Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Khamis, November 03, 2011

R.O.S Jangan Bermain Politik Kotor dan Busuk

08 Dzu al-Hijjah 1432 / 04 November 2011
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kecewa kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik. Bagi DPPM, respons ROS yang menyatakan Pakatan Rakyat tidak membuat permohonan baru selepas Datuk Zaid Ibrahim yang menjadi pengerusi keluar dari parti adalah alasan semata-mata.

DPPM kesal kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) sengaja melengah-lengahkan proses permohonan pendaftaran Pakatan Rakyat sedangkan ianya telah dibuat berbulan-bulan lamanya. Sepatutnya jawapan segera perlu diberi dalam masa beberapa minggu dari proses permohonan, dan jika Pakatan Rakyat masih belum ‘membuat permohonan baru’ seperti didakwa oleh ROS, ia perlu dimaklumkan segera agar tindakan lanjut dapat dibuat. Mengapa perlu tunggu sehingga beberapa bulan lamanya baru hendak diberi jawapan balas, dan jawapan itu pula amat mengecewakan. Lebih dari itu, pemimpin Pakatan Rakyat telah menyusul dan bertemu dengan Pegawai Tertinggi ROS sebelum ini, mengapa respons tidak diberikan segera semasa pertemuan tersebut.

Tindakan ROS mencerminkan lemahnya pegawai-pegawai dalam jabatan tersebut dalam pengurusan sehingga memakan masa beberapa bulan untuk memberi jawapan. Dalam era kecanggihan teknologi maklumat terkini ditambah dengan jumlah kakitangan yang ramai, sepatutnya pelbagai kemudahan yang sedia ada boleh mempercepatkan sesuatu urusan. DPPM juga curiga adakah mungkin ROS dibayangi oleh arahan pihak tertentu yang berkepentingan.

Dalam hal ini, DPPM mengingatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar bersikap telus, jujur, adil dan benar dalam menjalankan tugas serta tidak cuba bermain politik kotor dengan Pakatan Rakyat. Sebagai sebuah agensi yang menguruskan pendaftaran pertubuhan, ROS perlu melayan semua pertubuhan dengan adil dan saksama tidak kira ianya parti dari kerajaan mahupun pembangkang. Jangan sesekali pula ROS mengambil peranan sebagai sebuah parti politik yang menekan parti politik lawannya.

Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...