Jangan sampai gadai negeri untuk biayai bola sepak – SAMM
SHAH ALAM 27 SEPT: Penajaan sesebuah kerajaan negeri terhadap pasukan bola sepak tidak harus sampai menggadaikan kepentingan rakyat dalam aspek lain, kata Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor.
“Kebajikan rakyat adalah keutamaan dan tidaklah perlu menggadai negeri hanya semata-mata untuk sebuah pasukan bola sepak menjadi kuat.
“Berbelanja biarlah dengan berpada-pada. RM7 juta setahun yang diperuntuk lebih dari mencukupi dalam aspek bantuan kerajaan negeri,” kata penyelarasnya, Azhar Achil.
Pada kenyataan media hari ini, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak bergantung kepada pembiayaan daripada sesebuah kerajaan negeri sebaliknya berusaha mencari tajaan luar.
“Pengkritik harus meneliti apakah sebabnya bolasepak tempatan kurang mendapat tajaan besar sehingga memaksa kerajaan negeri dilihat ‘wajib’ menjadi penaja utama,” katanya.
Azhar menyeru semua pihak yang mengkritik dasar kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sudut pembangunan sukan supaya lebih proaktif dan positif.
Beliau berkata, kerajaan Selangor menyumbang lebih RM7 juta setahun untuk pembangunan sukan bola sepak negeri dan ia tertinggi berbanding negeri lain.
“Kerajaan negeri beri sokongan besar tetapi perlu ingat, bola sepak harus lebih bertenaga dengan tajaan syarikat besar,” katanya menambah pelaburan besar kerajaan negeri tidak semestinya membawa hasil lumayan.
“Melaka, contohnya melaburkan jutaan ringgit tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan dan menjadi pembaziran,” katanya.
Selain itu, Azhar menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak dan diberi nafas baru untuk menarik minat syarikat gergasi melabur dalam sukan bola sepak.
“FAM sebagai satu badan bola sepak gagal membawa bolasepak tanahair ke tahap komersial yang tinggi,” katanya.
- FZL
Selangorku
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...