Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Ahad, Jun 16, 2013

MB : Perkukuh Ilmu Islam Elak Terpesong Akidah


MB Forum Agama 2

SUBANG 15 JUN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihati rakyat negeri Selangor supaya mengukuh dan menambahkan ilmu pengetahuan mengenai Islam bagi mengelakkan terpesong akidah.
Menurutnya, nasihat itu dilontarkan kerana setakat ini terdapat sebanyak 27 ajaran sesat yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

“Saya dimaklumkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor, ajaran ini dibawa dan diamalkan oleh individu atau golongan tertentu dan segelintir orang Islam percaya seterusnya menjadi pengikut,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Perdana Ehwal Islam peringkat negeri di Surau Nurur Rahmah, Kampung Melayu Subang.

Jelas Abdul Khalid, segelintir umat Islam yang menyimpang daripada ajaran Islam itu sebenarnya berpunca daripada tidak mempunyai pengetahuan dan tidak memahami ajaran itu dalam erti kata sebenar.
“Hal ini mungkin disebabkan semasa kanak-kanak, mereka tidak mendapat pelajaran dan didikan dalam bidang agama Islam kerana kelalaian atau kejahilan ibu bapa sendiri.

“Fenomena ini sebenarnya semakin berleluasa dalam kalangan masyarat Islam di negara kita, menurut kajian secara rambang, terdapat lebih 60 peratus orang dewasa tidak menunaikan solat fardu, bahkan tidak tahu menulis dan membaca jawi,” katanya.

Beliau menambah pelbagai cara yang boleh dilakukan dalam usaha mencari pembimbing antaranya mendengar ceramah daripada guru agama atau penceramah yang diberikan kad tauliah mengajar daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, sejak 2009 sudah dan sedang meneruskan usaha mewujudkan warga negeri yang seimbang daripada segi fizikal, rohani menerusi program Spies.
Forum Agama 1
“Dalam masa yang sama, kita juga berusaha bagi memastikan agar rakyat pelbagai lapisan dan latar belakang dapat menjalani kehidupan yang baik menurut kehendak agama dan budaya,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek pembangunan Islam.

“Antara perkara yang ditekankan adalah seruan supaya dipupuk dan dikukuhkan perpaduan masyarakat Islam tanpa mengira asal keturunan,” katanya.
Dalam forum terbabit, kira-kira 1,000 hadirin hadir di forum yang bertemakan ‘Satu Hati, Dua Jiwa, Ke mana Kita?.

Antara panel jemputan Ustaz Haslin Baharim atau lebih dikenali Ustaz Bollywood dan Dr Roslan Mohamad.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Salehan Mukhyi dan Timbalan Pengarah JAIS, Zaki Arshad.

Selangorku
    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...