Jangan halang Pas: Tok Guru Nik Aziz..
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan parti itu tetap berhasrat menubuhkan negara Islam, termasuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun ditentang DAP.
Menurutnya, sejak penubuhannya, Pas nekad menegakkan syiar Islam, malah di Kelantan parti itu sentiasa berusaha menjadikan Islam sebagai asas kehidupan.
“Kalau tidak mahu buat negara Islam, kita buat bumi sendiri, jangan menumpang bumi ALLAH (SWT), buat udara sendiri jangan menumpang udara ALLAH, buat matahari sendiri jangan menumpang matahari ALLAH, selagi kita menumpang di bumi ALLAH, maka agama yang ALLAH rasmikan ialah Islam,” katanya kepada media selepas Himpunan Kursus Peserta Kenegaraan 2011 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan, semalam.
Sebuah akhbar semalam melaporkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sekali lagi mempersoal kewajaran Nik Aziz mahu melaksanakan hudud yang menurutnya melanggar perlembagaan.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong perlaksanaan hudud dihasratkan kerajaan Kelantan.
Bagaimanapun, katanya Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dan ia adalah pandangan peribadi beliau.
“Secara dasar, saya percaya ini boleh dilaksanakan,” katanya.
Anwar berkata, rancangan Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hudud adalah spesifik dan ia meliputi dua aspek penting iaitu pentadbiran yang adil kepada undang-undang Islam dan memastikan hak bukan Islam dilindungi.
Kelmarin Nik Aziz menegaskan Kerajaan Kelantan bersedia melaksanakan hukum hudud walaupun bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menyatakan keadaan masih belum kondusif selain kuasa Kerajaan Negeri yang terhad.
Pada masa sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Nik Aziz memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Nik Aziz berkata, walaupun DAP menolak hasrat penubuhan negara Islam, beliau tetap menggunakan pendekatan berhemah agar pemimpinnya dapat memahami apa yang diperjuangkan Pas selama ini.
“Saya tidak akan gunakan perkataan berkeras, saya guna berdialog, apa tidak kena dengan Islam?," katanya.
Sebelum ini, DAP dah keluar sekali masa APU (Angkatan Perpaduan Ummah), dia dah keluar sekali, tidak apa saya kata, ‘bye bye’ tidak ada apa, sekarang ni dia masuk balik,” katanya.
Ditanya adakah Pas sedia sekiranya DAP akan bertindak keluar dari Pakatan Rakyat, Nik Aziz berkata: “Itu dia punya pasal”.SinarHarian
Free Advertising - Get millions of visitors for your website for FREE!
Menyokong Perjuangan DSAI
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...