Rabu, September 03, 2014

Berita petang : Amanat Terakhir MB Selangor Rakyat Malaysia Wajib Baca.



SHAH ALAM – Perutusan ulang tahun ke-57 kemerdekaan negara oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sarat dengan amanat kepada rakyat agar menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Abdul Khalid berkata, dalam perjalanan berdepan kemelut politik yang berlarutan sehingga lapan bulan ini, beliau mengingatkan semua pihak supaya menghormati pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, adil dan berintegriti. “Saya perlu menyentuh hal ini kerana akhir-akhir ini terdapat pihak tertentu yang menggunakan media sosial untuk mempersoalkan hak mutlak sultan atau institusi beraja Selangor dan Raja-raja Melayu,” katanya ketika berucap pada Malam Ulang tahun ke-57 Kemerdekaan di Dataran Shah Alam, malam kelmarin.


 Dalam perutusan berkenaan, Abdul Khalid menyatakan ucapan penghargaan kepada rakyat Selangor yang memberi kepercayaan kepadanya mentadbir negeri ini sejak 2008. “Di kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam dan seluruh lapisan rakyat yang bekerjasama bersama saya sejak Mac 2008 untuk mentadbir urus kerajaan negeri ini dengan penuh berhemat, berhemah dan berintegriti bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri kita. “Saya memohon maaf atas segala tindakan dan tutur kata sepanjang mengemudi pentadbiran Selangor,” katanya.

 Beliau turut mengingatkan rakyat Selangor supaya sentiasa menjalin hubungan baik sesama kaum sebagai usaha mengukuhkan perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini. Katanya, hubungan kukuh masyarakat secara tidak langsung mampu menghindar sikap menghina atau mencela agama dan amalan budaya kaum lain. Abdul Khalid menyatakan kurang pengetahuan dan kefahaman sebilangan rakyat terhadap agama dan budaya antara kaum boleh menyebabkan perpaduan sukar dicapai.

 “Dalam masyarakat majmuk perpaduan adalah tunjangnya, hubungan baik antara kaum adalah keutamaannya, kerjasama dan tolak ansur adalah syaratnya manakala menghina bangsa, agama dan budaya adalah pantangnya,''katanya. Selain sambutan merdeka, kerajaan negeri turut menganjurkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Belia.

sh

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng