KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib
kesal apabila Pas didakwa giat melakukan usaha pembersihan golongan
profesional dari parti itu.
Beliau berkata, tindakan itu disifatkan sebagai cubaan untuk
menyembelih golongan cerdik pandai dalam Pas yang mahu menjatuhkan
kepimpinan ulama khususnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Saya tertarik kepada Pas kerana saya tengok Pas mempunyai golongan yang cerdik pandai.
"Tetapi hari ini dia nak sembelih orang cerdik pandai ini, bila
diracunkan, racun ini bila tuba ikan mati semua, tuba ini tak boleh
main-main," katanya pada forum bertajuk “Mampukah Pas Dilonjakkan Pasca
Jun 2015” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di sini,
semalam.
Mengulas lanjut, Muhammad juga mengingatkan perwakilan Pas agar tidak
memilih pemimpin Pas yang mempertahankan pemimpin Umno yang dibenci oleh
ahli partinya sendiri.
"Pas perlu diberi kebebasan, kena ambil pemimpin terbaik, pemimpin yang
boleh mentadbir, pemimpin yang boleh meningkatkan (parti).
"Janganlah ambil pemimpin yang Umno nak tumbang itu, yang kata kita
kena sokong Datuk Najib, orang Umno pun tak nak Datuk Najib sudah,"
ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad juga mendakwa pemilihan Pas kali ini diganggu
oleh pihak luar yang mahu menggagalkan usaha PR untuk mentadbir negara.
"Jadi ada group kacau di sini, ada group kacau sana, mana pernah Pas
begini. Pas tertib, ulama-ulama tertib, ulama yang baca kitab tertib.
"Sekarang sudah ada satu usaha untuk memecahbelahkan Pas, saya berharap
ahli-ahli Pas tidak sesekali terpengaruh dengan usaha pihak-pihak luar
cuba merosakkan kepimpinan Pas," katanya.
Tambah Muhammad, jika Pas terus bergelumang dengan masalah dalaman,
kelak sokongan rakyat akan beralih kepada ‘third force’ yang tidak
berpihak kepada mana-mana parti politik.
"Masyarakat umum dia nak tengok negara ini baik, sudahlah Umno macam itu, Umno macam tunggang-langgang.
"Kalau Pas pula tunggang langgang, kalau PR tunggang-langgang, saya
fikir (rakyat) akan lebih (sokongan) kepada kumpulan ‘the third force’
macam Adam, dia tak kira, Umno..Pas.. atau PKR ke tak betul dia gasak
saja, kumpulan ini akan bersuara," katanya lagi.
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...