HULU SELANGOR, 16 OGOS: Kerajaan Negeri terus komited membina lebih
banyak rumah mampu milik pada masa hadapan untuk memenuhi keperluan
rakyat Selangor.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar
Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan 40,000 rumah
mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang melalui program Rumah
Selangorku.
Katanya, komitmen itu selaras dengan keperluan mendesak rakyat untuk memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan.
“Kita akan mulakan projek rumah mampu milik sendiri pada Oktober
tahun ini di Sungai Sering yang diuruskan Lembaga Perumahan dan Hartanah
Selangor (LPHS) menggunakan rizab negeri RM100 juta.
“Usaha
ini akan kita perluaskan lagi bagi membolehkan rakyat menikmati hasil
ekonomi Selangor,” katanya di hadapan lebih 100 hadirin pada Majlis
Cabutan Undi Rumah Selangorku Idaman Antara Gapi yang dibangunkan
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, hari ini.
Antara Gapi adalah projek mampu milik ketiga dibangunkan PKNS selepas Bukit Botak, Selayang dan Bandar Baru Bangi.
Projek yang dijangka siap pada penghujung Disember ini menyediakan
129 unit kediaman rumah teres 1 1/2 tingkat pada harga bermula RM180,000
seunit mengikut keluasan tapak.
Pada
perkembangan lain, PKNS akan membangunkan 198 unit ‘town house’ di Kota
Puteri selain 5,000 kediaman mampu milik yang dijangka siap sepenuhnya
dalam jangka masa lima tahun lagi.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dengan LPHS dan melepasi
saringan dengan syarat ditetapkan sebelum nama mereka dimajukan kepada
PKNS.
Antara syarat permohonan, pendapatan bulanan tidak melebihi RM8,000
sebulan, tidak memiliki sebarang jenis kediaman lain di Selangor dan
tujuan pembelian untuk mendiami bukan disewakan.
sk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...