Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa hari ini, pelbagai dakwaan yang sering dilemparkan kepada golongan progresif parti itu sebenarnya bagi membolehkan mereka yang berhajat mendapat kedudukan yang diidamkan.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, golongan yang berjaya memenangi pemilihan PAS kali ini, pada hakikatnya mahu berbaik semula dengan DAP.
"Sekarang saya dapat melihat; menggunakan, melabel, menuduh orang itu alat itu, suruhan itu ini, Anwarinas, agen DAP, hanyalah alat untuk mencapai kedudukan.
"(Apabila) sudah mendapat kedudukan, (mereka) cuba cari jalan berbaik semula dengan DAP. Orang yang bersama membina Pakatan Rakyat (PR) dari awal dinyahkan," katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.
Mat Sabu berkata, mereka yang cuba merampas kepimpinan parti kali ini menonjolkan idea baru dan cuba mendedahkan kelemahan serta prestasi penyandang jawatan pada sesi yang lalu.


