SHAH ALAM, 25 OGOS : Tawaran Kerajaan Selangor terhadap syarikat
konsesi bukan untuk memberi pampasan keuntungan kepada pemegang saham,
sebaliknya ia berdasarkan pulangan tahunan modal ekuiti yang dilabur
pada nilai 12 peratus.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tawaran
berkenaan juga turut menolak apa-apa dividen yang telah dibayar
sebelumnya dan disifatkan sebagai munasabah kerana kadar piawaian adalah
lebih kurang lapan peratus.
Katanya
dengan mengguna pakai formula pampasan itu, kerajaan Selangor berjaya
menjimatkan duit negeri sebanyak RM3 bilion dengan nilai pengambil
alihan adalah RM9.65 bilion.
“Jika mengikut logik sesetengah parti yang menyatakan bahawa saya
telah memberi pampasan keuntungan, maka jumlah pengambil alihan akan
mencecah sehingga RM13 bilion.
“Tiada apa-apa kos perbelanjaan oleh Kerajaan Negeri dalam mengambil
alih syarikat konsesi air kerana kos pengambil alih sudah dibiayai
sepenuhnya melalui RM2 bilion oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan
RM7.65 bilion melalui pengambil alihan liabiliti syarikat konsesi air
kepada PAAB.
“Nilai RM7.65 bilion akan diselesaikan melalui pemindahan aset-aset
syarikat konsesi air kepada PAAB,” katanya pada Majlis Perhimpunan
Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata dakwaan pihak tertentu bahawa
Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani tidak menjamin
Kerajaan Selangor dapat mengawal pengstrukturan semula industri air juga
adalah tidak tepat.
Beliau berkata di bawah Mou itu, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)
akan mengambil alih semua kepentingan syarikat konsesi air dan kerajaan
pusat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) akan mengisukan
lesen air yang sewajarnya kepada KDEB.
“Suatu jawatankuasa yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHa), Menteri Besar Selangor dan
wakil kerajaan pusat, kerajaan Selangor, PAAB dan KDEB akan ditubuhkan
untuk menyelia serta memantau pelaksanaan Langat 2.
“Apabila Langat 2 telah diselesaikan, KDEB akan mengendali Langat 2,” katanya lagi.
sk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...