Selasa, Oktober 07, 2014

Berita Tengahari : Kerajaan Umno Yang Tidak Cerdik..

Tuan Ibrahim Tuan Man

BUKIT PAYONG - Pas menyifatkan kerajaan tidak berpijak di bumi nyata dengan memberikan alasan yang dianggap tidak cerdik apabila harga minyak RON95 dan diesel dinaikkan sebanyak 20 sen.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan dikeluarkan menteri berkaitan juga dilihat tidak mencerminkan kehendak majoriti rakyat, sekali gus menggambarkan mereka gagal memahami kesusahan golongan marhaen.

Sehubungan itu, beliau meminta agar menteri terbabit meletak jawatan kerana kegagalan mereka menjaga kepentingan rakyat, malah kenyataan dikeluarkan tidak mencerminkan realiti sebenar keadaan rakyat.

“Kalau menteri duduk di atas dan mereka naik dengan rakyat, kemudian dia buat kenyataan yang membelakangkan rakyat, saya cadangkan dia letak jawatanlah.

“Dia tak layak jadi menteri, buat kenyataan macam ini, hingga menimbulkan rasa kecewa (rakyat) yang mana menteri sepatutnya (jadi) pelindung dia, sekarang menteri jadi bebanan kepada rakyat,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik selesai program ceramah Penerangan Isu-isu Semasa di Pasti Al-Iman Pekan Bukit Payong, di sini.


Tuan Ibrahim berkata, alasan harga minyak di pasaran dunia naik juga tidak boleh diguna pakai untuk menaikkan harga petrol RON95 kerana harga minyak di pasaran dunia kini sedang mengalami kejatuhan.

“Begitu juga dengan alasan pengurangan subsidi kepada rakyat, sebaliknya kenapa Independent Power Producer (IPP) iaitu syarikat penjana kuasa elektrik masih menikmati subsidi daripada kerajaan yang berjumlah berbilion setahun.

"Secara mudahnya, syarikat-syarikat ini menjana keuntungan hasil daripada pemotongan subsidi ke atas rakyat," katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah permulaan kepada keperitan yang lain.

"Sebelum GST dikenakan tahun hadapan, pada hari ini, kita sudah diberikan kenaikan harga barang hasil daripada kenaikan harga minyak ini.

“Selain harga barang naik, kenaikan ini akan turut sama melonjakkan kadar inflasi dan tidak terkecuali kadar masalah sosial dan jenayah akan meningkat, sekali lagi ini turut meresahkan rakyat,” katanya.

sh

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng