KUALA LUMPUR - Tiga Menteri Kabinet hari ini menafikan wujudnya komplot menyingkirkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang namanya disebut dalam komplot tersebut hanya ketawa apabila disoal mengenai perkara itu.
"Saya tidak fikir mahu melayan konspirasi itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, blogger yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Shahbudin Husin dalam tulisannya mendakwa Najib bakal melakukan rombakan Kabinet tanpa Muhyiddin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan akan menggantikan tempat Muhyiddin.
Manakala, Hishammuddin bakal diberikan kedudukan yang lebih kanan iaitu sebagai Menteri Kewangan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan.
"Bohong. Itu tidak benar," katanya ringkas.
Sementara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz ketika ditanya soalan sama turut menafikan dakwaan tersebut.
"Saya tidak tahu, saya bukan Perdana Menteri. Saya tidak mendengar apa-apa mengenainya," katanya.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...