ANTARA pilihan Datin Seri Wan Azizah, Azmin Ali, calon
Pas, calon Umno, lain-lain dan “tidak pasti”, Merdeka Centre mendapati
75 peratus (%) daripada jumlah 808 pengundi Selangor tidak memilih Wan
Azizah sebagai pengganti kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Berikut ialah keputusan kajian Merdeka Centre:
Wan Azizah – 25%
Azmin Ali – 6%
Calon Pas – 12%
Calon Umno – 15%
Lain-lain – 5%
Tidak pasti – 32%
Tidak mahu menjawab – 5%
Meskipun Wan Azizah mendapat angka tertinggi antara pilihan yang
diberikan iaitu 25%, hakikatnya lebih ramai rakyat Selangor mahukan
orang lain yang menggantikan Abdul Khalid, dan bukannya Wan Azizah.
Statistik yang paling menggerunkan ialah 32% yang menjawab “tidak
pasti” melebihi angka yang diperolehi Wan Azizah. Barangkali mereka yang
tergolong dalam kategori ini ingin menyebut bahawa mereka lebih suka
Abdul Khalid dikekalkan, akan tetapi, nama Abdul Khalid tidak ada
sebagai satu pilihan di dalam kajian ini.
Selain daripada 32% peratus yang “tidak pasti”, Wan Azizah juga
berdepan dengan 38% rakyat Selangor yang lain yang inginkan orang lain
menggantikan Abdul Khalid.
Di dalam 38% tersebut, yang mengejutkan Pakatan Rakyat ialah 15%
memilih calon Umno, 12% memilih calon Pas, 6% memilih Azmin dan 5%
lain-lain. Sehingga hari ini, PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap
bertegas bahawa calon pengganti Abdul Khalid hanya seorang iaitu isteri
beliau Wan Azizah. Melihat pada keputusan kajian Merdeka Centre, rakyat
perlu bertanya apakah itu satu tindakan yang adil?