KUALA LUMPUR - Pengerusi Harapan Baru (HB), Mohamad Sabu hari ini mengumumkan Parti Amanah Negara (Amanah) digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.
Bekas timbalan presiden Pas yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu
berkata, HB telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula sebuah
parti politik sedia ada iaitu Parti Pekerja-pekerja Malaysia sebagai
Amanah, dan butirannya akan diserah kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS)
secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.
"Kami telah memutuskan untuk muncul melalui sebuah parti politik
golongan pekerja...apa pun pindaan nama serta perlembagaan parti akan
kita kemukakan kepada RoS dan kemudian akan dilancarkan pada 16
September 2015.
"Dengan permulaan ini, ia sekali gus menampilkan sebuah lagi parti
politik Islam di tanah air," katanya dalam sidang media di sini.
HB merupakan platform bagi golongan profesional Pas yang dikatakan
kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun
lepas.
Mat Sabu berkata, kesemua keanggotaan mereka dalam Pas secara rasminya
gugur sejurus HB mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia.
Sebelum ini, gerakan itu berhajat untuk menggunakan nama Parti
Progresif Islam (PPI), sebagai nama rasmi parti politiknya, namun RoS
menolak permohonan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga
Menteri Dalam Negeri, sebelum ini dilaporkan berkata bahawa permohonan
itu ditolak kerana Islam adalah hak untuk semua orang yang beragama
Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik boleh menyebabkan
kekeliruan.
Pada sidang media sama, Mat Sabu turut mengumumkan jawatankuasa Amanah,
yang diketuai beliau sebagai pengerusinya, Ahmad Awang sebagai
penasihat umum, bekas naib presiden Pas, Salahudin Ayub sebagai timbalan
pengerusi, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
sebagai naib pengerusi, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Ahmad sebagai
ketua wanita, dan Mohd Sany Hamzan sebagai ketua pemuda.
Selain itu, turut dilantik dalam jawatankuasa itu ialah Mohd Anuar Mohd Tahir sebagai setiausaha agung, Asmuwi Ani sebagai bendahari agung dan bekas ketua pemuda Pas, Suhaizan Kaiat sebagai setiausaha organisasi.
Selain itu, turut dilantik dalam jawatankuasa itu ialah Mohd Anuar Mohd Tahir sebagai setiausaha agung, Asmuwi Ani sebagai bendahari agung dan bekas ketua pemuda Pas, Suhaizan Kaiat sebagai setiausaha organisasi.
Sementara itu, antara bekas pemimpin Pas yang tersenarai sebagai
anggota jawatankuasa Amanah ialah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd
Hatta Md Ramli; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli
Parlimen Sepang, Mohd Hanifa Maidin, bekas Menteri Besar Perak, Datuk
Seri Mohd Nizar Jamaludin, dan Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Kedah, Datuk
Phahrolrazi Mohd Zawawi.
Mat Sabu berkata, pihaknya menjangkakan seramai 35,000 anggota akan
didaftarkan menjelang pelancaran rasmi parti itu pada September depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menunggu kelulusan RoS
sebelum mula membincangkan dengan DAP dan PKR tentang penubuhan Pakatan
Rakyat 2.0.
Selain itu, mereka juga akan melihat perkembangan terkini mengenai
situasi di Sarawak sebelum memutuskan untuk bertanding atau tidak dalam
pilihan raya negeri yang dijangka dalam masa terdekat.
sh


