Artikel Pertama: BH 17 April “Khalid Persoal Hadi”
Saya ditanya oleh wartawan samada saya tahu mengenai ‘Private Member’s Bill’ atau ‘Usul Undang-Undang Persendirian’ yang diserahkan kepada TS Speaker Dewan Rakyat pada 18 Mac sebelum ianya diserahkan. Saya jawab saya tidak diberitahu dan Setiausaha Agung pun telah sebut bahawa beliau pun tidak tahu. Begitu juga ketua whip Ahli Parlimen, Dato Mahfuz Omar juga telah mengesahkan bahawa beliau tidak tahu. Kami hanya dimaklumkan secara rasminya pada 30 Mac semasa mesyuarat AJK PAS Pusat.
Maka ditanya lagi “sebagai AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen, tidakkah sepatutnya kamu diberitahu?” Saya jawab, “itulah sebaiknya, tetapi saya yakin TGHH telah berbincang dengan yang lain, saya tidak tahu siapa dan menyerahkan usul itu agak cepat atas sebab kekangan waktu. Ada tempoh 14 hari notis yang perlu dipatuhi”.
Jawapan saya yang sebegini dilaporkan wartawan BH sebagai “Khalid Persoal Hadi”. Nampak gaya sudah semakin desperate pihak tuan kepada BH (UMNO) untuk melaga-lagakan saya dengan TGHH.
Laporan BH ini telah menimbulkan kekeliruan, sehingga mengundang Pesuruh Jaya PAS Terengganu untuk mengeluarkan kenyataan di FBnya bahawa ‘saya menipu’. Sedangkan PJ Terengganu pun tidak faham hujung pangkal kisahnya. PJ Terengganu menyebut mesyuarat pada 30 April. Usul tersebut diserah kepada TS Speaker Dewan Rakyat pada 18 Mac. Yang saya sebut “tidak tahu” itu adalah merujuk pada tarikh 18 Mac, iaitu sebelum mesyuarat tersebut.
Saya ditanya pula berhubung reaksi DAP dan respon mereka terhadap tindakan TGHH menyerahkan usul tersebut tanpa berbincang terlebih dahulu seperti yang “dijanjikan”. Saya jawab bahawa ianya salah-faham. DAP sangkakan bahawa ianya usul berhubung perlaksanaan Enakmen Qanun Jenayah Syariyah Kelantan di Negeri Kelantan (EQJSK). Usul berhubung perlaksanaan EQJSK ini memang dijanjikan akan dimaklumkan kepada Majlis Presiden sekiranya ianya ingin dibawa, tetapi usul yang dibawa adalah berhubung Akta 355. Usul Akta 355 adalah usul pentadbiran dan oleh itu TGHH menganggap ianya tidak perlu dibincang. Maka ada salah-faham dalam soal ini.
Maka ditanya lagi “tidakkah sebaik-baiknya ianya dibincang dengan DAP dan PKR terlebih dahulu supaya tidak timbul salah faham ini?” Maka saya jawab “Ya, itulah yang terbaik dan ianya menepati prinsip Syura yang dianjurkan Islam. Tetapi mungkin ianya tidak dibincang atas sebab kekangan waktu juga sepertimana dalam kes dengan kami”.
Jawapan saya yang sebegini dilaporkan wartawan BH sebagai “Hadi patut utama amalan Syura”, seolah-olah saya mengkritik TGHH dalam soal ini. Ingin tunjukkan saya sebagai seorang yang ingin menyanggah TGHH. Apa sebenarnya hasrat mereka?
Artikel Kedua: BH 18 April “Khalid Mahu Perwakilan PAS Tukar Kepemimpinan Parti”
Sekali lagi kata-kata saya ‘dispin’.
Saya sebut bahawa Muktamar adalah medan untuk dilakukan muhasabah. Para perwakilan perlu menilai prestasi kepemimpinan dari sudut sejauh mana pimpinan yang dipilih itu telah berjaya melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka oleh muktamar sebelumnya. Setiap tahun pernilaian ini dilakukan dan sekiranya berpuas-hati maka pada tahun kedua, para pemimpin itu dikekalkan, sekiranya sebaliknya maka pemimpin boleh ditukar. Itu adalah hak perwakilan.
Maka muktamar bukan medan untuk menunjukkan kesetiaan terhadap mana-mana pemimpin atau memilih siapa yang lebih fakih dalam soal agama. Ianya medan untuk menilai keberkesanan kepimpinan dan mengekalkan atau menukarkannya sepertimana yang perlu.
Dan asas permilihannya adalah berdasarkan keperluan untuk tugasan yang perlu dilaksanakan. Saya berikan perumpamaan pemilihan seorang panglima perang di mana yang terpenting adalah kemahirannya dalam soal mengatur strategi perang dan keberaniannya turun memimpin di medan perang. Sekiranya dia seorang yang fakih agama, maka ianya kebolehan tambahan tetapi kefakihan bukan keperluan utama yang wajib ada pada dirinya.
Melalui proses pemilihan sebegini maka PAS akan menjadi semakin baik kerana perwakilan sentiasa berusaha untuk memilih pimpinan terbaik untuk memimpin parti. Itulah sebabnya muktamar perlu difahami sebagai medan muhasabah dimana pertanggung-jawaban pimpinan kepada ahli dilaksanakan.
Penjelasan saya yang sebegini dirumuskan oleh wartawan sebagai “Khalid mahu perwakilan PAS tukar kepemimpinan parti”! Sedangkan saya sebut dengan jelas bahawa kemungkinan TGHH tetap akan dianggap yang terbaik apabila pernilaian dilakukan. Maka sudah pasti saya bercakap secara umum berhubung dasar pemilihan dan sebab mengapa seseorang dipilih, tanpa menujukannya kepada mana-mana individu atau kumpulan.
Sekali lagi kelihatan jelas niat BH untuk memberikan gambaran bahawa saya ingin jatuhkan TGHH. Sekali lagi saya tertanya mengapa ya?
Sebenarnya saya mempunyai voice-recording interview atau rakaman suara dengan wartawan BH yang telah diadakan pada 6 April dan akan saya siarkan selepas ini di blog saya secara berperingkat. Tuan-tuan bolehlah nilai sendiri.
Artikel Ketiga: Utusan 17 April “Khalid Samad Label Proulama Sebagai Geng Juhala”
Utusan Malaysia pula memetik tulisan saya di Blog saya yang bertajuk: Selepas Jebon, Parasit Pula?. Tetapi tajuk yang diletakkan adalah mengelirukan.
Saya menyatakan bahawa golongan yang melakukan amalan label-melabel menggelarkan diri mereka sebagai pro-ulama. Sedangkan amalan mereka lebih sesuai untuk mereka digelar ‘geng juhala’ dan bukan ‘pro-ulama’.
Yang benar-benar pro-ulama semestinya adalah mereka yang ingin mencontohi akhlak ulama dan bukan akhlak juhala. Maka gelaran ‘geng-juhala’ ini ditujukan kepada yang melakukan kerja label-melabel ini dan bukan kepada yang pro-ulama sebenarnya. Saya yakin bahawa yang benar-benar pro-ulama juga tidak mahu terpalit dengan amalan segelintir yang kononnya pro-ulama tetapi berakhlak sebagai ‘geng juhala’.
Samalah dengan keadaan di mana ada kumpulan perompak yang menggelar diri mereka sebagai ‘pro-demokrasi’. Sudah pasti gelaran itu tidak sesuai! Apabila dikatakan lebih sesuai mereka digelar ‘pro-jenayah’, maka ia tidak bermakna bahawa sesiapa yang ‘pro-demokrasi’ adalah ‘pro-jenayah’. Ianya ditujukan terhadap kumpulan perompak itu semata-mata. Kecualilah semua yang pro-demokrasi tersebut adalah perompak! Atau mungkin boleh disamakan juga dengan UMNO yang menggelarkan diri mereka pembela Melayu?
Walaupun bagi pandangan saya, maksud tulisan saya adalah jelas, iaitu ‘geng juhala’ bukan dituju pada ‘pro-ulama’ tetapi kepada tukang melabel, namun tajuk Utusan menggambarkan sebaliknya. Maka kekeliruan yang terhasil menyebabkan Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata “Kalau ulama juhala, siapa lagi alim”. Tetapi oleh kerana ianya laporan dari Utusan, maka saya tidak yakin akan kesahihan laporan itu.
Nampak gaya Utusan juga berniat jahat terhadap diri saya dan ingin mereka yang pro-ulama menganggap diri saya sebagai anti-ulama dan memusuhi mereka.
Artikel Keempat: Mingguan Malaysia 19 April “Hadi dan Khalid” - Awang Selamat
Yang terakhir, tulisan Awang Selamat pada hari minggu lepas. Awang Selamat menyebut secara jelas bahawa “kumpulan yang inginkan beliau (TGHH) diganti semakin lantang bersuara, antaranya Ahli Jawatankuasa PAS, Khalid Samad”.
Ini ditulis tanpa apa-apa rujukan dan dianggap satu kesimpulan yang tidak perlu dipersoal. Sedangkan dari mana ianya diambil tidak disebut. Termakan propoganda sendiri? Tidak mustahil.
KESIMPULAN
Maka adalah amat jelas bagi saya, terdapat satu perancangan teliti yang dibuat untuk melagakan saya dengan TGHH. Ianya dilakukan oleh yang di dalam dan di luar parti. Adakah mereka ini bertindak secara bersama?
TS Mahyuddin Yasin pernah sebut, “PAS bukan lagi musuh utama UMNO. Musuh utama UMNO adalah golongan Liberal dan Sekular”. Pada masa yang sama, saya dengan beberapa pimpinan PAS yang lain turut dituduh ‘Liberal’ dan ‘Sekular’ oleh beberapa individu PAS. Jelas bagi saya terdapat kemungkinan kolusi atau kerjasama untuk menjatuhkan saya dan beberapa pimpinan PAS sedang berjalan lancar serta ianya dilakukan oleh mereka yang bergerak dari dalam dan dari luar PAS dengan nada yang seakan sama. Adakah ianya untuk mencapai wawasan Dr Hassan Ali seperti dalam ucapannya pada 2013? Tidak mustahil.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...