Sabtu, Oktober 04, 2014

Aidiladha: Berlaku adil sesama manusia - MB Kelantan

KUALA LUMPUR: Berkorban memerlukan takwa dan takwa agak sukar diperolehi tanpa sifat tadhiah (pengorbanan) khususnya dalam menegakkan suruhan Allah.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, seseorang muslim yang sebenar hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan mematuhi prinsip-prinsip keadilan sesama manusia.

Bahkan kata beliau, wajib berlaku adil sesama manusia walaupun dari golongan yang tidak sehaluan dan ini merupakan syarat-syarat ketakwaan yang sempurna.

"Kehidupan hari ini kita menyaksikan bagaimana wujudnya pihak yang sewenang-wenangnya bertindak melanggar perjanjian dan tidak berlaku adil semata-mata kerana tidak mahu memberikan hak kepada pihak yang tidak disenangi dan dianggap musuh politik mereka.

"Hasil mahsul bumi diangkut sewenang-wenangnya tanpa sebarang faedah kepada penduduk setempat sekalipun sudah wujud perjanjian yang jelas," katanya dalam prutusan khas Aidiladha hari ini.

Menurutnya, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT, hak-hak yang telah diiktiraf di dalam perjanjian hendaklah sentiasa dihormati tanpa sebarang penyelewengan fakta semata-mata kerana tidak sehaluan dari sudut fahaman politik dan lain-lain.

"Jika seseorang itu tidak mematuhi janji yang telah dimeterai, maka hilanglah penghormatan orang lain terhadap dirinya dan pastinya akan dikecam sebagai pengkhianat serta tidak boleh dipercayai," tegasnya.


Berikut teks penuh perutusan Aidiladha 1435 oleh beliau.

______________________________________________

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهُ أكْبَرُ ، اللهُ أكْبَرُ ، لا إله إلا الله والله أكبر اللهُ أكْبَرُ ولله الحمد

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah Telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Surah al-Hajj : 37)

Aidiladha atau hari raya korban, mengenangkan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam bersama puteranya Ismail, kisah kepatuhan, ketaatan, pengorbanan dan kesabaran mereka dalam menjunjung perintah Allah SWT apabila Nabi Ibrahim diarahkan untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail.

Sebagai mencontohi pengorbanan mereka, Rasulullah SAW telah menganjurkan agar menyembelih binatang pada hari raya korban sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempunyai kemampuan dan tidak mengerjakan ibadat korban, janganlah mendekati tempat solat kami". (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Berkorban memerlukan takwa dan takwa agak sukar diperolehi tanpa sifat tadhiah atau berkorban khususnya dalam menegakkan suruhan Allah. Seseorang muslim yang sebenar hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan mematuhi prinsip-prinsip keadilan sesama manusia. Bahkan wajib berlaku adil sesama manusia walaupun dari golongan yang tidak sehaluan dan ini merupakan syarat-syarat ketakwaan yang sempurna.

Kehidupan hari ini kita menyaksikan bagaimana wujudnya pihak yang sewenang-wenangnya bertindak melanggar perjanjian dan tidak berlaku adil semata-mata kerana tidak mahu memberikan hak kepada pihak yang tidak disenangi dan dianggap musuh politik mereka. Hasil mahsul bumi diangkut sewenang-wenangnya tanpa sebarang faedah kepada penduduk setempat sekalipun sudah wujud perjanjian yang jelas. Semua ini berlaku apabila orang-orang Islam sendiri tidak menghayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Orang-orang Islam itu dipegang pada janji mereka". (Riwayat Imam Bukhari)

Sepatutnya sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT, hak-hak yang telah diiktiraf di dalam perjanjian hendaklah sentiasa dihormati tanpa sebarang penyelewengan fakta semata-mata kerana tidak sehaluan dari sudut fahaman politik dan lain-lain. Jika seseorang itu tidak mematuhi janji yang telah dimeterai, maka hilanglah penghormatan orang lain terhadap dirinya dan pastinya akan dikecam sebagai pengkhianat serta tidak boleh dipercayai.

Demi keadilan yang dituntut oleh Islam, maka hak-hak yang telah termaktub di dalam sebarang perjanjian yang tidak melanggar syarak hendaklah dikembalikan agar tidak menjadi bebanan di hadapan Allah SWT. Ingatlah walau siapapun kita dan setinggi mana pun pangkat yang kita miliki, sebarang pengkhianatan terhadap perjanjian tetap akan dipersoalkan oleh Allah SWT. Kita mungkin berjaya melepasi mahkamah di dunia, tetapi kita tidak mungkin dapat melepasi mahkamah Allah SWT di akhirat kelak.

Sempena menyambut hari raya aidiladha yang hanya beberapa hari sahaja lagi, saya dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri mengambil kesempatan memohon kemaafan jika ada salah silap dan kepada anak-anak Kelantan di perantauan agar dapat berhati-hati semasa pulang ke kampung halaman nanti. Maaf Zahir Batin khas buat seluruh rakyat Kelantan dan tidak dilupakan juga kepada pasukan keselamatan yang bertugas diperbatasan.

من العائدين والفائزين كل عام وأنتم بخير

“Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir Batin”


hd

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng