam dengan gendang dan alat medianya, supaya terus menjadi bangsa khayal dengan janji, bangsa pelupa dan mudah lupa terhadap kesalahan, tenggelam dalam jahil murakkab (tidak tahu, buat macam tahu).
Kepada sesiapa yang berkemampuan dan berkenaan pula, termasuklah pengamal media arus perdana, jangan selama-selamanya menjadi tukang sapu UMNO dan pembawa sampahnya, jagalah maruah diri dan agama sebelum pintu taubat ditutup. PAS tetap istiqamah dan menerima setiap pandangan yang membina dan menentang tanpa berganjak terhadap semua penghalang, yang datang daripada segenap penjuru dan semua kalangan, sama ada kerajaan, bukan kerajaan, dalam Negara dan luar Negara, kerana yakin kepada Islam adalah daripada Allah Pencipta Alam seluruhnya.
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...