Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Selasa, September 25, 2018

Peluang besar buat Anwar di Port Dickson

Peluang besar buat Anwar di Port Dickson
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Pakatan Harapan (PH) sudah pun menamakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Barisan Nasional (BN) pula mengesahkan ia tidak akan bertanding merebut kerusi itu, yang nampaknya akan memberikan laluan mudah kepada Anwar.
Namun, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan sebuah badan bukan kerajaan menyatakan hasrat untuk turut bertanding pada PRK itu, yang akan diadakan 13 Oktober ini.Sebenarnya, ramai yang mahu menyaksikan pertarungan tradisi satu lawan satu antara PKR dan BN bagi merebut kerusi Parlimen itu.
Dan, keputusan tentang siapa yang sebenarnya bertanding bakal diketahui pada penamaan calon PRK itu Sabtu ini.
PRK itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Peluang bertanding
Pada 5 Ogos lalu, Anwar, 71, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR pada hari penamaan calon sempena pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR 2018, bagi menggantikan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang telah memegang jawatan itu sejak parti tersebut diasaskan pada 1999.
Selepas kemenangan PH pada PRU14, Anwar menegaskan beliau tidak akan tergesa-gesa menjadi perdana menteri kelapan sebaliknya langkah bertanding di Port Dickson adalah bagi membolehkannya kembali bersuara di Parlimen.
Rakan-rakan sekutu PKR dalam PH – DAP, Bersatu dan Amanah – turut memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk bertanding kerusi Parlimen itu bagi memastikan kemenangan PH serta merealisasikan peralihan jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar nanti.
Penganalisis politik berpendapat kerusi Parlimen Port Dickson perlu menyaksikan pertandingan berbanding menang tanpa bertanding, walaupun ramai yang berpendapat Anwar mempunyai peluang besar untuk memenangi kerusi itu.
Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata dalam sistem demokrasi, pertandingan perlu diadakan bagi membolehkan rakyat memberi sokongan dan memilih calon pilihan mereka.
“Walaupun peluang untuk pembangkang menang nampaknya tipis berikutan ada yang mencadangkan supaya pembangkang tidak bertanding pada PRK itu tetapi mengikut sistem demokrasi, pertandingan perlu diadakan,” katanya.
Berdasarkan komposisi kaum di Parlimen Port Dickson, beliau berkata ia sememanya memberi banyak kelebihan kepada Anwar.
Daripada 75,000 pengundi di kawasan itu, katanya, tidak ada satu kaum pun yang peratusannya melebihi 50 peratus.
“Pengundi Melayu adalah 43 peratus , 33 peratus (Cina) , 22 peratus (India) dan lain-lain pula hanya dua peratus.
“Komposisi ini akan memberi kelebihan kepada Anwar dan menjadikan Port Dickson kerusi yang ‘selamat’ buat beliau,” katanya yang yakin bahawa perkara itu pasti diambil kira pembangkang khususnya BN sebelum membuat keputusan tentang meletakkan calonnya.
Raih sokongan rakyat
Anuar Shah berkata PRK itu juga bakal menjadi petunjuk sama ada sokongan rakyat masih utuh kepada PH walaupun kerajaan masih belum menyelesaikan banyak janji dan isu berbangkit selepas memenangi PRU14.
Menurutnya Anwar mahu pun PH tidak boleh memandang mudah pertarungan dalam PRK Port Dickson kerana berdasarkan keputusan PRK Seri Setia baru- baru ini, terdapat penurunan dari segi sokongan orang Melayu terhadap PH.
Dalam PRK itu, undi yang diperoleh PH menurun sebanyak 8 peratus iaitu 58.6 peratus berbanding 66.6 peratus semasa PRU14.
“Kalau kita lihat keputusan PRU14, PAS tidak menang satu pun Pusat Daerah Mengundi (PDM) tetapi pada PRK Seri Setia baru-baru ini, PAS menang di 3 PDM… ini menunjukkan undi Melayu meningkat kepada PAS dan UMNO sebanyak 8.5 peratus,” jelasnya.
Pada masa sama, katanya, Anwar boleh mengunakan PRK Port Dickson itu sebagai medan untuk kembali mendekati dan menyentuh sanubari rakyat.
Isu-isu tempatan yang sebelum ini mendominasi topik perbualan dan ceramah pada mana-mana PRK mungkin kurang diperkatakan pada PRK Port Dickson, sebaliknya isu nasional terutamanya mengenai Anwar sebagai bakal perdana menteri dijangka mendapat perhatian ramai.
“Itulah kempen yang akan berkisar dalam PRU Port Dickson nanti dengan tujuan Anwar bertanding dalam PRK itu bukanlah kerana mahu berada di Parlimen sahaja sebaliknya ia menjadi persiapan baginya untuk menjadi perdana menteri kelapan negara,” kata Anuar Shah.
Lancarkan peralihan kuasa
Sekiranya Anwar memenangi kerusi Parlimen itu, beliau berkata Negeri Sembilan dan Port Dickson khususnya bakal mencipta sejarah kerana kelak akan mempunyai perdana menteri yang mewakili negeri dan kawasan itu.
Dan, kemenangan itu boleh memastikan kestabilan pemerintahan kerajaan PH selain menjamin kelancaran pelaksanaan peralihan kuasa.
“Jika tiada krisis kepimpinan, peralihan kuasa boleh dilakukan dengan lancar,” kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Beliau berkata Anwar perlu melalui beberapa proses yang dapat menjaminnya untuk mengisi jawatan tertinggi kerajaan itu.
“Anwar sudahpun dipilih menjadi Presiden PKR, proses seterusnya ialah menjadi Ahli Parlimen. Oleh itu, beliau harus berjaya pada PRK Port Dickson.
“Dan, Anwar juga perlulah menjadi backbencher terlebih dahulu dalam proses menjiwai perjalanan kerajaan semasa dan inspirasi rakyat bagi membolehkannya mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan nanti,” katanya.
Mohd Azizuddin turut melihat PRK Port Dickson sebagai medan bagi Anwar untuk menguji sama ada beliau mampu meraih majoriti besar undi pelbagai kaum terutamanya Melayu di kawasan itu.
“Ini juga akan menjadi petunjuk kepada kredibiliti Anwar sebagai bakal perdana menteri kelapan untuk memimpin Malaysia.
”Walaupun yang keluar mengundi dijangka berkurangan pada PRK itu, Anwar perlu memastikan margin majoriti undi yang besar bagi PH,” katanya.
mdl

Picture

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...