Isnin, Disember 24, 2012

Muhyiddin wajar cermin diri - Pemuda Pas


Nik Aziz
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
DEWAN Pemuda Pas Negeri Kelantan menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bermulut celupar’ kerana mengatakan bahawa orang Melayu yang menyokong Umno adalah mungkar. Kenyataan Muhyiddin tersebut disiarkan oleh beberapa akhbar termasuk Berita Harian dan Sinar Harian hari ini 23 Disember 2012.

Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan melihat kenyataan terbaru Muhyddin ini sebagai satu kenyataan yang melampau dan tidak berasas. Ia dihamburkan semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dilontarkan oleh Menteri Besar Kelantan itu.

Apa yang patut difahami oleh Muhyiddin ialah kenyataan  Nik Abdul Aziz bermaksud perjuangan Umno yang berterusan menentang Pas khususnya di Kelantan dan berusaha menjatuhkan kerajaan Kelantan yang jelas melaksanakan dasar-dasar pentadbiran Islam adalah satu perbuatan yang mungkar. Ini kerana jika Pas diganti dengan Umno di Kelantan, sudah pasti dasar-dasar mesra syariat yang diperkenalkan di Kelantan akan dirombak semula dan Kelantan akan kembali ditadbir sebagaimana negeri-negeri lain di bawah pentadbiran Umno/Barisan Nasional.

Ini belum mengambil kira budaya rasuah dan pecah amanah yang sudah mendarah daging di dalam perjuangan Umno. Justeru, meletakkan parti sebegini sebagai pemerintah adalah merugikan negara dan jelas merupakan perkara mungkar.

Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan menyeru Muhyiddin agar bercermin diri terlebih dahulu sebelum melabelkan pihak lain sebagai celupar. Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan ingin mengingatkan Muhyiddin keceluparannya sendiri ketika berkempen di pilihan raya kecil Dun Tenang pada 22 Januari 2011 yang memberikan amaran kepada MCA tentang ‘negara Islam yang menjadi matlamat Pas’. Bahkan Muhyiddin menyokong tindakan MCA yang memainkan isu negara Islam atas asas ‘untuk mengingatkan masyarakat Cina’. Kenyataannya ini direkodkan sendiri oleh Jabatan Penerangan Malaysia dan jika Muhyiddin lupa, beliau boleh merujuk kepada pautan berikut: (http://eakhbar.penerangan.gov.my/eakhbar/berita/cetakberita.php?idk=346444).

Untuk lebih jelas, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan menukilkan kembali sebahagian daripada petikan yang terdapat di dalam kenyataan penuh beliau, “Since years ago, Pas has never said it will amend the party constitution, the establishment of an Islamic State is still there..” (Sejak dulu, Pas tidak pernah berkata ia akan meminda perlembagaan parti, cita-cita untuk menubuhkan Negara Islam tetap masih ada..")

Apakah matlamat daripada kenyataan Muhyiddin di hadapan pemimpin MCA ini jika tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina tentang negara Islam? Dalam masa yang sama, Muhyiddin di ucapan pembukaaan Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umnp yang lalu melabelkan Pas sebagai ‘Lebai Malang’ kerana kononnya terpaksa menggadaikan prinsip negara Islam. Inilah lidah bercabang yang dimiliki oleh Muhyiddin yang wajib diketahui oleh orang Melayu Islam keseluruhannya. Sifat hipokrit inilah yang menjadi senjata Umno sekian lama untuk meraih sokongan orang-orang Melayu.

Merujuk kepada kenyataan Mursyidul Am Pas yang menyebut perkataan ‘mungkar’ dan didakwa oleh Muhyiddin sebagai fatwa, bagaimana pula dengan kenyataan ulama muktabar Umno di Kelantan, Abdullah Saamah yang mengeluarkan fatwa bahawa berdosa menyokong Pas? Kenyataan ini disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 21 Februari 2012. Ini belum mengambil kira kenyataan Menteri Besar Terengganu yang melabel Pas sebagai ‘parti ajaran sesat’. Tidakkah ini juga boleh disebut sebagai ‘fatwa’ pemimpin Barisan Nasional?

Justeru, dalam hal ini Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan menyeru Muhyiddin sekali lagi agar berfikir terlebih dahulu sebelum melontarkan kata-kata. Perlu diingatkan bahawa sejarah politik Malaysia menyaksikan tidak semestinya seorang Timbalan Perdana Menteri akan menjadi Perdana Menteri. Cita-cita Muhyiddin barangkali tinggi melangit, tetapi nasib jatuh bangun kerajaan Barisan Nasional masih belum diketahui./SinarHarianOnline

* Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan

Beriklan Sambil Menjana Puluhan Ribu Sebulan.. Klik Sekarang!!!!!

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng