"Terdapat beberapa momen penting dalam penggal akan datang, bukan persoalan tiga tahun (satu penggal) apa boleh kita buat. Momen penting itu adalah pilihan raya umum ke-13 akan datang dan kita sedang menuju ke Putrajaya.
"Justeru itu, anak muda harus diberikan peranan penting dalam pembangunan negara. Kita tuntut dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai pelapis dan rakan kongsi," kata Shamsul, seorang pengamal undang-udang di Kuala Lumpur.
Badrul berkata, beliau mahu memastikan AMK bersedia menghadapi kemungkinan paling serius yang mana Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin kembali merengkok dalam penjara.
Menurut Badrul, di tahun-tahun mendatang, negara juga bakal berdepan dengan kesan kejatuhan ekonomi global dan krisis perkauman yang didakwa semakin melebar.
"(Bila) kita lihat AMK, pada hakikatnya, semua orang tak boleh menafikan, kita sedang pada satu tahap boleh masuk zon merah sekarang ini," kata Badrul, bekas guru yang lebih popular dengan panggilan Chegubard.
Dalam perebutan jawatan nombor satu dalam AMK, keputusan terkini menunjukkan Shamsul di depan dengan 3,981 undi meninggalkan Badrul dengan 3,273 undi.
Ini bermakna, walaupun persaingan mereka amat sengit pada minggu pertama dan kedua pemilihan, Shamsul mula menjarakkan kedudukan dengan majoriti 708 undi berbanding hanya seratus undi sebelum ini.
Bagi bagi jawatan timbalan ketua pula, regu Shamsul - Khairul Anuar Ahmad Zainuddin - meninggalkan gandingan Badrul - Chang Lih Kang.
Khairul - kini merupakan ketua AMK Selangor - mendapat 3,908 manakala Chang - ADUN Teja - mendapat 3,054 undi.
Malaysiakini mewawancara Shamsul dan Badrul secara berasingan di Bangsar baru-baru ini.
Berikut sedutan intipati pendapat dan penjelasan kedua-dua calon berhubung perlbagai isu berkaitan sayap kanan PKR itu:
Peluang masing-masing
Shamsul: Peluangnya agak tinggi kerana saya sudah pergi hampir ke seluruh negeri. Dan sokongan, keinginan dan harapan anggota AMK, mereka minta dipimpin (oleh saya) satu penggal lagi. Dan perkara ini dizahirkan secara jelas dan berterus-terang.
Badrul: Setakat ini saya melihat peluang kita begitu cerah kerana anggota di bawah ini memilih bukan berdasarkan sentimen semata-mata tetapi berdasarkan masa depan amk itu sendiri. Cuma yang menjadi kekuatiran saya persoalan jaringan maklumat (untuk turun ke bawah), manipulasi yang ada.
Kegagalan kompromi
Shamsul: Tak ada ruang untuk kita kompromi di peringkat awal. (Jadi) Saya buat keputusan serah pada akar umbi, biar pencalonan jalan dahulu sebelum buat keputusan.
Badrul: Ketika dia (Shamsul) nak membuat pengumumam bertanding naib presiden (sebelumnya), dia jumpa dengan saya dan minta untuk dia disokong. Saya dengan jelas isyarat saya untuk menyatakan sokongan kepada Shamsul sebagai naib presiden.
Langkah pertama sekiranya menang
Shamsul: Saya mahu betulkan persespsi yang dihadapi AMK dalam penggal ini bahawa kita sudah bersedia jadi rakan kongsi negara ini. Ia harus bermula dengan pasukan yang mantap. Saudara lihat apa saya gagaskan, merangkumi kepimpinan daripada pelbagai latar, aktivis pekerja, demonstran, swasta. Ia gambaran kompleksiti majmuk hasrat anak muda.
Badrul: Pertama sekali, selepas kemenangan, saya akui, selepas pemilihan ini ada banyak calar-balar dan sebagainya. Sudah tentu tumpuan saya selepas ini. Seperti mana kenyataan media saya awal ketika mahu bertanding, saya mahu memastikan biduk lalu kiambang bertaut. Kita akan gabung, kita akan garap semua tenaga untuk menguatkan AMK.
Tentang pesaing masing-masing
Shamsul: Daripada ramai orang (dalam AMK) takkan seorang saja, iaitu Badrul Hisham (sebagai calon pengganti)? Perkara itu tidak berlaku kerana kita tidak pernah merancang untuk diasaskan pelan peralihan.
Badrul: Pertama sekali, banyak yang provok saya untuk mengatakan Shamsul Iskandar gagal, Shamsul Iskandar tidak bersungguh-sungguh. Bagi saya tak adil. Berdasarkan latar sejarah itu, latar masa, sumber dan sebagainya, ternyata Shamsul Iskandar telah melakukan yang dia termampu.
Malaysiakini
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...