Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menempelak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Pakatan Harapan ibarat bas ekspres yang tidak ada destinasi.
Tegas timbalan pengerusinya, Salahudin Ayub destinasi Pakatan Harapan adalah jelas iaitu untuk mengambil alih Putrajaya melalui barisan pembangkang.
“Matlamat AMANAH jelas, kami bersama-sama rakan kita dalam barisan pembangkang mahu mengambil alih Putrajaya melalui Pakatan Harapan,” tegas bekas naib presiden PAS itu ketika dihubungi Malaysiakini.
Salahuddin adalah salah seorang pemimpin progresif yang pernah ada dalam PAS sebelum mereka disingkirkan secara pukal dalam muktamar parti itu di Kuala Selangor pada Jun lalu.
Mereka kemudian menyertai Gerakan Harapan Baru sebelum menubuhkan AMANAH yang kini diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu mendakwa sebenarnya 'bas' yang dinaiki PAS kini semakin kabur dan tidak tahu ke mana hendak dituju.
“Mana ada bas ekspres dekat dunia ini bergerak tanpa ada destinasi. Semua ada destinasi.
“Cuma PAS sahaja pada hari ini kelihatan kabur mengenai destinasi dia dan rakyat melihat bas PAS tidak tahu ke mana hendak dituju,” kata Salahudin.
Cadangan DAP gurauan biasa
Abdul Hadi dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini dilapor sebagai berkata, Pakatan Harapan umpama bas ekspres yang tidak ada destinasi.
Abdul Hadi yang dipetik Berita Harian berkata, PAS akan terus menjadi pembangkang yang beradab dan berakhlak berlandaskan Islam.
"PAS tidak akan sertai sebarang langkah yang tidak bersandarkan Islam dan matlamat kerana tidak mahu menaiki bas ekspres yang tidak sampai ke destinasinya.
"Apabila tidak sampai, kita pulak kena jalan kaki jauh ...sudah tiada harapan dengan harapan yang tidak sampai destinasi ...naik bas ekspres pergi Kuantan tapi guna jalan ke Kuala Lipis maka mana boleh sampai," kata ahli Parlimen Marang itu.
Sementara itu, mengulas dakwaan DAP mungkin bertanding di lapan kawasan PAS di Selangor, Salahudin berkata ia hanyalah gurauan biasa.
Malah, beliau berkata kenyataan tersebut hanyalah tindak balas daripada hasrat PAS mahu meletakkan calonnya di kerusi yang dimenangi DAP pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, ini kerana Pakatan Harapan setakat ini belum membincangkan isu kerusi yang akan ditandingi mereka.
“Kenyataan DAP itu hanyalah reaksi terhadap tindakan PAS yang nak bertanding di semua kerusi DAP dan saya anggap ia hanyalah gurauan biasa.
“Di peringkat Pakatan Harapan kita masih dalam proses mengukuhkan gabungan pembangkang. Kita pun tak bincang lagi soal kerusi mana yang hendak ditandingi,” tegas Salahudin.
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...