Tiada siapa dapat melupakan laungan ‘Keadilan untuk Anwar’,
‘Reformasi’, ‘Mahathir letak jawatan’, ‘Selamatkan Malaysia’ yang
memenuhi ruang angkasa bumi Kuala Lumpur (di Masjid Negara, Dataran
Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman) pada 20 September 1998 - lebih dua
minggu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan
kerajaan dan Umno ketika itu, selaku timbalan perdana menteri, menteri
kewangan dan timbalan presiden Umno.
Malamnya, Anwar ditangkap dan dibawa keluar dari rumahnya secara paksa
apabila komando dan anggota polis merempuh masuk ke kediaman beliau di
Bukit Damansara. Semua itu kini menjadi sejarah yang tidak mungkin dapat
dipadam atau diolah semula.
Ketidakadilan, kezaliman dan kekejaman ke atas sosok Anwar, tidak
mungkin berlaku jika negara didasari dengan sistem kehakiman yang adil,
sistem kerajaan yang amanah dan telus serta media yang bebas. Sebaliknya
semua aparatus kerajaan dipergunakan bagai perkakas oleh pemerintah
durjana.
Pembohongan, fitnah, penipuan disogok kepada rakyat tanpa putus;
sehinggakan ke tahap yang langsung tidak boleh diterima oleh norma
masyarakat. Lebih malang, kezaliman itu turut meluas merangkumi mereka
yang dilihat tidak sehaluan dengan pemerintah atau dipaparkan sebagai
simpatisan kepada Anwar. Semua ini hanya berlaku apabila 'kejahatan'
mengatasi 'kebaikan'; hanya apabila 'kebaikan' berdiam diri membenarkan
melihat segala kebejatan ini berlaku.
Reformasi dilaung bukanlah untuk disorak ketika ceramah umum. Reformasi
dilaung bukanlah untuk mengajak rakyat turun ke jalan raya semata-mata.
Reformasi dilaung bukanlah hanya sebagai bukti perlawanan kepada
pemerintah. Lebih jauh, reformasi tidaklah dilaung sebagai pelaris untuk
mengaut untung dan berjualan.
Reformasi itu ada asasnya. Ada idea disebaliknya. Ada makna dan
ertinya. Reformasi itu bukan hanya di bibir atau dada kemeja-T; tetapi
reformasi itu harus terbit daripada kesedaran, pencerahan di dalam jiwa -
islah mas tata'tum - melakukan islah sedaya upaya kami.
15 tahun sejak penubuhan PKR; ramai pemimpin, aktivis dan pendokong
parti yang datang dan pergi. Acapkali kita melihat ramai 'wira' dan
'pahlawan gagah' melaungkan reformasi, tangkas berpencak, terlihat
seolah menggadaikan segalanya untu perjuangan, tetapi akhirnya kecundang
tewas dalam perjuangan ini.
Di satu ketika merekalah kelihatannya seperti panglima terbaik
menegakkan keadilan untuk Anwar, kini menjadi musuh nombor wahid bukan
hanya kepada Anwar tetapi juga perjuangan reformasi. Kitaran ini
bukanlah sesuatu yang asing, tetapi berulang - ulang.
Jika negara merdeka dengan lafaz Pemahsyuran Kemerdekaan; Reformasi
pula diisytihar dengan Deklarasi Permatang Pauh. Deklarasi ini dibacakan
pertama kalinya pada 12 September 1998 di Cherok To' Kun, Bukit
Mertajam. Deklarasi ini menjadi nyawa kepada jasad reformasi yang
meletus ketika itu. Perjuangan yang tidak didasari dengan asas pemikiran
dan gagasan yang jelas tidak akan kekal lama.
Maka dimaknai perjuangan menuntut reformasi ini dengan Deklarasi
Permatang Pauh. Inilah pegangan para pejuang reformasi sejak 16 tahun
lamanya. Mereka yang hanya menuturkan deklarasi ini di bibir, tetapi
tidak disemat ke dalam hati - akhirnya akan kecundang dalam perjuangan
ini.
Sejak 2008; kebangkitan rakyat hasil daripada perjuangan reformasi,
Anwar kembali dilihat sebagai satu ancaman kepada kestabilan kuasa
pemerintah. Sekali lagi 'pita' lama diulang. Satu lagi kes fitnah
melibatkan tuduhan yang serupa - liwat, dipintal dengan kitaran bukti
yang palsu, tanpa pembuktian kejadian yang kukuh, kredibiliti si penuduh
yang diragui dan institusi yang sepatutnya menegakkan keadilan dan
kedaulatan undang - undang sanggup dinodai dan dimanipulasi untuk
mencapai matlamat jahat mereka si durjana.
Demi memastikan ancaman ini dihapuskan, Anwar kini berkemungkinan
diletakkan semula di belakang jeriji besi, dipasung jasadnya dengan
harapan dapat mengekang gelombang tuntutan perubahan rakyat.
Hakikatnya tidak berlaku kezaliman ini jika sistem negara ini berubah.
Tidak mungkin kezaliman ini terlaksana jika wujudnya kedaulatan undang -
undang. Tidak mungkin kezaliman ini tercetus jika para hakimnya beriman
kepada akhirat.
Tidak mungkin kezaliman ini menjelma jika polis berintegriti dan
bersih. Tidak mungkin kezaliman ini terhasil jika pemerintahnya adil dan
amanah. Hakikatnya kezaliman ini berlaku kerana kita masih belum
berjaya melakukan islah sekuat daya upaya kita. Islah itu haruslah
dilaksanakan dengan menggembalikan semula asas negara ini menjadi negara
yang demokratik, menjunjung Perlembagaan dan mendaulatkan undang -
undang.
Iltizam keadilan untuk Anwar bukan hanya soal perjuangan peribadi
sosok. Intipatinya lebih besar daripada itu - ketidakadilan ini berlaku
kerana pincangnya sistem. Tiada alasan lain untuk semua rakyat yang
dahagakan keadilan; untuk tidak sama menuntut reformasi.
Sistem yang bobrok ini wajib digantikan. Perundangan wajib dibebaskan.
Media dibebaskan. Sistem demokrasi yang bebas dan adil dikembalikan.
Perlawanan ke atas rasuah wajib diperhebat dan urus tadbir ekonomi
negara wajib di atas prinsip ketelusan serta pengamalan tatakelola yang
baik.
Hampir dua dekad tuntutan reformasi berkumandang - pemerintah memilih
untuk menyadurkan saja kebobrokan dan kebejatan yang ada dengan saduran
kosmetik yang palsu. Iltizam untuk keadilan tidak wujud dalam sanubari
mereka (baca : pemerintah). Sudah tiba masanya rakyat bangkit menuntut
kembali hak mereka. Tuntut keadilan. Tuntut reformasi demi masa depan
anak kita.
Hayati bait sajak Rajawali karangan WS Rendra;
"...rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka."
25 April, 2014.
* Penulis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya.