“Tiada sesiapa pun yang benar-benar mengenali sebuah negara itu
sehinggalah dia pernah berada di dalam penjaranya. Sesebuah negara itu
tidak wajar diadili dengan cara layanan kepada warga atasannya, tetapi
layanannya kepada warga bawahannya.” (Nelson Mandela)
Ketika remaja, saya sering menyelak helaian koleksi keratan akhbar lama
milik abah. Salah satunya yang sering diingati ialah helaian akhbar
tahun 1982 mengenai seorang personaliti bernama Anwar Ibrahim yang
diumumkan bakal menyertai Umno.
Majoriti kalangan sahabat terdekat dan pengikut Anwar ketika itu,
melihat beliau sebagai harapan mereka; susuk pemimpin masa hadapan yang
mampu memberikan cabaran besar kepada kerajaan. Maka, tindakan beliau
menyertai Umno tidak diterima umum; termasuklah emak, yang merupakan
seorang ahli JIM.
Tahun 1996, sewaktu Anwar membentangkan bajet di Parlimen - suatu acara
tahunan ditunggu-tunggu, kerana sinonimnya dengan Anwar memperkenalkan
perkataan baru - kelihatan terdapat tanda-tanda di wajahnya. Emak
berseloroh, “ Baru nak matang lah tu...” Mungkin, perasaan tidak puas
hati masih kekal sehingga saat itu.
Tidak lama kemudian berlakulah krisis kewangan yang menggoncang ekonomi
Asia Tenggara, tatkala Anwar berada di puncak kerjayanya di dalam
kerajaan sehingga memangku jawatan Perdana Menteri. Dalam era yang sama,
akhbar melaporkan usaha beliau menentang kronisme dan rasuah. Emak dan
abah menyatakan firasat mereka bahawa Anwar akan ‘kena’ tidak lama lagi.
Saya tidak dapat menangkap maksud mereka sehinggalah peristiwa 2
September 1998.
Detik demi detik peristiwa itu saya saksikan di kaca televisyen dari
kampus di selatan tanah air. Saat itu tidak dapat dilupakan; terduduk
keliru cuba menenangkan fikiran dan memahami kekacauan yang sedang
berlaku. Sejak itu, laporan berita dan perkembangan kes tuduhan Anwar
menjadi urusan harian. Kata-kata masyhurnya: “Ini adalah konspirasi dan
fitnah jahat untuk membunuh karier politik saya” bergema di dalam minda
setiap hari.
Kemuncaknya ialah pada hari bersejarah, Ahad, 20hb September 1998, di
mana demonstrasi terbesar dalam sejarah Malaysia berlaku di Dataran
Mereka, di bawah lembayung reformasi. Rakyat yang berkumpul di Masjid
Negara untuk mendengar ucapan reformasi oleh Anwar, berarak ke Dataran
Merdeka untuk ucapan seterusnya, beralih ke Jalan Raja Laut dan akhirnya
menamatkan perarakan di persimpangan jalan menuju Parlimen. Di situ
juga gas pemedih mata dilepaskan.
Ketika itu, saya menyaksikan sendiri tenaga dan keyakinan rakyat dalam
perhimpunan itu yang boleh disamakan dengan negara jiran kita. Hanya
lima bulan sebelum itu, rakyat Indonesia menjatuhkan Presiden Soeharto.
Malaysia tidak pernah menyaksikan manifestasi ketegasan yang sebegini.
Tetapi perkara penting yang perlu diakui ialah ia bukan kerana Anwar.
Reformasi ialah satu gerakan massa menentang kezaliman. Jika ia mampu
dan boleh bertindak kejam kepada nombor dua paling berkuasa,
bagaimanakah pula nasib rakyat biasa?
Ramai personaliti lain juga turut ditangkap di bawah undang-undang
zalim ISA selepas itu. Melihatkan ketidakadilan yang berleluasa,
Allahyarham Fadzil Noor kemudiannya mengetuai Gerak yang terdiri
daripada pakatan parti politik dan NGO. Antara aktiviti awal Gerak ialah
mengadakan protes besar-besaran untuk membebaskan Anwar. Gerakan
reformasi yang asalnya tertubuh khas untuk membebaskan Anwar,
kemudiannya memperolehi momentum dan berevolusi menjadi satu gerakan
kerakyatan menentang ketidakadilan.
Reformasi terus bergerak menjadi sesuatu yang lebih besar, daripada
pelbagai sudut. Salah satu perubahan yang berlaku ialah, penyatuan semua
parti pembangkang, NGO dan gerakan Islam sebagai suatu penyatuan yang
jitu dan tidak dapat diketepikan. Sebuah perpaduan, yang impaknya tidak
pernah disaksikan sebelum ini. Kendatipun wujud perbezaan yang ketara,
parti pembangkang menyedari wujudnya nilai bersama yang dijunjung
bersama yakni keadilan dan kebebasan. Perjuangan ini dipegang sepenuh
keringat dan diperjuangkan sepenuh jiwa.
Kesedaran ini berkuasa menyatukan dan mengubah senario politik dan
wajah Malaysia secara umum. Lantaran itu, pejuang rakyat daripada PRM,
ABIM, JIM dan mereka yang meninggalkan Umno membentuk Adil, sebuah NGO
yang kemudiannya menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kita kenali
sekarang.
Lantaran itu, kita disedarkan betapa luas, dalam dan melampaunya
struktur kuasa dan pengaruh kerajaan dalam dalam mengawal kuasa polis
negara, media massa dan keseluruhan sistem kehakiman negara.
Malam himpunan bersejarah itu, sepasukan komando bertopeng menyerbu
kediaman peribadi Anwar dan secara kasarnya menahan beliau. Sembilan
hari kemudian, beliau pertama kali muncul dengan mata lebam ditumbuk.
Detik gelap sebuah negara bangsa, Malaysia menyaksikan terbunuhnya
demokrasi.
Apa yang berlaku selepas itu bukan lagi rahsia, secara kolektif
masyarakat mengetahui dan mengikuti butir perbicaraan dengan minat
mendalam. Anwar diletakkan dalam perbicaraan yang penuh kontroversi -
baik daripada segi intepretasi undang-undang mahupun keadilan moral -
disabitkan bersalah, dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun.
Bagaimana seorang yang pernah menjadi orang nombor dua di Malaysia,
dipenjarakan dalam sebuah perbicaraan yang penuh kontroversi, dibelasah
dengan ganas, diraduk emosi dan mentalnya tanpa perikemanusiaan? Anwar
Ibrahim menjadi “prisoner of conscience” Malaysia yang paling kontroversi.
Reformasi
Reformasi menghembuskan nafas baru ke dalam golongan muda Malaysia era
1990-an, ketika semangat belia dan aktivis dilemahkan oleh falsafah
kehidupan golongan muda yang berpandukan kekayaan material dan
hedonisme. Idealisme golongan muda sebelum reformasi bertentangan dengan
golongan muda era 70-an, dengan idealisme perjuangan pro-miskin
pro-rakyat mereka, yang digerakkan budaya intelektual, selari dengan
semangat merdeka, dan sesuai dengan nilai sebuah negara bangsa yang baru
meraih kemerdekaan. Reformasi menjadi sebuah gerakan awam yang
digerakkan oleh rakyat daripada pelbagai latar belakang kehidupan,
aspirasi rakyat yang lahir dengan tiba-tiba, jujur dan mendesak.
Reformasi masih kekal begitu; milik semua orang, sama ada yang
berkecimpung dalam politik atau tidak, sama ada muda atau tua.
15 tahun kemudian, rakyat Malaysia kini boleh dianggap mengalami suatu
proses kematangan politik yang luar biasa dengan menyaksikan peristiwa
Anwar dan reformasi. Kita mewarisi sebuah negara, Malaysia yang sarat
dengan kepelbagaian realiti untuk dihadapi; sistem pilihan raya yang
tidak adil, masyarakat plural yang begitu sensitif dengan identiti
perkauman sempit, kerajaan yang mempunyai kawalan melampau dalam aspek
ekonomi, kehakiman dan sosial sebuah negara, tahap kehidupan yang tidak
seimbang secara demografiknya, di antara banyak hal lain. Bukan mudah
untuk mengubah status quo, mahupun sistem yang tertanam dan diamalkan
selama 50 tahun. Sukar, tetapi bukan mustahil.
Sang pencetus reformasi
Gerakan reformasi sebenarnya dilahirkan melalui pergelutan ramai
personaliti politik, bukan sahaja Anwar. Tanpa mereka reformasi tidak
mungkin menjadi kenyataan. Namun, terlalu ramai yang perlu diiktiraf
sehingga penulis tidak mampu menyenaraikannya tanpa meletakkan keadilan
dalam risiko. Walaupun mungkin ramai yang akan mencapai kesimpulan mudah
itu, artikel ini bukan tentang Anwar Ibrahim. Artikel ini tentang sang
pencetus reformasi.
Sebagai seorang pemimpin pelajar yang tersohor ketika zaman kuliahnya
di UM, Anwar kemudiannya bersama-sama menubuhkan salah satu organisasi
masyarakat sivil terawal di penghujung 1970-an di Malaysia, dikenali
sebagai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kecenderungannya untuk
mengangkat kepentingan orang miskin dan terabai, serta kelantangan
beliau mengkritik kerajaan menyebabkan beliau dipenjara 20 bulan di
bawah ISA selepas peristiwa Baling 1974.
Pasca Revolusi Islam Iran 1979, Malaysia turut merasakan bahang
daripada kebangkitan gerakan Islam di peringkat global. Kita menyaksikan
buat kali pertamanya kebangkitan sebuah organisasi masyarakat sivil
berasaskan Islam. Situasi itu menjadi bonus kepada PAS, yang ketika itu
sedang menyambut kepulangan gelombang besar golongan profesional muda
berpendidikan luar negara yang menyuntik dinamisme baru dalam parti
terbabit. Profil parti di kalangan pengamal undang-undang, para doktor,
jurutera dan ahli ekonomi yang menerima pendidikan di barat meningkat,
lantas menjadi salah satu pencabar utama kepada hegemoni politik Umno.
Anwar Ibrahim dilihat sebagai penyelesaian terbaik dan bakal waris
kepada Tun Mahathir dan Umno ketika itu; seorang lelaki dilihat dan
dikenali kerana prinsip Islam yang dipegangnya, digabungkan pula dengan
kesarjanaan dan kepetahan beliau dalam disiplin pemikiran dan falsafah
oksidental. Anwar bakal menjadi figura politik yang cukup berpengaruh,
mendaki tangga politik sehingga memegang antara jawatan paling penting
dalam negara; sebagai menteri kewangan dan seterusnya timbalan perdana
menteri. Dikenali dengan sifat tidak pernah beralah terhadap tekanan
korupsi dan sifat tiada tolak ansur kepada kronism, beliau mempunyai
kerjaya politik yang tidak mudah untuk ditumbangkan. Pada bulan
September yang malang itu, musibah besar menghentam jatuh ke atasnya
dalam sebuah saga politik dan ekonomi yang selamanya merobek sejarah
politik Malaysia.
Namun bukanlah semuanya punah dan sia-sia. Seperti yang pernah
diungkapkan oleh seorang pemimpin waktu itu, untuk membersihkan air
kumbahan, hampir mustahil jika kita berenang di dalamnya; pembersihan
hanya boleh dilakukan dari luar. Anwar barangkali perlu belajar hal itu.
Sebuah proses pembelajaran yang tentu sekali cukup pahit untuk beliau.
Membentuk blok menuju ke zaman baru reformasi
November 1999, Malaysia menyaksikan penyatuan kuasa pembangkang menuju
ke Pilihanraya Umum Ke-10 yang dikenali sebagai Barisan Alternatif.
Untuk pertama kali dalam sejarah, barisan pembangkang memperolehi undi
majoriti Melayu setinggi 54%. Rekod itu tidak pernah dicabar sehingga
hari ini. Barisan Nasional diselamatkan oleh undi orang Cina dan India,
yang mungkin ketika itu tidak bersedia secara politik dan ekonomi untuk
mencabar status quo secara serius.
Menjelang 2004, Barisan Nasional (BN) mengubah kembali senario dengan
sebuah kemenangan besar. Proses persempadanan semula kawasan pilihan
raya yang dipersoalkan membolehkan BN memenangi 24 daripada 25 kerusi
baru, serta lebih daripada 90% kerusi parlimen. Persaraan Tun Mahathir,
yang mulai diterima secara besar-besaran waktu itu, juga menarik
sokongan baru kepada Umno dan Barisan Nasional. Ketika itu saya
merasakan harapan menjadi gelap gelita dan seolah-olah perubahan menjadi
mustahil.
Era sebelum Pilihanraya Umum 2008 menyaksikan perubahan mendadak.
Pengenalan kepada dasar berdasarkan-keperluan (needs-based) juga menarik
perhatian baru, terutamanya di kalangan bukan-Bumiputera. Dasar itu
bukan sekadar usaha untuk meraih undi, malah kewujudannya memang kena
pada waktunya, memandangkan ketidakadilan menyeluruh yang timbul
daripada polisi pilih kasih, ketirisan dan penyalahgunaan sumber yang
berdekad lamanya di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Anwar juga
sudah bebas, dan mula berusaha gigih menyatukan pelbagai parti demi
membentuk satu pakatan pembangkang yang menggerunkan, dan suara mereka
perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Menuju Pilihanraya 2008, gelombang perubahan dirasakan lebih awal.
Malah, saya mengambil cuti tanpa gaji demi pulang ke tanah air ketika
tempoh berkempen dan mengundi, daripada tugasan di luar negara. Pakatan
pembangkang memenangi lima negeri dan membentuk Pakatan Rakyat yang
mengandungi PKR, PAS dan DAP. Seruan untuk perubahan mula menunjukkan
taringnya, raungan rakyat bergema daripada pelbagai latar belakang.
Tsunami politik berlaku.
Kejayaan menjatuhkan kedudukan selesa majoriti dua-pertiga parlimen
yang dipegang oleh parti pemerintah sedia ada bukan suatu kejayaan
mudah. Peristiwa ini memaksa kerajaan melancarkan pelbagai usaha
“transformasi” sebagai sebahagian usaha untuk mengekalkan pemerintahan.
Justeru, kita memasuki satu tahap kemajuan yang bakal menyaksikan
pelbagai perubahan dengan “kemungkinan tanpa sempadan”. Ya, memang kita
sedang membina lebih banyak lebuhraya dan landasan keretapi. Tetapi yang
masih kurang sebenarnya ialah transformasi politik, dan transformasi
nilai asas yang lebih halus, serta falsafah kita sebagai sebuah
masyarakat Malaysia.
Masa yang sama juga memberikan barisan pembangkang masa untuk menyusun
kembali dan mengatasi perbezaan antara mereka. Bekerjasama secara
produktif membentuk satu pakatan dengan pelan pembangunnya yang
menyeluruh unik, manifestonya yang menjaga kebajikan rakyat dan cadangan
bajetnya yang tersendiri. Buat pertama kalinya, rakyat Malaysia punya
alternatif untuk membandingkan secara kritis dokumen pembangunan dan
belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan.
Binaan ke arah reformasi era baru
Pasca Pilihanraya Umum ke 13 dalam langkah kita menuju ke masa hadapan
bersama-sama, kita bertanya sekali lagi, ke manakah arah tuju kita
selepas ini? Secara semulajadinya, kita terdorong juga kepada
bertanyakan, sama ada Anwar perlu membuka jalan kepada barisan pelapis
mengagumkan terdiri daripada personaliti yang muda dan lebih segar dalam
PKR dan Pakatan Rakyat, yang nyata sudah pun mempunyai kelompok
penyokong tegar mereka sendiri. Adakah jalan ke hadapan kini ialah
sebuah era baru pasca-Anwar Ibrahim, yang bergerak ke arah
penginstitusian dan pemerkasaan sistem politik di peringkat akar umbi?
Struktur yang lebih baik akan membenarkan pembangunan semulajadi
kelompok bakat dan kepimpinan, namun adakah struktur yang utuh sahaja
sudah mencukupi?
Sejarah membuktikan bahawa pemimpin yang hebat akan menjadi sumber
utama perpaduan yang dapat membawa kepada gelombang perubahan yang mampu
menggegarkan institusi atau sistem sedia ada. Hanya kepimpinan yang
disegani dan kukuhlah yang mungkin mampu mengubah undi orang Melayu
seperti yang berlaku pada tahun 1999, menafikan majoriti dua-pertiga
parlimen untuk kerajaan pada tahun 2008, dan merubah mandat 52% kepada
PR pada 2013.
Anwar Ibrahim juga pada hari ini ialah seorang personaliti yang
berbeza. Daripada seorang pemimpin mahasiswa muda popular, kepada
pemimpin Islamik berkarisma yang disanjung tinggi, seterusnya mendaki
tangga politik sehingga jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
beliau turut pernah dipenjarakan, dipukul dan dihina. Luka Anwar tidak
mungkin hanya terhad kepada tubuh fizikal. Kebijaksanaan dan kematangan
beliau hari ini tidak mungkin hadir tanpa darah, peluh dan air mata.
Dua pilihan raya umum berlaku selepas pembebasannya dan Anwar masih
memegang janjinya. Beliau melangkah ke tepi untuk memberi kepada
perkembangan politik PKR. Tetapi hanya ada satu cara untuk menuntut
semula reformasi sehingga menjadi realiti; iaitu dengan beliau menaiki
tangga jawatan presiden parti PKR itu sendiri, untuk membawakan
perubahan yang beliau sendiri nyalakan dan marakkan untuk negara ini 15
tahun lepas. Masanya telah tiba untuk beliau sekali lagi berdiri berani
berhadapan dengan cabaran, memastikan dipilih secara demokratik dan
bangkit semula dengan gah sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Penyatuan dan pembaharuan ini adalah harapan Rakyat Malaysia, untuk
beliau melaksanakan visinya untuk Malaysia, terutama buat khalayak muda
dan pelapisnya.
Anwar Ibrahim ialah pencetus reformasi. Kini, beliau perlu
menghembuskan nafas baru kepada reformasi kita. Reformasi milik rakyat. –
20 September, 2013.
*Anas Alam Faizli ialah seorang profesional industri minyak dan gas,
sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama
Blindspot, Bantah TPPA dan tweet di @aafaizli.
Senarai Blog...Geng
-
Peminat bola sepak ‘terpukau’ polis ‘cun’ ronda stadium - KOSMO!PEMINAT bola sepak 'terpukau' dengan kecantikan Pinzon. - Foto Jam PressBOGOTA – Peminat bola sepak seperti ‘terpukau’ apabila seorang anggota polis...9 minit yang lalu
-
-
Pahang Mencatatkan L:ima Kematian Akibat Wabak Denggi, Kedua Tertinggi Dalam Negara Tahun Ini - *KUANTAN: *Pahang mencatatkan lima kematian akibat wabak demam denggi sepanjang tahun ini berbanding tahun lalu yang merekodkan satu kematian. Exco Kerja...4 jam yang lalu
-
SAMAN FITNAH HABIBUL RAHMAN TERHADAP SYED SADDIQ SELESAI DENGAN DAMAI - Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah berlangsung penyelesaian damai dalam kes saman fitnah oleh Habibul Rahman Abdul Kadir (bekas penasihat PM6...8 jam yang lalu
-
Teladani Dr Na'im yang humble.. - *Dr Na'im menyangkutkan beg kepadamurid Sek Kebangsaan Telkong.* MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), *Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar *buka...2 hari yang lalu
-
The Ahmadi Bertentangan Dengan Syariat Islam - Mohd Na’im - KUALA LUMPUR: Ajaran sesat menggunakan nama Ahmad – Agama Keamanan dan Cahaya dipercayai menjalankan operasi mereka di luar negara. Menteri di Jabatan P...6 bulan yang lalu
-
-
TV Islam : AKHIR ZAMAN, BENCANA, PEPERANGAN, AL MAHDI - #SayangIslamSebarkanKebenaranIslam #BilaFahamIslamItulahKemenanganIslam Video pilihan untuk sebar kebaikan Islam....semoga akan ramai yang faham Islam ya...2 tahun yang lalu
-
Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri... - Nak beli domain mudah dan servis terbaik.... * https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778 * klik banner yang kami beri ini... *Testimoni klik s...2 tahun yang lalu
-
Pengkhianat Mandat Rakyat PRU14 yang ke 2 - Jahat orang ini anak didik mahadir orang ini terlibat dengan pengkhianat MANDAT RAKYAT PADA PRU14 lepas.... Ingat!!! jika orang ini bertanding lagi pa...3 tahun yang lalu
-
Midea 9.5KG Top Load Fully Auto Washing Machine MFW-EC950 / MFWEC950 - *Berminat nak oder KLIK SINI*3 tahun yang lalu
-
Anwar Ibrahim sudah terima suntikan vaksin - PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di klinik kesihatan Kuala Lumpur pagi t...3 tahun yang lalu
-
-
Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia - *WaLlahu 'Alam* *KHALID SAMAD* www.khalidsamad.com4 tahun yang lalu
-
Senarai kerusi berdasarkan parti hasil persetujuan Pakatan Harapan - Kerusi parlimen yg akan ditandingi PPBM 1. Arau 2. Pdg Besar 3. Langkawi 4. Jerlun 5. Kbg Pasu 6. Jerai 7. Pendang 8. Baling 9. Pasir Puteh 10. Bachok 11. J...6 tahun yang lalu
Categories
1MDB
Agama
AHLI PAS
AirAsia
Ajaran Sesat
Amanah
Anwar
arak mas
Bantah GST
Bantah GST 1 mei
BantahObama
BebaskanAnwar
Berita Dunia
Berita Hot!!
BERITA PAGI
Berita Semasa
Berita sukan
BERSIH
BERSIH 4.0
CELAKA
CERAMAH
Dakwah..
DAP
Datuk Husam Musa
DEKLARASI RAKYAT
Dunia Islam
Fitnah
Fitnah 2
FITNAH UMNO
G18
GST
Harapan Baru
himpunan
Hudud
Iklan
iNFO PAGI
IS
Isu Semasa
Kajian
keadilan
Kedah
Kelantan
kerajaan
Kerajaan Haram
Khalid Samad
Live
Luar Negara
Malaysiaku
MAT SABU
MB Selangor
MH17
MH370
MINYAK NAIK..
NGO ISLAM
Nik Omar
Pakatan Harapan
Parlimen
PAS
PAS TERENGGANU
PASMA
Pemimpin umno curi duit rakyat
PH
PKR
PR
PR 2.0
PRK
PRK Bukit Gelugor
PRK Kajang
PRK Pengkalan Kubur
PRK Teluk Intan
pru14
Rafizi Ramli
Rakyat
Rasuah
Reformasi 2
Sahabat Anwar
Salahuddin Ayub
SAMM
Sebarkan
Selangorku
SPR
SPR Tipu
Terengganu
TGHH
TGNA
Tokoh
TPPA
Ulama
Ustaz Azhar Idrus
Popular Posts
-
Ahli Jawatankuasa Gabungan Janji, Hishamuddin Rais ...
-
Mat Zain: Isu di Lahad Datu tak ubah seperti kes Sauk Seorang bekas pegawai tinggi polis berkata rakyat sepatutnya menuntut agar k...
-
Kesemua 13 ketua cabang PKR seluruh P.Pinang merayu Nurul Izzah supaya menarik balik keputusan beliau untuk meletak jawatan seba...
-
Mat Sabu: Malaysia & Myanmar The Most Undemocratic In Southeast Asia Iklan Penaja Jawapan Kepada Puak-Puak Umno Yang Kurang Did...
Jumaat, September 20, 2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Agenda reformasi perlu diperjelas sehingga pencapaian reformasi di Malaysia menjadi jelas dan nyata di hadapan rakyat Malaysia, kunjungan juga ya ke blog saya www.goocap.com
BalasPadam