Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, November 02, 2012

Panas!!! Johor sedang dilanda angin perubahan


KHAIRUL Faizi Ahmad Kamil, 39, (gambar) adalah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat. Dalam masa yang sama beliau adalah Yang Dipertua PAS kawasan Kluang, Johor.

Beliau adalah antara tokoh muda PAS yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada politik. Kerja sepenuhnya masanya adalah ahli politik.

Menjadi rutin mingguan Khairul Faizi untuk pulang ke Johor, bersama rakan-rakan dalam PAS dan Pakatan Rakyat di Kluang.

Minggu lalu, ketika penulis turun ke Johor, beliau sibuk menguruskan majlis dialog pemimpin PAS Johor dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di sebuah hotel di Kluang, antara bandar utama di Johor selepas Johor Bahru.

Malamnya, mereka mengadakan ceramah di depan Pejabat PAS Kawasan Kluang. Ia disertai oleh pelbagai pihak termasuk penduduk bukan Islam di bandar Kluang.

Khairul Faizi hanya baru menjadi Yang Dipertua PAS Kluang sessi lalu. Namun beliau sudah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum iaitu tahun 2004 dan 2008. Kedua-duanya beliau kalah di DUN Mahkota dalam parlimen Kluang.

Dalam pilihan raya 2004, beliau hampir hilang wang deposit apabila hanya mendapat 4,107 undi sedangkan lawannya dari Umno mendapat 19,045 undi.

Namun dalam pilihan raya 2008, Khairul Faizi mendapat 9,809 undi iaitu peningkatan 100 peratus manakala lawannya mendapat 17,487 undi.

Dalam pilihan raya akan datang, Khairul Faizi akan bertanding lagi, mencuba untuk kali ketiganya. Walaupun namanya disebut-sebut untuk turut bertanding di peringkat Parlimen, namun beliau tidak berapa berminat.

Dun Mahkota adalah satu satu dari 28 kerusi DUN yang bakal ditandingi oleh PAS dalam pilihan raya umum akan datang di Johor.

Dari segi rankingnya, Mahkota diletak yang kelima selepas Sungai Abong, Maharani (dua DUN yang dimenangi PAS 2008), Puteri Wangsa dan Sungai Balang.

Turut bersama Mahkota adalah Nusajaya, Gambir dan beberapa DUN lagi yang disasarkan oleh PAS Johor untuk menang dalam pilihan raya ini.

Hampir kesemua DUN ini adalah kawasan pengundi campuran antara Melayu, Cina dan India. Daripada 41,000 pengundi DUN Mahkota misalnya, 21,000 darinya Melayu (51.2%), 19,000 (Cina - 46.3% ) dan 2,000 (India - 0.48%).

Minggu lalu, PAS Kluang melancarkan lima lagi cawangannya. Cawangan-cawangan itu adalah Kampung Baru, Taman Ilham, Kampung Abdul Rahman Yassin, Kampung Bentong dan Taman Sri Impian.

"Cara kami bergerak di Johor ini agak berbeza sedikit di mana kami utamakan usaha untuk membantu rakyat dan mendekati mereka. Bila mereka dah dekat baru kami cakap pasal Islam," kata Khairul Faizi kepada penulis.

Dalam pilihan raya umum 2008, pengundi di Johor khasnya pengundi Cina tidak terlibat dengan tsunami politik yang melanda Semenanjung Malaysia. Begitu juga pengundi Sabah dan Sarawak.

Ketika itu orang Johor fikir, negeri itu adalah kubu Umno. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa dengannya. Rutin hidup harian mereka hanya tertumpu kepada mencari makan. Ramai antara mereka pula bekerja di Singapura dan tv yang mereka tonton adalah TV Singapura.

Namun selepas 2008 baru mereka sedar bahawa perubahan boleh berlaku jika mereka mahu. Hasilnya, dalam tinjauan penulis ke Kulai, Kota Tinggi dan Kluang, jelas kelihatan mereka mahukan perubahan.

Majlis-majlis yang dianjurkan oleh PAS, DAP serta PKR mendapat sambutan hangat. Majlis yang dianjurkan PKR di Skudai disertai lebih 5,000 orang, majlis PAS di Kota Tinggi penuh dewan manakala majlis DAP di Kulai penuh sesak dengan tetamu.

Kesemua mereka bercakap soal perubahan yang mereka terlepas dalam pilihan raya 2008 lalu.

"Sekarang kita mahu ke Kota Tinggi, kubu Umno di Johor. Kalau sambutannya bagus dan Cina juga menyertai majlis ini, ia adalah petanda jelas Johor sedang dilanda perubahan," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS yang bakal bertanding di Johor kali ini kepada penulis dalam perjalanan kami ke Kota Tinggi.

Terbukti, Dewan Chun Moi, Kota Tinggi penuh dengan manusia. Separuh darinya adalah Cina.

Dalam pilihan raya ini, PAS Johor mensasarkan 17 kerusi Dun untuk dimenangi dari 28 kerusi yang mereka akan tandingi, termasuk kerusi DUN Mahkota yang bakal ditandingi Khairul Faizi.

"Saya rasa DAP akan menang kesemua kerusi yang ditandinginya iaitu antara 13 - 14 kerusi," kata beliau kepada penulis.

Dengan pilihan raya umum yang hampir tiba, suasana semakin panas di Johor. Penganalisa politik Bridget Welsh berkata, 15 dari 26 kerusi Parlimen di Johor boleh dimenangi oleh Pakatan Rakyat kali ini.

Apakah ini benar dan bakal berlaku? Kita hanya boleh meramalkan berdasarkan tinjauan dan penemuan kita tetapi Allah yang lebih tahu apa sebenarnya yang akan berlaku./HarakahDaily

    

4 ulasan:

  1. TOLONG FOKUS KEMPEN KEPADA TARIF AIR YANG MAHAL DI JOHOR. RAKYAT TERSEKSA

    BalasPadam
  2. air pun mahal apalagi barang lain mana rakyat nak mampu

    BalasPadam
  3. SIASAT HINGGA AKAR UMBI
    TOLONG URUSKAN MASALAH "JALAN BERLUBANG" ( JB ). MASALAH PENDATANG ASING BERNIAGA.

    BalasPadam
  4. SAYE ORANG KLUANG... SAYE MINTAK DI KLUANG PAKATAN RAKYAT MENANG DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE 13 BARISAN NASIONAL MENANG TAHUN 2008 TAK ADE PERUBAHAN DI KLUANG... SAYE TENGOK ANAK MUDA SEKARANG MACAM APE... HARAP-HARAP PAKATAN RAKYAT MENANG DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE 13...INSYAALLAH TAKBIR!!!....

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...