Selasa, September 24, 2013

Peruntukan tambahan RM14b, BN dijangka gagal capai defisit 4 peratus - Nurul Izzah Anwar.


KUALA LUMPUR 24 SEPTEMBER: Kerajaan BN dijangka gagal mencapai sasaran defisit empat peratus, seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2013 jika terus memohon peruntukan tambahan, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Semalam, sidang Parlimen menyaksikan kerajaan memohon usul Perbekalan Tambahan sebanyak RM14 bilion pertama tahun ini.

Naib Presiden KEADILAN itu berkata, pihaknya mengandaikan tiada perubahan ke atas ramalan pendapatan, nisbah belanjawan ke Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak kepada 5.5 peratus.

“Nisbah ini menunjukkan Kerajaan BN gagal mencapai sasaran empat peratus seperti yang diumumkan mereka ketika pembentangan Belanjawan 2013,” katanya dipetik pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau mempertahankan belanjawan alternatif yang bakal diumumkan Pakatan Rakyat mampu untuk memperkukuhkan ekonomi negara daripada kejutan ekonomi dunia.

Beliau berkata, pendekatan reformasi fiskal mampan yang digunakan Pakatan juga mampu memperbaiki profil kewangan negara yang diukur oleh agensi-agensi penilaian kredit antarabangsa.

Menurutnya, pembentangan Bajet 2014 kerajaan yang berselindung di sebalik unjuran ekonomi yang sentiasa tersasar sehingga memerlukan pembentangan usul perbekalan tambahan setiap tahun akan memberi kesan negatif kepada “kesihatan” perbendaharaan awam Malaysia dan kedudukan fiskal.

“Pakatan prihatin terhadap pembentangan Usul Perbekalan Tambahan ke atas perbelanjaan operasi bernilai RM15.014 bilion yang terdiri daripada RM14.13 bilion untuk “perbelanjaan bekalan. Dan RM888.46 juta untuk perbelanjaan tanggungan.

“Usul Perbekalan Tambahan ini memberikan tamparan hebat kepada ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ia akan memberi kesan negatif kepada perbendaharaan awam serta pemantapan kedudukan fiskal,” kata Nurul Izzah.

Keadilandaily

0 comments:

Catat Komen

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...

Senarai Blog...Geng