Rabu, September 11, 2013

YB Khalid Samad harap kepimpinan baru S.Alam lebih mantap

KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengharapkan kepimpinan baru PAS kawasan itu mengekalkan ukhuwah dan kesatuan, selain mengambil langkah berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat.

Ketika dihubungi Harakarahdaily, hari ini Khalid yang tidak mempertahankan jawatannya yang dipegang sejak 16 tahun lalu, turut mengharapkan PAS Shah Alam tidak dijadikan sebagai kumpulan eksklusif, sebaliknya satu kumpulan pelbagai latar belakang.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mengingatkan agar kesemua ahli memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi bagi mengukuhkan PAS kawasan itu berhadapan dengan musuh politik.

"PAS Shah Alam juga perlu mengekalkan hubungan baik PAS dengan parti rakan komponen lain dalam Pakatan Rakyat - DAP dan PKR. Malah, lebih baik jika ia dikukuhkan lagi," kata beliau.

Khalid mula memegang jawatan YDP PAS Shah Alam pada tahun 1997, pada usia 40 tahun tidak mempertahankan jawatannya untuk sesi kali ini untuk memberi laluan kepada yang lain.

"Sudah lama saya sebagai YDP Shah Alam ini. Biarlah saya beri peluang kepada yang lain. Kalau saya tidak berundur, sampai bila yang lain akan naik. Jadi, awal-awal lagi saya sudah umum untuk tidak pertahankan, walaupun masih ada cawangan yang mencalonkan saya," kata beliau lagi.

Sementara itu, mesyuarat agung kawasan Shah Alam yang berlangsung pada 8 dan 9 Sept lalu membariskan Azli Yusof yang dahulunya TYDP sebagai YDP yang baru, Zulkifli Mohd Nani sebagai TYDP dan Jamil Abd Rahim sebagai Naib YDP PAS Shah Alam.

Mesyuarat agung itu dirasmikan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan, dengan Selangor terpilih sebagai tuan rumah.

Manakala bagi muktamar dewan-dewan pula akan bermula pada 20 dan 21 Nov.

Muktamar tahun ini juga akan berlakunya proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.

Harakahdaily

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng