Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, April 11, 2014

ISU MH370: Kesilapan Kritikal Yang Masih Tiada Penjelasan


Sambil kita terus mendoakan usaha mencari dan menyelamat MH370 mencapai kejayaan, kita perlu juga memahami dan mengakui kelemahan yang telah jelas terserlah melalui tragedi ini. Kelemahan ini, samada kita akui atau tidak, sebenarnya diketahui umum, lebih-lebih lagi masyarakat antarabangsa yang tidak dikongkong pemahaman mereka oleh media pro-kerajaan dan pengampu seperti di Malaysia. Oleh itu, pengakuan terhadap kelemahan ini akan dilihat sebagai sebahagian dari keikhlasan dan sikap bertanggung-jawab; sambil berdolak-dalih menafikan adanya kelemahan akan dilihat sebagai usaha menipu dan lepas tangan.

Kalau masih ada yang ingin menafikan adanya kelemahan, marilah kita turuti tragedi MH370 dengan lebih terperinci.

HILANG DI RADAR – SOP DAN DUA KEMUNGKINAN UTAMA

 
Hakikatnya semua tahu bahawa apabila MH370 hilang di radar Air Traffic Controller (ATC) di bawah Jabatan Penerbangan Awam, pihak ATC sepatutnya bertindak dengan segera. SOP atau ‘Standard Operating Procedure’ iaitu Tata-cara Pengendalian Piawai, sepatutnya telah tersedia untuk diikuti oleh mereka yang bertugas. SOP semestinya menuntut tindakan segera oleh pihak ATC. Ini adalah kerana apabila MH370 hilang di radar, hanya terdapat 2 kemungkinan. Kemungkinan pertama, MH370 telah jatuh ke laut disebabkan letupan, kerosakan dan sebagainya dan, kedua, ianya terus terbang dalam keadaan tersembunyi dan terputus hubungan dalam arah yang tidak dapat dikesan.

Kemungkinan Pertama
Untuk menangani kemungkinan pertama, operasi SAR, iaitu Search and Rescue atau ‘cari dan selamat’, sepatutnya dilancarkan serta merta! Ini adalah kerana sekiranya MH370 terhempas di laut China Selatan, di lokasi hilang di radar, ada kemungkinan ada yang terselamat dan berada dalam keadaan cedera parah. Pihak ATC sepatutnya mampu berhubung, pada ketika itu juga, dengan pihak berkenaan di Pantai Timur, samada di Kota Bharu, Kuala Terengganu atau Kuantan supaya dimulakan kerja SAR tersebut. Pihak berkenaan, setelah dihubungi, boleh juga memanfaatkan kewujudan plantar minyak di kawasan berhampiran dengan lokasi hilangnya MH370 di radar. Pihak pelantar minyak mempunyai kemampuan SAR sendiri dan boleh dihubungi untuk membantu.

Sekiranya ini dilakukan sudah pasti pihak yang bertanggung jawab untuk melakukan SAR boleh sampai di lokasi kejadian dalam masa kurang dari 2 jam.

Kemungkinan Kedua
Pada masa yang sama, untuk menangani kemungkinan kedua, pihak ATC mesti memaklumkan pihak TUDM, dan pihak negara jiran untuk membantu mencari MH370 yang telah tidak lagi dapat dikesan oleh radar ATC. Pihak ATC sudah pasti memahami bahawa kemampuan radar tentera berbeza dengan radar awam atau civilian yang diguna ATC. Oleh itu mereka boleh berhubung dengan pihak TUDM untuk meminta bantuan mengesani MH370. Pihak ATC negara jiran pun setelah dimaklumkan oleh ATC Malaysia boleh juga memaklumkan pihak Tentera Udara negara masing-masing untuk membantu.

Adalah perlu difahami bahawa apabila kemungkinan kedua ini ingin ditangani, setiap saat adalah amat berharga. Ini adalah kerana yang dicari sedang bergerak dengan kelajuan 600 hingga 800 km sejam. Setiap jam MH370 bergerak dengan jarak sejauh 600 - 800 km dan apabila arah tujunya tidak diketahui, maka kawasan pencarian mengambil bentuk bulatan dengan garis pusat atau radius yang semakin membesar setiap saat. Pada jam pertama, garis pusatnya 600 – 800 km. Pada jam kedua ianya bertambah menjadi 1200 – 1600 km dan pada jam ketiga 1800 – 2400 km dan seterusnya.

Oleh itu, sekiranya pihak ATC mengerakkan TUDM supaya berada dalam keadaan ‘high alert’ untuk mencari MH370, sudah pasti ianya akan diketahui anggota TUDM apabila ianya dikesan oleh radar TUDM di Gong Kedak, Terengganu dan Bukit Bendera, Butterworth. Ia mungkin juga dapat dikesan oleh radar di Kuantan, Pahang. Dalam keadaan sebegitu, apabila dikesan, sudah pasti jet pejuang akan dihantar untuk ‘intercept’. Intercept tidak bererti menembak MH370 tetapi untuk terbang mengekorinya dan kalau perlu di sebelahnya dan berusaha berhubung dengan isyarat tangan atau sebagainya sekiranya cara perhubungan lain tidak boleh diguna-pakai. Sekiranya ini dilakukan, paling kurang arah tuju MH370 dapat dikenal-pasti. Sekiranya penerbangan MH370 tidak dapat dibantu sekalipun dan akhirnya ia jatuh dalam laut, sekurang-kurangnya lokasi tempat jatuh diketahui dengan tepat.

Ada juga yang berpandangan pihak TUDM sepatutnya terus bertindak apabila dikesan penerbangan yang tidak dikenali memasuki ruang udara Malaysia. Mungkin ini benar. Saya tidak tahu SOP TUDM dalam soal ini. Mungkin mengikut pengalaman mereka, ianya bukan sesuatu yang aneh dan ada berlaku. Mungkin juga ia tidak merisaukan apabila ia dikaji dari sudut kelajuan, ketinggian dan arah-tuju penerbangan tersebut. Oleh itu saya tidak berani memberi komen dan hanya menunggu penjelasan TUDM dan Menteri Pertahanan. Namun, sekiranya perlu, SOP itu juga boleh dikaji kembali.

Yang saya mampu memberi pandangan adalah berhubung SOP dalam bidang SAR. Dari sudut ini amat jelas pihak kita terlalu lemah dan lambat.

APA YANG BERLAKU?

 
Malangnya apa yang berlaku ialah kedua-dua kemungkinan sepertimana saya sebutkan tadi tidak ditangani dengan sepatutnya. Mengikut apa yang diberitahu tempoh hari, apa yang berlaku adalah pihak ATC Malaysia dimaklumkan oleh ATC Vietnam bahawa mereka tidak ‘menerima’ MH370 pada jam 0130 pagi. Pihak ATC seterusnya memaklumkan pada MAS akan kehilangan MH370 pada jam 0200 pagi dan MAS pula mengisytiharkan MH370 hilang pada 0240 pagi. Usaha SAR dilancarkan pada jam 0530 pagi di laut China Selatan, sidang media diadakan jam 0725 pagi dan mesyuarat dengan TUDM diadakan pada jam 1000 pagi. TUDM turut lancarkan SAR jam 1030 pagi. Pada hari itu juga TUDM menyebut bahawa mereka telah mengesan telah berlaku pusingan U atau U-turn tetapi TUDM tidak dapat mengesahkan ianya MH370.

Berdasarkan kronologi sedemikian, adalah jelas bahawa kedua-dua kemungkinan berhubung kehilangan MH370 yang saya sebutkan di atas tidak ditangani dengan sebaik-baiknya. Sekiranya MH370 jatuh di laut China Selatan, setelah hilang di radar, SAR dilancarkan terlalu lewat sehingga sekiranya ada mangsa yang hidup sekalipun, selepas 6 jam, sudah pasti mangsa tersebut semakin tenat dan parah! Ini adalah kerana SAR dilancar oleh DCA dan MAS pada jam 0530 pagi. Kalau begitu, pihak yang menjalankan SAR akan hanya sampai di lokasi berkenaan pada jam 0730 pagi, iaitu 6 jam setelah terhempas sekiranya ia terhempas.

Dalam soal kemungkinan kedua, pihak TUDM hanya diberitahu secara rasmi pada jam 1030 pagi. Pada ketika itu MH370 sudah “berhenti” kerana kehabisan minyak sekiranya ia terus terbang tanpa henti. Pada ketika itu, luas kawasan pencarian adalah bulatan bergaris pusat lebih 4,000 km! Itulah yang menyebabkan kita terpaksa mencari tanda terhempasnya MH370 di hampir sepertiga lautan dunia! Kerana kita tidak tahu secara pasti ke mana ia telah tuju. Kita mencarinya dari lautan China Selatan ke Selat Melaka, ke Lautan Andaman dan akhirnya, selepas lebih 2 minggu, di bahagian selatan lautan Hindi!

KEGAGALAN YANG ‘UNPRECEDENTED’

 
Soal menjejaki sesuatu penerbangan adalah amalan biasa industri penerbangan dewasa ini. Ianya perlu bukan sekadar untuk menentu di mana ia berada sekiranya berlaku sesuatu musibah. Ianya perlu dilakukan juga untuk menentukan tidak akan berlaku pertembungan kapal-terbang satu sama lain di ruang udara. Oleh itu ketinggian sesuatu pesawat dan arah tujunya sentiasa dipantau. Pertembungan kapal-terbang boleh berlaku sekiranya perjalanan sesuatu pesawat tidak dikesan dan diurus dan kita bernasib baik ini telah tidak berlaku dalam kes MH370.

Dalam soal ini kerajaan Malaysia telah gagal memantau perjalanan MH370 dengan baik walaupun ia berada di ruang udara Malaysia. Apabila ianya hilang di radar, kita gagal mengambil tindakan segera untuk memungkinkan ianya ditemui dengan secepat mungkin. Ini merupakan ‘kegagalan unprecedented’ industri penerbangan moden dan oleh kerana kegagalan unprecedented ini maka terhasil dengan itu ‘operasi SAR yang unprecedented’ yang melibatkan 26 buah negara.

Ada yang nyatakan kekaguman dengan kemampuan Malaysia menyelaras operasi SAR yang ‘unprecedented’ ini. Walaupun ada kebenarannya dari satu sudut, tetapi perlu juga diinsafi bahawa ianya hasil dari ‘kegagalan yang unprecedented’.

OPERASI SAR YANG ‘UNPRECEDENTED’

 
Pihak Menteri selalu berselindung di sebalik istilah ‘unprecedented’. Oleh kerana ianya tidak pernah berlaku di seluruh dunia sebelum ini, ianya unprecedented, maka sudah pasti ianya sukar dihadapi, menurut Menteri itu lagi.

Sebenarnya yang unprecedented adalah pencarian di kawasan hampir seluas sepertiga lautan dunia. Hilang di radar bukan sesuatu yang unprecedented. Ia pernah berlaku dan oleh kerana tindakan segera diambil, maka yang hilang dapat diketahui di mana ia berada. Yang unprecedented adalah apabila hilang di radar, tindakan yang sepatut diambil tidak diambil dan oleh itu kita tidak tahu di mana ia berada. Utara, selatan, timur atau barat, serta seluruh kawasan di antaranya, semuanya menjadi kemungkinan.

Namun, mendengar pujian-pujian yang dicurahkan Ahli Parlimen UMNO/BN terhadap Menteri atas ‘kejayaan’ menyelaras operasi ‘unprecedented’ ini, tidak hairan sekiranya ada yang merumuskan bahawa prestasi Menteri adalah cemerlang. Ini yang membuat saya merasa loya hampir termuntah! Keterlibatan 26 negara dalam operasi SAR dianggap kejayaan besar kerajaan BN dan diucapkan tahniah kepada diri mereka sendiri! Sepatutnya 26 negara tersebut yang diucapkan tahniah kerana sedia membantu tetapi pada masa yang sama kerajaan Malaysia pula seharus merasa malu dan bersalah kerana tidak mampu menjalankan tugasnya seperti sepatutnya di peringkat permulaan tragedi ini.

Keterlibatan 26 negara adalah atas sebab kita gagal dan tidak mampu! Kapal terbang kita. Sebahagian penumpang, rakyat kita! Krew, rakyat kita! Dan yang lain, TETAMU kita! Tetapi bila dah hilang, 26 negara terpaksa membantu kerana jelas kelihatan kita bercelaru dengan kenyataan bercanggah-canggah dan tiada gambaran sama sekali di mana MH370 berada. Yang pelik, kita sibuk memuji diri atas kesanggupan semua negara ini membantu!

Diumpamakan seorang ibu yang tidak mengunci pintu rumah dan apabila jaga dari terlelap, didapati anaknya yang berusia 4 tahun sudah tiada di dalam rumah. Selepas 4 jam maka baru disedari mungkin anaknya hilang! Pada saat itu barulah jiran-jiran diminta membantu mencari anaknya. Maka akhirnya 26 kampung berdekatan di sekitar kampung ibu malang itu semua turut terlibat mencari anaknya yang hilang. Mereka berhubung dengan ibu itu setiap hari dan memaklumkan status pencarian mereka. Maka datang pula si Pak Pandir memuji ibu itu; “hebat kamu, mampu menyelaras operasi 26 kampung dengan baik”.

Maka jelaslah mengapa dia digelar Pak Pandir.

SOAL UPGRADE RADAR
 

Ada pula yang mencadangkan radar kita perlu di-upgrade atau dinaik taraf. Saya bertambah hairan. Radar kita telah mengesan apa yang patut dikesan. Bila transponder terpadam, ianya tidak dapat dikesan oleh radar awam atau civilian. Tetapi radar tentera pada ketika itu boleh dan telah mengesannya. Hanya tiada tindakan.

Hakikatnya peristiwa ini telah berlaku bukan kerana kegagalan radar yang sedia ada mengesan apa yang patut ia kesan. Ia berlaku kerana setelah dikesan, tindakan yang sepatutnya diambil TIDAK diambil.

Maka jangan dipersalahkan radar. Jangan digunakan peristiwa MH370 untuk melakukan satu lagi pembelian dengan harga yang dua atau tiga kali ganda harga pasaran. Jangan dibuat seperti ‘biasa’. Akui kesilapan dan pohan maaf dari semua yang berkenaan. Jangan cuba tunjuk semuanya berjalan dengan baik, cekap dan sepertimana sepatutnya dan memuji diri dan selepas itu mengambil kesempatan membeli radar baru. Sedangkan radar yang di Gong Kedak pun masih agak baru.

KESIMPULAN
 

Mengaku tersilap adalah sukar bagi sebahagian manusia. Khususnya golongan yang angkuh dan takabbur. Mereka ingin manusia lain kagum dengan kehebatan diri mereka. Namun kalau kesilapan jelas terserlah, keengganan meminta maaf tidak akan dilihat sebagai kehebatan tetapi kesombongan.

Sama-sama kita doakan semoga MH370 akan dijumpai juga akhirnya. Semoga dengan itu misteri di sebalik perubahan hala-tujunya dan sebagainya akan terjawab. Dan walaupun ianya semakin bertambah sukar dengan berlalunya hari demi hari, marilah kita doakan MH370 dan semua penumpangnya dijumpai dalam keadaan selamat, insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...