KUALA LUMPUR: Perhimpunan aman Black505 bagi menolak penipuan serta menuntut reformasi pilihan raya akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur 15 Jun ini bermula jam 2 petang.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, lokasi itu dipilih selepas mengambil kira pandangan pihak polis yang menggesa supaya perhimpunan tidak melibatkan Dataran Merdeka.
“Pilihan utama kita semestinya Dataran Merdeka, tetapi buat masa ini kita tetapkan dahulu Padang Merbok dan akan mendapatkan kebenaran dari polis untuk menggunakan Dataran semasa menghantar surat makluman nanti,” jelas Rafizi dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, surat makluman kepada pemilik Padang Merbok, DBKL dan Balai Polis Dang Wangi akan dihantar pada hari ini sebagai memenuhi peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman iaitu notis dalam tempoh 10 hari.
Surat tersebut ditandatangani Rafizi bersama wakil PAS iaitu Syed Azman Syed Nawawi dan Anthony Loke dari DAP.
“Kita harap tidak akan berlaku sebarang tangkapan lagi kerana kita sudah memenuhi peraturan yang ditetapkan,” kata Rafizi dipetik KeadilanDaily.
Sementara itu, Pengarah Programm Datuk Johari Abdul berkata keselamatan peserta yang mengikuti himpunan menjadi keutamaan penganjur.
“Paling penting adalah keselamatan peserta, berhimpun dalam suasana aman dan santai,” katanya.
HarakahDaily
google map dah tak jumpa padang merbok
BalasPadam