Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, Disember 07, 2018

TH perlu tubuh pasukan audit bebas ke atas operasi pengendalian Haji, kata Rafizi

TH perlu tubuh pasukan audit bebas ke atas operasi pengendalian Haji, kata Rafizi

Lembaga Tabung Haji (TH) perlu menubuhkan satu pasukan bebas untuk menjalankan audit menyeluruh ke atas operasi pengendalian haji untuk memastikan tidak ada unsur rasuah, penyelewengan, komisen dan sebagainya.
Bekas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli juga berkata, Kerajaan harus memberikan fokus berkaitan isu memperbaiki kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) tanpa memberi kesan yang mendalam kepada pendeposit terutamanya kepada golongan miskin.
“Ini bagi memastikan kos haji yang dikenakan ke atas setiap jemaah haji adalah kos yang benar; bukan termasuk unsur-unsur keuntungan yang tidak patut dan diwarisi dari pengurusan dahulu.
“Audit operasi yang bebas ini bolehlah dijalankan sebagai sebahagian dari proses penstrukturan semula Tabung Haji, seperti yang hendak diumumkan dalam masa terdekat.
“Jika proses penstrukturan itu hanya melibatkan penstrukturan korporat (melalui satu SPV, seperti yang dilaporkan) tetapi tidak mengaudit keseluruhan struktur kos pengendalian haji, saya bimbang kepentingan jemaah haji dan pendeposit akan terabai,” ujarnya dalam kenyataan di laman rasminya hari ini.
Beliau turut berkata, terdapat beberapa kesan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh pendeposit
“Secara undang-undang, Tabung Haji tidak boleh mengisytiharkan dividen. Kesannya besar – yang kurang kaya dan menabung, mereka menunggu lebih lama untuk mencukupkan simpanan untuk ke Mekah, kerana tiada lagi keuntungan atas simpanan mereka. Kesan yang lebih besar ialah apabila penabung yang kaya mengeluarkan simpanan mereka kerana mereka tidak mendapat keuntungan dari menabung di Tabung Haji. Ini akan menyebabkan kedudukan kewangan Tabung Haji makin parah, tidak ubah seperti “ibarat sudah jatuh ditimpa tangga”.
“Tabung Haji terpaksa mencatatkan keuntungan dari operasi yang lebih tinggi untuk menutup penyelewengan di masa lalu. Ada dua cara meningkatkan keuntungan – sama ada memotong kos operasi atau menaikkan harga pakej haji,” ujarnya dalam kenyataan di laman rasminya hari ini.
Menurut Rafizi lagi, beliau bimbang jika pengurusan Tabung Haji mengambil langkah menaikkan harga pakej haji (sama ada dengan memotong subsidi yang diberikan selama ini, atau betul-betul menaikkan harga pakej).
“Saya faham keadaan kewangan Tabung Haji sekarang dan perkara yang paling mudah ialah menaikkan harga pakej (atau memotong subsidi haji) kerana kerosakan di Tabung Haji adalah disebabkan pentadbiran yang dulu.
“Namun, saya suka mengingatkan pengurusan Tabung Haji dan kerajaan Pakatan Harapan bahawa tindakan yang bertanggungjawab mestilah melibatkan penelitian ke atas setiap kos yang terbabit di dalam pengendalian operasi haji.
“Apakah tiket penerbangan benar-benar harga yang terbaik? Apakah kos penginapan di Mekah telah dirunding dengan terbaik? dan Apakah semua kos lain yang ditanggung dan dikenakan ke atas jemaah haji memberi nilai terbaik?,” soalnya.
Rafizi juga berkata bagi setiap RM1 hutang yang ditanggung Tabung Haji, nilai aset yang ada (dan boleh dilupuskan, jika perlu) untuk membayar hutang-hutang itu hanyalah 80 sen. Maksudnya, Tabung Haji tidak berkemampuan untuk membayar hutang-hutangnya sekarang.
“Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Saya telah turun naik mahkamah, masuk lokap menyatakan perkara ini. Ramalan dan unjuran kewangan yang saya pernah terbitkan, ternyata tepat,” ujarnya yang bertanggungjawab mendedahkan penyelewengan berlaku dalam dana pendeposit TH.
Beliau merujuk kepada laporan sebuah portal The Edge Market yang melaporkan Kedudukan kewangan Tabung Haji yang semakin parah.

Picture

1 ulasan:

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...