MH370: Persoalan utama masih belum dijawab
PETALING JAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan masih belum menjawab beberapa persoalan utama mengenai kehilangan MH370 yang sudah masuk hari ke-39.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya memberikan maklumat dan jawapan mengenai radar yang tidak dapat mengesan pertukaran laluan pesawat MH370 dan juga isi kargo yang dibawa oleh pesawat tersebut.
"Perdana Menteri Malaysia harus tampil ke hadapan untuk menjawab persoalan-persoalan ini, jangan sembunyikan apa-apa maklumat mengenai MH370.
"Kita ingin tahu sama ada radar yang mengawasi ruang udara negara ini tidak berfungsi atau kerajaan sebenarnya sedang menyorokkan maklumat mengenai kehilangan MH370," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Tambahnya, kesahihan maklumat yang diterima dari pihak kerajaan berkenaan isi kargo yang dibawa oleh MH370 pada 8 Mac lalu agak meragukan.
"Berdasarkan maklumat yang diberikan, pesawat MH370 telah membawa 4 tan buah manggis sebagai muatan kargo, namun setelah disiasat kami tidak tahu dari mana datangnya buah manggis itu kerana ianya di luar musim bagi tumbuhan tersebut untuk berbuah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya lebih telus dalam menyalurkan maklumat dengan tepat dan betul kepada semua pihak termasuk keluarga penumpang MH370.
sh
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...