ALOR SETAR - Amanah Kedah mendakwa terdapat ramai individu yang dikategorikan sebagai ‘harum manis’ dalam Pas, yang hanya menunggu masa untuk ‘gugur’ atau keluar dari parti itu pada bila-bila masa.
Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kumpulan itu dilabel sedemikian kerana secara luaran mereka adalah ahli Pas, namun dalaman cenderung kepada Amanah.
“Ibarat buah mempelam harum manis, kulit luarnya hijau, isinya oren. Inilah istilah tepat yang ditujukan kepada kumpulan ini. Walaupun masih bergelar ahli Pas, mereka secara senyap menyokong Amanah dan belum bersedia tinggalkan Pas,” katanya.
Menurutnya, antara kekangan yang menghalang ahli Pas meninggalkan parti itu antaranya apabila kenyataan-kenyataan yang dibuat pimpinan tertinggi parti termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berunsurkan ugutan atau mengelirukan.
“Pas cuba menakut-nakutkan ahlinya dengan ancaman ‘kafir’ jika keluar parti, selain kenyataan yang menyebabkan ahlinya keliru atau terikat untuk berhijrah. Mereka yang bercadang untuk berhijrah, akhirnya terpaksa tunggu dan lihat bagi tempoh tertentu supaya suasana lebih harmoni,” katanya.
Ismail bagaimanapun tidak pasti jumlah sebenar golongan ‘harum manis’ ini, namun mengakui jumlahnya ramai dan wujud di setiap negeri.
“Kumpulan ini akan sertai Amanah dalam masa terdekat, tunggu masa sesuai. Malah sudah ada yang berani sertai program Amanah secara terang-terangan,” katanya.
Menurutnya, individu terbabit terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latarbelakang, termasuk pelbagai peringkat sama ada ahli biasa atau berjawatan dalam parti.
“Golongan muda antara yang paling ramai menunjukkan minat, kemungkinan wakil rakyat pun ada yang tunjuk kecenderungan. Saya juga ada dengar khabar angin terdapat wakil rakyat Pas dari Kedah juga antara ‘harum manis’,” katanya.
Namun beliau enggan mendedahkan senarai nama bayangan itu berikutan ianya belum sahih.
“Selagi belum sah, tak sesuai umum. Tunggu dan lihat sahaja, ini bukan cakap-cakap kosong,” katanya.
Ditanya sama ada wakil rakyat Pas itu akan menggerakkan strategi ‘lompat parti’ yang seringkali menjadi trend setiap kali menjelangnya PRU, Ismail menyifatkan perkara itu bukan mustahil.
“Perubahan yang berlaku di Kedah sangat positif bagi Amanah yang baharu wujud dua bulan lalu. Selain kenamaan atau wakil rakyat, sesiapa sahaja boleh mendekati Amanah,” katanya.
Ismail yakin sekiranya maklumat sebenar berkaitan parti baharu itu diuarkan, lebih ramai akan menyatakan sokongan khususnya golongan muda yang mahukan perubahan.
“Jika ada yang kata, ahli Pas masih setia dan ramai sokong berdasarkan Himpunan Fastaqim (H60K) di Kota Bharu, baru-baru ini, ia tidak sesuai dijadikan perbandingan. Ini kerana Amanah baharu bertapak dua bulan,” katanya.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...