SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk menilai sebaik-baiknya sebelum membuat sebarang keputusan melepaskan pegangan dalam MAS selepas mengalami kerugian besar dan tragedi MH370.
Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, tragedi MH370 adalah sesuatu yang di luar jangkaan.
"Tragedi ini bukanlah sesuatu yang kita boleh kawal dan saya rasa tidak adil bagi kerajaan untuk melepaskan pegangan dalam MAS namun, sekiranya keputusan tersebut diambil, kerajaan dilihat seolah-olah lepas tangan dalam menyelesaikan kemelut ini.
"MAS membawa nama Malaysia dan menjadi kebanggaan negara, dan sekiranya ada pihak yang berminat untuk membeli syarikat penerbangan itu, sudah pasti mereka melihat masih ada keuntungan yang dapat dijana," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menyingkirkan syarikat itu kerana ia adalah hak milik rakyat dan masih mempunyai nilai kepentingan kepada negara.
sh



