SHAH ALAM - Tidak ada satu pun matlamat atau dasar perjuangan Pas terkeluar dari landasannya, bahkan parti Islam itu sentisa komited dalam memastikan kerjasama parti itu dengan PKR dan DAP membuahkan hasil pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad berkata, persepsi yang dilemparkan oleh segelintir ahlinya yang tidak berjawatan dalam parti, adalah satu "pembohongan."
"Bagi kami Pas tetap atas landasannya, Perlembagaannya tidak berubah, dasar Pas tetap Islam sepertimana dalam Perlembagaan, soal matlamat perjuangan Pas tetap termaktub dalam Perlembagaannya dan hukum-hukum yang tertinggi juga tetap sama. Tak ada perubahan.
"Masalah mereka ini ialah mereka tidak mahu memahami atau sengaja tak mahu faham beza di antara dasar dan strategi atau taktik," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Sabtu lalu, beberapa ahli Pas Selangor telah menganjurkan satu forum bertajuk Wacana Mengembalikan Pas ke Landasan Asal di Kuala Lumpur.
Program tersebut menampilkan dua sesi perbincangan.
Sesi pertama bertajuk Mengimbau Nostalgia Kegemilangan Pas dibarisi bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Muslim Osman dan bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha serta moderator Pakar runding Akademi Aidit, Datuk Aidit Ghazali.
Sementara itu, untuk sesi kedua pula bertajuk Merealisasikan Saranan Mengembalikan Pas ke Landasan Asal dibarisi Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Yusof Muhammad dan pengamal media, Mohd Reza Kamaruddin.
Pengurus Besar Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Dr Shamsuddin Moner bertindak sebagai moderator.
Wacana berkenaan kemudiannya menggariskan 11 resolusi yang antaranya menggesa kepimpinan ulama menerajui Pas semua.
Parti itu juga tidak seharusnya terlalu menyanjung pimpinan DAP dan PKR dalam masa yang sama menghina pimpinan sesama Islam.
Pas juga katanya, mesti segera mengkaji hubungannya dengan PKR dan DAP dan sekiranya perlu mengadakan Muktamar Khas memandangkan pimpinan parti-parti tersebut telah menggelincirkan halatuju Pas untuk menegakkan Islam dan melaksnakan hudud.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, tahaluf siyasi atau kerjasama Pas dengan PRK dan DAP tidak pernah menjadikan parti itu mengikut telunjuk dua lagi parti komponen Pakatan Rakyat itu.
"Apabila seseorang ingin mencapai sesuatu matlamat, ia kena mengambilkira realiti politik dan menyusun langkah mengikut realiti politik itu untuk mencapai matlamat yang termaktub di dalam Perlembagaannya.
"Bagi saya yang hadir dalam wacana itu, satu (seorang) pun bukan ulama. Untuk dia keluarkan fatwa bahawa kita sudah terkeluar daripada dasar kita sama ada dari sudut matlamat kita atau dari sudut kaedah dan strateginya, dia juga tidak mengemukakan sebarang dalil atau nas," jelas Khalid.
Tegasnya, umum harus faham dan tidak dimomok-momokkan oleh Umno-Barisan Nasional yang sering kali memberikan persepsi yang salah berhubung kerjasama parti Islam itu dengan PKR dan DAP apabila mengatakan parti itu sanggup menggadaikan prinsip Islam demi cita-cita ke Putrajaya.
"Apa yang kita lakukan tidak ada walaupun satu kita berkompromi daripada matlamat mahupun dasar kita. Kita kena faham bahawa soal kerjasama ini atas hal-hal yang kita setuju. Dalam hal yang kita tidak setuju, kita dibenarkan untuk terus mengusahakannya sendiri.
"Bukan kalau kamu hendak masuk Pakatan Rakyat, kamu kena gugurkan agenda Islamnya. Tak ada! Tetapi Pakatan Rakyat hanya akan laksanakan apa yang dipersetujui bersama tetapi apa yang tidak dipersetujui Pakatan Rakyat, Pas berhak dan bebas untuk mengusahakan atas platform Pas itu sendiri," katanya.
"Isu hudud ini kalau tidak kerana Pas, memang daripada awal tak ada orang bincang. Sistem perundangan Islam, sistem pemerintahan Islam, yang bawa ini semua Pas," tambahnya./SinarHarianOnline
Ustaz Azhar Kemah Keming di Astro KLIK SINI
BalasPadam