Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, April 29, 2015

BERITA BAIK : NAJIB TIDAK AKAN UNDUR...

 Najib

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tidak akan menyerah kalah meskipun beliau diasak dan dikritik hebat sejak kebelakangan ini.

Kenyataan tersebut yang dibuat pada akhir ucapan pembentangan ‎laporan tahunan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Angkasapuri, malam tadi itu seolah-olah memberi isyarat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau akan terus menerajui kerajaan BN.

"Sudah menjadi adat dan sunnah orang berjuang, pasti menempuh getir serta liku-liku cabaran.‎ Namun, para hadirin dan rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, walau dilintang dengan seribu aral,

"Biarpun kita sedang diasak dan dikritik, sebagai sebuah kerajaan yang telus, saya selaku perdana menteri bersama-sama Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan didukung pula para menteri serta rakan-rakan anggota pentadbiran, tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah,

"Malah akan tetap beristiqamah dan terus berjuang, merintis sejuta lagi jalan baru demi kebaktian kepada rakyat dan negara," katanya.


Kebelakangan ini, Dr Mahathir semakin‎ kerap membongkar kegagalan Najib sebagai perdana menteri dan menggesa Presiden Umno itu segera meletakkan jawatan.

Dalam ucapan sama, beliau memetik seruan orang Bugis dalam perjuangan yang tidak akan menyerah kalah meskipun dilanda gelombang besar.‎

"Seruan hikmat orang Bugis pula, dalam berjuang, jikalau perahunya telah kita kayuh ke tengah, ia tidak boleh bersurut pulang, meskipun bagaimana besar gelombang yang melanda, biarpun kemudi patah, biarpun layar robek, biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, ia lebih mulia bagi kita tegap teguh berjuang daripada membalik haluan pulang.

"Lantas, selagi cita-cita murni tidak padam, kita tidak akan keseorangan, tidak pula hilang haluan dan pedoman. Ayuhlah bersama-sama berganding di atas roh perjuangan yang sama, kita terus menuju gagah ke hadapan, ke arah Malaysia yang maju lagi disegani di persada dunia," katanya.‎

Beliau menyeru agar rakyat berfikir dengan matang tanpa diselubungi emosi dalam menghakimi kerajaan dan usaha-usaha murni kerajaan selama ini.

Malah, beliau turut ‎membayangkan bahawa segala tuduhan ke atasnya akan hilang apabila kebenaran terungkap.

"Kerana itu marilah kita jauhkan segala sengketa dan mencari titik persamaan, demi kemakmuran sebuah Malaysia.

"Yakin dan percayalah, apabila kebenaran telah memancar dan menampakkan diri kelak, akan gugurlah segala nista dan tohmahan," katanya.

sh

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...